Jumaat, 29 Jun 2018

Zeti ganti Wahid di PNB

MALAYSIAKINI

   
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz akan dilantik menjadi pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi menggantikan penyandangnya Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Dalam satu kenyataan hari ini, PNB berkata Zeti akan memulakan tugas itu secara rasmi mulai 1 Julai ini.

Sebelum ini media melaporkan Abdul Wahid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri sudah meletak jawatan daripada PNB.

Untuk rekod Zeti ialah salah seorang anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Pakatan Harapan selepas gabungan itu membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu.

Zeti mempunyai reputasi tinggi semasa menjadi gabenor Bank Negara dan meninggalkan badan berkenaan ketika isu skandal 1MDB hangat diperkatakan.

Nama anak kepada Prof Diraja Ungku Aziz itu turut diadukan oleh Pemuda Umno kepada pihak berkuasa kononnya berpakat mahu menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Dua lagi tokoh yang dituduh oleh Pemuda Umno itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Awang Adek juga bersara

Untuk rekod Abdul Wahid ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif Malayan Banking Berhad (Maybank) apabila dilantik menjadi senator oleh Najib.

Beliau kemudian dilantik menjadi menteri bagi mengelola Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri selama tiga tahun mulai Jun 2013.

Selepas meninggalkan kabinet, kerajaan kemudian melantik Abdul Wahid mengetuai badan pelaburan milik kerajaan itu.




Dalam kenyataannya PNB berkata Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mulai 28 Jun.

Sesuai dengan pelantikan itu, katanya, Lembaga Pemegang Amanah YPB disusun semula dengan memasukkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Zeti dan bekas bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.




Pada masa sama katanya Abdul Wahid yang sebelum ini mengetuai PNB - sebuah badan pelaburan milik YPB - bersara sebagai pengerusi berkuat kuasa pada 30 Jun.

"Dengan itu diumumkan Zeti akan dilantik sebagai pengerusi kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Julai 2018," kata PNB.

PNB juga memaklumkan bekas calon menteri besar Kelantan dari Umno, Datuk Dr Awang Adek Hussin turut akan bersara sebagai pengarah PNB.

Awang Adek juga, kata kenyataan tersebut akan bersara sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan PNB Sdn Bhd.

Pengunduran Awang Adek daripada kedua-dua jawatan itu juga berkuat kuasa 30 Jun

Tiada ulasan: