Sepuluh Hari Menggoncang Dunia - Ten Days That Shook the World ialah sebuah buku sejarah tulisan John Reed yang diterbitkan pada bulan Mac 1919. Buku ini merakam sejarah Revolusi Bolshevik 1917.
Pada tahun 1981, pengarah Warren Betty dari Holywood telah menggarap filem Red yang berasaskan buku Ten Days That Shook the World dan pengalaman watak John Reed ketika terlibat dalam Revolusi Bolshevik di Rusia.
Pada Jun 2008 American Film Institute telah menobatkan filem Red ini sebagai salah satu dari 10 filem klasik terbaik Amerika dalam genre epik.
Pada Rabu malam 9 dan10 Mei di sebuah hotel di Petaling Jaya, saya telah merakamkan babak-babak yang berlaku di hadapan mata. Juga apa sahaja yang saya dengar. Saya juga merakamkan banyak gambar. Ramai yang ketawa apabila ternampak kamera kecil saya. Mereka merasa pelik kerana masih ada lagi sosok yang menggunakan kamera sedemikian. Telefon bimbit saya tidak ada kamera. Khalas.
Bila saya merakam gambar ramai watak-watak yang dipotret bertanya untuk apa wajah mereka dirakam. Lalu saya menjawab “Ini macam John Reed - Ten Days That Shook the World”.
Sayang sekali tak ada siapa yang faham apa yang saya tuturkan. Mungkin kerana buku rujukan yang saya sebut itu tulisan seorang sosialis tentang revolusi komunis maka tidak ada yang memiliki kesedaran fakta sejarah ini.
Mungkin jika saya nyatakan yang saya merakam gambar ini untuk DSAI atau WAWI maka sosok-sosok ini akan cepat menangkap. Wallahhualam.
Tapi apa yang saya rakamkan ini adalah babak-babak yang telah berlaku lebih dari sepuluh hari.
Malah lebih dari sepuluh bulan. Saya tidak akan berlaku adil jika tidak merungkai jauh ke belakang sebelum kita sampai ke hari Khamis 10 Mei 2018. Saya berjanji akan melakukan ini.
Tetapi sejauh mana ke belakang yang wajib saya rungkai. Itu sedang menjadi tanda tanya kepada diri saya sendiri.
Kita sampai ke hari Khamis 10 Mei 2018 melalui perjalanan yang maha lama, jauh dan berliku.
Justeru untuk berlaku adil kepada sejarah - sekali lagi saya nyatakan - apa yang saya tulis ini hanyalah babak-babak yang saya ketahui. Sosok yang lain wajib muncul untuk merakam sama agar keseluruhan ‘gajah’ itu dapat dilihat.
Pada Jumaat 27 April berita meledak. Pesawat jet peribadi yang ingin ditumpang Mahathir ke Langkawi telah didakwa disabotaj. Malaysia jadi gempar. Aparacik penyokong Najib menafikan berlakunya sabotaj. Malah diberitakan Mahathir akan dipanggil polis kerana membuat berita palsu. Suasana politik gempar.
Sayugia diingatkan Najib telah menerima pandangan para penasihatnya. Justeru Najib telah meluluskan secara tergesa-gesa dua undang-undang. Najib meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara yang diwartakan pada 7 Jun 2016. Akta Berita Palsu yang berkuat kuasa pada 12 April 2018,
satu bulan sebelum PRU14.
Terus kebal, terus berkuasa
Akta-akta ini diluluskan oleh Parlimen ini boleh memastikan Najib terus kebal dan dan akan terus berkuasa. Amin.
Justeru apabila Mahathir membuat kenyataan yang jet peribadi ini telah disabotaj, si Mahathir ini boleh didakwa atas tuduhan menyebar berita palsu.
Jelas dilihat kebijaksanaan para penasihat Najib. Mereka seperti telah menyediakan tembok dan senjata untuk Najib menyerang musuh.
Tetapi sebaliknya telah berlaku. Berita jet Mahathir disabotaj ini menjadi cukup seksi lagi mengghairahkan dalam membantu kempen dan ceramah jelajah. Mak cik dan pak cik Felda bila mendengar jet Mahathir kena sabotaj maka mereka semakin jelas melihat kejahatan terhadap Mahathir.
Ketika ini kempen jelajah telah melencong sekali lagi ke Pantai Timur - memasuki Dungun. Ini wilayah kubu kuat parti Islam PAS. Tapi jelas ombak Melayu benci Najib dan benci United Malays National Organisation telah menggelembung. Semua datang mahu melihat dan mendengar ceramah Mahathir Muhamad yang tayar jetnya telah dipecahkan. Di Kuala Dungun padang bola hampir penuh.
Dari Dungun, jelajah turun ke Kuantan. Mat Sabu telah mengatur pertemuan kedua antara antara Mahathir, Mat Sabu dan Hishamuddin Rais. Kali ini enam mata telah bertemu di tepi kolam renang di sebuah hotel di Kuantan, Pahang pada petang Rabu, 2 Mei, satu minggu sebelum hari mengundi.
Seharusnya pada pertemuan malam itu Dr Wan Azzizh wajib turut bersama. Sayangnya Dr Wan Azizah telah mendapat nasihat dari mat songel. Justeru Dr Wan Azizzh gagal bersama.
Pertemuan di Kuantan bertujuan untuk menuntaskan semua perancangan pasca pembuangan undi.
Dan apa yang wajib dilakukan.
“Bagaimana sekarang Tun? What is your reading?” saya memulakan perbincangan.
