Rabu, 27 Jun 2018

Shahidan dicabar bagi jawatan Ketua UMNO bahagian Arau

THE MALAYSIAN TIMES



ARAU: Setelah lebih 20 tahun kedudukan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai ketua UMNO bahagian Arau tidak pernah dicabar, namun pada pemilihan kali ini beliau akan dicabar oleh Khalid Ahmad yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis.

Jawatan timbalan ketua yang kosong setelah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang keluar UMNO, bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pegawai Khas Menteri Besar, Yusof Othman dengan ketua UMNO cawangan Kampung Sentua, Utan Aji, Salim Dahaman.

Bekas naib ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Arau, Zairul Anwar Khamis pula akan berentap dengan anggota Exco yang juga ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob bagi jawatan naib ketua bahagian yang dikosongkan oleh Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Yusof yang juga ketua UMNO cawangan Titi Besi menyifatkan perkembangan positif itu berkait dengan kehendak akar umbi anggota parti itu yang ingin melihat perubahan pucuk pimpinan bahagian.

Katanya mesyuarat pemilihan bahagian itu dijadualkan diadakan di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini pada 30 Jun ini.– Bernama

Tiada ulasan: