BAHAGIAN 1: PERSIS 11 SEPTEMBER
Semakin hampir detik perbahasan usul RUU pindaan Akta 355, semakin
ramai pihak yang bersuara. Yang menyokong datang dengan segala semangat
dan hujahnya. Yang menentang terus berusaha dengan segala helah dan
alasannya. Tidak kurang yang meragui, muncul dengan seribu satu
persoalan dan pertikaian.
Apapun yang berlaku, saya memiliki beberapa perspektif berkenaan fenomena ini. Saya nyatakan mengikut nombor:
1. Sifat ingin tahu terhadap Islam semakin berkembang
2. Menjelaskan warna kulit sebenar setiap tokoh
3. Pseudo-Salafi dan Neo Muktazilah
4. Fenomena Ruwaibidhoh
5. Peluru takfiri yang diulang-ulang
Untuk tidak membuatkan pembaca bosan, saya keluarkan satu persatu tulisan mengikut nombor perspektif.
1. Dakwah semakin berkembang
Siapa
sangka, kini pindaan Akta 355 sudah menjadi bualan sensasi rakyat.
Apabila pihak-pihak berpengaruh mula bersuara, perhatian jelata akan
dicuri. Yang tak tahu jadi tahu, yang tak suka mengkaji untuk mencari
titik sangsi. Yang menentang menjaja keburukannya.
Daripada semua
perbahasan, secara tidak langsung ia akan membuka kepada tajuk-tajuk
syariat Islam. Orang akan mengkaji sedikit sebanyak tentang perlaksanaan
Islam. Orang akan cuba mengenali apa yang terkandung dalam perundangan
Islam.
Saya fikir fenomena ini umpama peristiwa 11 September
2001. Walaupun niat di sebaliknya adalah untuk menghalalkan serangan
terhadap Iraq atas nama cegah keganasan, namun secara tidak langsung ia
menyebabkan masyarakat dunia ingin tahu apa sebenarnya Islam. Al-Quran
terjemahan habis di pasaran. Wacana TV dan akhbar hangat mengupas
tentang Islam.
Akhirnya peristiwa 11 September melonjak
pertumbuhan nisbah pemeluk Islam di Amerika dan negara barat lain dengan
pesat sekali sehingga diakui oleh ramai pemerhati dan pengkaji
antarabangsa bahawa: "Islam is the fastest growing religion in America".
Saya
fikir di sebalik polemik RUU355 ini, ia memberikan sesuatu yang sangat
positif kepada perkembangan Islam. Orang yang prihatin tentang isu ini
bukan sahaja akan celik agama, mereka juga akan celik undang-undang dan
celik politik.
Bagi yang benar-benar mencari solusi untuk
menangani masalah jenayah dan keruntuhan sosial dalam negara, mereka
insya Allah akan menyokong pindaan ini termasuk kalangan bukan Islam.
Walaupun mungkin ada kelemahan, yang pasti inilah satu-satunya cadangan
yang ada kerana kebanyakan pihak yang mengkritik dan menentang, hanya
membantah semata-mata tanpa membawa cadangan lain.
BAHAGIAN 2: AKHIRNYA TIMBUL JUASebelum
ini mungkin ramai tidak jelas pendirian tokoh-tokoh masyarakat tertentu
yang banyak menegur mengkritik PAS dalam berbagai isu. Ada di kalangan
mereka berniat baik untuk melihat Islam berkembang di negara hari ini,
dan ada juga yang memiliki niat terselindung di sebaliknya.
Namun
setelah timbul isu RUU355, sedikit sebanyak kita boleh lihat sendiri
sikap sebenar dan wajah mereka. Sikap ahli akademik yang berdisiplin
adalah mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengulas apa-apa
isu yang timbul. Ahli akademik tidak akan menjadikan sumber sembarangan
atau hearsay sahaja untuk menetapkan sesuatu pendirian sebaliknya
mengajukan kepada pihak yang terlibat atau merujuk kepada pakar.
Alhamdulillah,
ramai pihak bukan ahli politik turut mengambil bahagian dalam mengupas
isu ini seperti pengamal undang-undang, pimpinan NGO, jurnalis, pengkaji
politik, mufti, tokoh agama dan juga pensyarah. Mereka datang bersemuka
dengan pimpinan PAS dan berdialog bagi mendapatkan gambaran sebenar
prinsip serta implikasi RUU355 ini. Ada yang akhirnya menyokong, ada
yang masih berdiam diri malah ada yang tidak bersetuju. PAS berlapang
dada menerima setiap respons asalkan kaedah yang mereka gunakan dalam
memahami perkara ini betul.
Malangnya tidak semua mengikut
disiplin akademik ini. Atas dasar kebebasan bersuara dan atas kelebihan
tidak terikat dengan mana-mana kumpulan, ada sebahagian pihak yang terus
mengulas RUU355 tanpa memahami kaedah sebenar tentangnya. Lebih
memalukan, persoalan yang mereka timbulkan sudahpun terjawab dalam
berbagai tulisan, ceramah serta buku-buku yang dikeluarkan pihak PAS
terutama dari kerajaan Kelantan. Ironinya, dalam mendapatkan gelaran
PhD dan apa jua kajian bersifat akademik, mereka begitu detail mengkaji
dari sumber-sumber primer. Tetapi di medan realiti, semua pelajaran
disiplin ilmu itu tidak diambil kira.
Lebih mengelirukan, di saat
terdapat kumpulan yang berfikiran liberal dan sekular yang menentang
RUU355 atas alasan syariat Islam tidak boleh menyelesaikan masalah, di
saat ada pihak yang mengaku Islam tetapi tidak mahu dikongkong dengan
peraturan tuhan, mereka langsung tidak berusaha menangani pihak ini
sebaliknya lebih fokus untuk menimbulkan keraguan terhadap usaha
memartabatkan syariat Islam oleh PAS.
Bahkan sepanjang polemik
ini berlangsung, ada mufti yang mempromosikan pemikiran liberal dan
sekular menerusi akaun media sosial mereka. Hujah seperti keadilan
sebelum Islam, masyarakat majmuk, kondusiviti, hudud mencacatkan orang
Islam, polemik negara teokrasi dan agama terpisah dari konsep
pemerintahan ditimbulkan kembali walaupun isu ini telah lama dijelaskan
oleh cendekiawan Islam sejak dahulu.
Sekarang kita boleh lihat,
kepada pihak manakah kumpulan ini lebih menumpukan serangan; pihak yang
berusaha menaikkan taraf Islam di Malaysia atau pihak yang berfikiran
liberal seperti seorang peguam yang juga anggota gerakan sesat feminisme
Sister In Islam. Mereka lebih intim dengan kumpulan mana, dan lebih
kritis terhadap kumpulan mana.
Sepanjang sejarah perjuangan
Islam, golongan ini sentiasa wujud. Di saat perjuangan ini masih kabur
masa depannya di mata mereka, mereka akan mengambil sikap menjarakkan
diri. Tetapi setelah perjuangan ini dilihat cerah masa depannya,
merekalah orang yang berada di saf hadapan mengaku segala titik peluh
itu milik mereka.
BAHAGIAN 3: PSEUDO-SALAFI & NEO-MUKTAZILAHAda
pihak yang mendakwa mereka mengikut manhaj salaf dalam beragama. Manhaj
salaf adalah menerima nas sebagaimana yang diturunkan tanpa takwilan
dan menyerahkan hakikat kepada tuhan. Manhaj salaf sangat ketat dalam
menerima sebarang pemikiran baru yang tidak bersumberkan nas.
Namun
dalam bab RUU355, sebahagian salafi di Malaysia menggunakan hujah-hujah
yang jauh dari manhaj salaf dan sangat mirip kepada muktazilah.
Antaranya memperkenalkan prinsip Islam bukan sahaja kena adil, ia juga
mesti dilihat adil.
Dari mana datangnya kaedah ini daripada nas?
Tiada! Hujahnya hanyalah kerana Nabi tak bunuh orang munafik kerana
takut beliau dituduh membunuh sahabat. Lalu dikaitkan jika akta 355
dipinda, ia dilihat tidak adil kerana hanya orang Islam boleh dihukum.
Jika
dia merujuk kepada nas, sudah tentu dia akan dapati sejak zaman Nabi
SAW sendiri terdapat dua set hukuman. Pertama Firman Allah SWT:
فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْJika
mereka (Yahudi) datang kepadamu (untuk dihakimi), maka hakimilah mereka
(mengikut cara Islam) atau biarkan mereka (mengikut cara sendiri).
[Al-Maidah: 42]
Ayat ini memberi pilihan kepada Nabi sama ada
mahu menghakimi non-muslim dengan cara Islam atau tidak. Pilihan ini
Allah yang beri bukan ijtihad Nabi. Adakah Allah dilihat tidak adil
dengan membenarkan Nabi membezakan hukuman antara muslim dan non muslim?
Perkara
ini disokong dalam sebuah hadis. Dalam Sahih Bukhari bab hudud, pernah
Nabi didatangi Yahudi minta dihakimi seorang yang dituduh zina. Maka
Nabi memilih untuk dijatuhkan hukuman mengikut kitab Taurat. Walaupun
hukumannya sama, ini menunjukkan keanjalan Islam dalam menetapkan dua
set hukuman.
Hujah tidak boleh menghukum orang Islam sahaja tanpa
melibatkan non muslim sangat dangkal. Apakah ini bermakna tidak adil
bagi kerajaan mengambil tindakan terhadap muslim yang minum arak hanya
kerana non muslim tidak boleh dihukum? Apakah tidak adil menangkap
muslim yang makan di siang hari Ramadhan hanya kerana non-muslim tidak
ditangkap?
Jelasnya idea adil dan dilihat adil ini adalah prinsip
yang diperkenalkan oleh ahli politik dan pakar perundangan barat, Lord
Heward. Jelasnya: "Not only must Justice be done; it must also be seen
to be done". Jelas ia bukan dari Islam.
Bahkan, menilai keadilan
dengan persepsi manusia sebenarnya merupakan sebahagian idealisme
muktazilah yang telah bercanggah dengan ahlu sunnah wal Jamaah. Prinsip
kita ahlu Sunnah, kebaikan itu adalah sesuatu yang diputuskan baik oleh
syarak, walaupun akal melihat ia buruk. Sedangkan muktazilah mendakwa
kebaikan itu adalah apa yang diputuskan oleh akal itu baik tanpa
mengambil kira ketetapan syarak.
Salafi sepatutnya dalam hal
pelaksanaan syariat, merekalah orang paling terkedepan sebagai pendesak
kerana dalam al-Quran dan Hadis terlalu banyak gesaan supaya berhukum
dengan syariat Islam. Tapi yang pelik so called salafi di Malaysia lebih
selesa berada dengan undang-undang sedia ada, dan begitu skeptikal
dengan usaha menaik taraf undang-undang negara ke arah lebih islamik.
BAHAGIAN 4: RUWAIBIDHAH DI MANA-MANASabda Rasulullah SAW
سيأتي
على الناس سنوات خدّعات، يُصَدق فيها الكاذب ويُكذَّب فيها الصادق،
ويُؤتمن فيها الخائن ويُخوَّن فيها الأمين، وينطق فيها الرويبضة))،قيل وما الرويبضة يا رسول الله ؟ .. قال: «الرجل التافه يتكلم في أمر العامةAkan
datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipudaya. Pada masa
itu yang benar didakwa berbohong dan pembohong dipercayai. Pengkhianat
diberi amanah sedangkan yang amanah dituduh khianat. Golongan-golongan
ruwaibidhah akan bebas bercakap.
Sahabat bertanya: Apakah itu ruwaibidhah?
Nabi menjawab: Orang-orang bodoh yang bercakap tentang urusan besar.
[HR Ibn Majah, Hakim dan Ahmad]
Apa
yang berlaku hari ini semakin menepati sabdaan baginda SAW. Selain dari
kita melihat pendusta dipercayai dan pengkhianat diberi amanah, melalui
polemik RUU355 ini kita melihat ramai yang orang yang tidak tahu
sesuatu bidang bercakap tentang apa yang mereka tidak tahu. Berdasarkan
hadis, mereka ini dilabel sebagai bodoh (tolol/jahil).
Dalam
memahami konsep pindaan akta 355 ini, mereka perlu memahami dua bidang
iaitu perundangan dan syariat Islam. Malangnya ada peguam yang mengulas
RUU355 sehingga melanggar batas syariat, dan ada juga agamawan yang
mengulasnya di luar konsep perundangan. Semuanya bakal menatijahkan
pandangan yang salah. Lebih malang, bukan lulusan undang-undang atau
agama, tapi bercakap mengalahkan profesor!
Dalam bidang agama
sendiri banyak cabangnya. Tidak boleh diukur dia pakar agama hanya
kerana memiliki segulung PhD dalam sesuatu bidang ilmu Islam sahaja.
Seorang yang PhD hadis belum tentu dia pakar tafsir. Seorang yang PhD
usul belum tentu dia pakar lughah. Seorang pakar fiqh belum tentu dia
pakar siasah.
Sistem pensijilan dunia hari ini memberi
pengiktirafan mengikut kepakaran dalam suatu tajuk dan bidang tertentu
sahaja, tidak secara menyeluruh. Selayaknya jika mahu mengira kepakaran
dari sudut sijil, seseorang memperolehi PhD kerana tesis tafsir dalam
tajuk kajian huruf nun (ن) dalam al-Quran, maka dia perlu digelar pakar
nun sahaja, bukan pakar tafsir.
Contohnya Dr Zakir Naik, dia
seorang pakar perbandingan agama. Sangat tepat kalau kita tanyakan
tentang soal perbandingan agama kepadanya. Tetapi apabila kita bertanya
hukum PTPTN, maka timbullah jawapan yang kabur yang akhirnya dimarahi
oleh sekalian pihak kononnya ibarat membela kerajaan yang menindas
mahasiswa. Syeikh Albani diiktiraf sebagai mujaddid hadis oleh ulama
mutakhir kerana kepakarannya dalam bidang periwayatan hadis. Namun
apabila beliau berfatwa tentang permasalahan fiqh, ramai yang tidak
bersetuju dengan pendapatnya yang sangat aneh (gharib).
Dalam isu
RUU355, perkara ini berlaku lagi. Atas dasar kebebasan bersuara,
masing-masing berperanan mengelirukan zaman dengan kata-kata yang tidak
berasas. Ada ustaz bidang hadis yang bercakap soal fiqh dan siasah. Maka
terbitlah kaedah songsang seperti "Islam tidak hanya perlu adil tapi
perlu juga dilihat adil" dan dalam Islam hanya ada satu set hukuman.
Mereka
perlu faham, secara analoginya bidang hadis itu ibarat kerja penilaian
emas, mana satu emas tulen dan mana satu emas campur atau palsu. Setelah
emas tulen diperoleh (hadis maqbul), ia tetap tidak boleh digunakan
sehinggalah dijadikan barang kemas atau wang. Maka kerja memproses emas
itu adalah kerja orang di bidang fiqh pula.
Lebih parah, si fulan
bukan sahaja bercakap soal fiqh yang bukan bidangnya, malah turut
bercakap soal perundangan. Dia membuat ulasan, RUU355 ini mengelirukan
kerana mengundang memberikan kuasa kepada hakim untuk menetapkan hukuman
seberapa banyak yang dia mahu. Dibawa contoh seorang ustaz boleh
didenda kerana mengajar tanpa tauliah sehingga beratus ribu ringgit jika
RUU355 berjaya digubal.
Akta ini tidak boleh memberi kuasa semudah itu kepada mahkamah syariah.
Ini
kerana mahkamah syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri. Hakim
perlu merujuk kepada peruntukan enakmen negerinya berapakah had yang
dibenarkan. Enakmen ini pula perlulah diluluskan dalam Dun dengan
sokongan majoriti Adun. Bermakna ia perlu melalui satu lagi peringkat
legislatif. Ia bukan kuasa mutlak hakim!
Saya nasihatkan agar
kepada mereka yang mahu bercakap dalam bidang yang bukan kemahirannya
agar mengkaji teliti dahulu tentang bidang lain itu. Jangan hanya ambil
modal dari sembang-sembang kopi atau lepak-lepak mafasid sahaja. Bimbang
anda akan tergolong di kalangan ruwaibidhoh.
BAHAGIAN 5: TUDUHAN TAKFIRI TERUS BERLANGSUNGSebelum
diperjelaskan lebih lanjut, perlulah dibezakan antara tuduhan kafir dan
takfiri. Menuduh kafir ertinya menuduh seseorang itu sebagai kafir.
Menuduh takfiri pula ertinya menuduh seseorang itu suka mengkafirkan
orang.
Takfiri terus menjadi peluru pihak tertentu untuk
menyerang PAS. Sejak dari awal penubuhan PAS, pimpinan Umno tidak pernah
henti dari membidik PAS dengan peluru ini sehingga membawa kepada
berbagai tindakan kejam dan zalim. Kini sebaik sahaja bekas pimpinan PAS
pusat keluar dan menubuhkan parti baru, mereka terus melabelkan parti
lamanya sebagai ISIS dan takfiri.
Fenomena ini berlaku di setiap
belahan dunia. Para asatizah Azhar yang dilantik atas restu kerajaan
Mesir mendakwa Ikhwan Muslimin sebagai jemaah takfiri. Mujahidin Chechen
dan Kaukasus di Rusia dituduh oleh gerakan sufi yang mesra kerajaan
sebagai wahabi dan takfiri. Pokoknya mana-mana gerakan Islam yang cuba
membawa idealisme pemerintahan Islam akan dituduh sebagai takfiri.
Tentunya
PAS yang gigih mempersada syariah Islam di puncak perundangan negara
tidak terlepas dari tuduhan ini. Kata-kata kurang tertib dari individu
yang tidak ada kena mengena dengan pendirian PAS dijadikan modal untuk
menuduh PAS takfiri.
Pensyarah agama tidak terkecuali dari
permainan busuk ini. Sama ada mereka sedar atau tidak, sudah beberapa
kali persepsi jahat ini dibentuk oleh mereka. Pertama ketika isu
pengkhianatan lompat parti oleh bekas wakil rakyat PAS yang telah
berbaiah. Mereka cipta persepsi bahawa PAS ghuluw/ekstremis kerana
melakukan bidaah mungkar iaitu dengan mengadakan baiah mentakliq baiah
dengan talaq, sedangkan isu utama adalah mengkhianati perjanjian.
Dibahas soal syarie atau tidak mengadakan baiah, padahal ianya boleh
saja ditimbulkan awal sebelum berlaku kes lompat parti ini. Dibutakan
mata hati tentang hukum mengkhianati janji.
PAS tidak pernah
menyatakan sesiapa yang menolak RUU355 sebagai kafir. Cuma PAS memahami
ianya wajib kerana mengambil kaedah 'kewajipan yang tidak sempurna
melainkan dengan sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya wajib'. Seperti
wuduk, walaupun wuduk hukumnya sunat, tapi boleh jadi wajib kerana
kewajipan solat tidak akan tertunai melainkan dengannya.
RUU355
wajib bagi memberi kuasa mahkamah syariah negeri-negeri menetapkan
prosedur kehakiman selaras dengan apa yang digariskan dalam al-Quran dan
sunnah. Walaupun tidak secara menyeluruh, sekurang-kurang sebahagian
dapat dilaksanakan.
Oleh kerana ianya wajib, PAS berusaha
memahamkan ahli parlimen Islam tanpa mengira parti berkenaan kewajipan
ini supaya mereka tidak dikira berdosa di mahkamah Allah kelak kerana
meninggalkan kewajipan ini. Namun tidak sekali PAS beranggapan yang
menolaknya adalah kafir. Berdosa dan kafir beza hukumnya. Meninggalkan
solat hukumnya berdosa, tapi tidak sampai jatuh kafir walau Nabi
perintah supaya rumah mereka dibakar, kecuali mereka percaya bahawa
solat itu tidak wajib.
Kata-kata individu tertentu tidak
menggambarkan pendirian PAS. Pendirian rasmi PAS setakat ini hanya boleh
dikeluarkan oleh Presiden, Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan
sahaja. Walaupun ada saja pemimpin DAP, PKR yang sokong GST dan TPPA,
tetapi PAS tidak menganggap itu adalah pendirian parti mereka.
Apapun
semua harus menginsafi sama ada melalui usaha RUU355 atau selainnya,
bahawa menjalankan hukum hakam tuhan dalam pemerintahan hukumnya wajib.
Sesiapa yang tidak mempercayai kewajipan ini walaupun dengan hatinya
maka gugurlah imannya kerana membantah nas al-Quran dan Hadis. Tidak
menyokong tidak bermakna kafir, TAPI tidak percaya ianya wajib adalah
kufur mengikut jumhur ulama ahlu sunnah. Batas iman dan kufur inilah
yang perlu dijelaskan. -
HARAKAHDAILY Tulisan di atas diambil daripada facebook penulis.