“Nampak makin ramai datang ke ceramah,” Mahathir menjawab. Mat Sabu hanya mendengar.
“Tun, kita jangan concede. Kalau dapat 55 peratus undi popular kita declare menang. Dapat 60 peratus kita declare you jadi PM. Tapi nak tunggu keputusan undi popular ini agak lambat. Jadi Pakatan jangan concede dulu,” saya jelas menghasut lagi.
Saya menimbulkan sekali lagi konsep TIDAK CONCEDE. Untuk saya taktik ini amat penting untuk memperbaiki kesilapan PRU13 yang taktik TIDAK CONCEDE ini langsung tidak dibincangkan.
Bayangkan jika taktik tidak concede ini dikahwinkan bersama pada malam himpunan di Padang Kelana Jaya.
Justeru kali ini di setiap kali pertemuan war room saya akan mengingatkan taktik tidak concede ini sebagai persediaan jika Najib menang. Saya cukup yakin Najib akan menang hanya dengan jalan menipu. Ini jelas.
“Di Filipina Marcos jatuh apabila Enrile dan Ramos berubah tidak menyokong Marcos,” Mahathir memberi penjelasan.
“Negara kita ini tak ada pengalaman. Kita lain, tidak macam di Jakarta dan Pilipina, bertembak dan mati.”
'Jika 100, you telefon kawan-kawan you'
Saya faham apa yang dituturkan oleh Mahathir. Enrile menteri pertahanan Marcos dan Ramos jeneral soldadu Marcos. Bila mereka belot Marcos terduduk. Pada ketika ini saya sedar bahawa PDRM dan tentera masih lagi bersama Najib.
Tapi saya juga sedar kali ini dalam PRU14 wajib dilakukan sesuatu untuk membawa satu perubahan yang tuntas. Saya telah bertekad apa harga yang diminta maka itulah harga yang wajib dibayar. Saya yakin Mahathir juga sekepala dengan saya dalam hal ini.
Secara tuntas kami sependapat PRU14 wajib dimiliki oleh Pakatan Harapan.
“Tun, bilangan kerusi akan kita tahu lebih cepat dari undi popular,” saya menyambung perbincangan.
“Dalam jam 9 kita dah tahu kita menang atau tidak, tak payah tunggu lama,” Mat Sabu menerangkan hasil dari pengalaman.
“Bila kita lintas 95 kerusi kita umum Tun jadi PM. Jika sampai 100, you telefon kawan-kawan you,”saya menghasut lagi.
Di sini saya mahu menerangkan dari mana saya pungut angka 100 kerusi ini. Dari fakta sejarah sosok yang mencadangkan angka 100 kerusi ini kepada saya ialah Lim Guan Eng.
Kisahnya begini, saya telah dijemput ke satu bengkel media di Pulau Pinang. Ini sesudah PRU13. Di bengkel saya sempat bertemu dengan YB Lim. Kami berbincang tentang itu dan ini. Akhirnya saya menghasut YB Lim agar Pakatan Rakyat 'kautim' dengan Taib Mahmud yang memiliki kuasa mutlak di Sarawak.
Dengan spontan YB Lim menolak.
“Apa nanti kata NGO,” YB Lim mempertahankan kesucian politiknya dari dicemari. Kemudian YB Lim menulis angka 100 dalam buku nota saya.
“Bila sampai 100, semua akan datang,” ini pandangan ketua menteri Pulau Pinang beberapa bulan sesudah PRU13. Inilah angka 100 yang saya jadikan asas untuk menghasut Mahathir.
Dalam hal statistik undi popular 55 peratus atau 65 peratus dan 95 kerusi atau 100 kerusi Mahathir hanya mendengar apa yang saya terangkan. Justeru saya tidak tahu apa dalam kepalanya.
Tapi saya yakin dari pertemuan pertama Mahathir telah mencadangkan kita berarak ke Istana apabila mendapat 112 kerusi. Kenapa 112 kerusi? Nanti kita akan bertemu jawapannya. Sabar dulu.
“Di mana kita nak berkumpul pada malam pengiraan undi?” Saya menimbulkan persoalan ini sekali lagi.
“Putrajaya, pejabat saya, Yayasan Perdana,” jawab Mahathir.
“Tapi Tun, tempat ini jauh kalau nak berarak ke Istana Negara.”
'Jika Najib menang, Najib menipu'
Saya melontar pandangan strategik. Kata-kata saya ini memiliki asas yang tepat. Saya memiliki pengalaman menyusun demo. Saya juga tahu di mana letak pejabat Yayasan Perdana.
“Kena dekat sikit di Kuala Lumpur,’ Mat Sabu memberi pandangan.
Yayasan Perdana ini tersorok. Payah untuk didatangi. Malah jika diserang dunia tidak akan tahu. Ini menggusarkan saya. Tapi saya faham kenapa Mahathir masih mahu berhimpun pada malam kiraan undi di Yayasan Perdana, Putrajaya.
Tun Dr Mahathir selama ini adalah pemegang kuasa. Bukan melawan kuasa. Justeru taktik dan strategi pihak yang berkuasa amat berbeza dari sosok-sosok yang mahu menjatuhkan kuasa.
Saya sedang merancang, menyusun, mengatur dan menghasut sedikit demi sedikit rancangan ke jalan raya. Saya cukup yakin PRU14 Pakatan Harapan akan menang. Jika Najib menang ertinya Najib menipu.
Saya juga sedar aparacik kerajaan dilihat tetap menyokong Najib. Strategi sedang disusun untuk memastikan Najib menang.
Justeru jika Najib menang, Najib menipu. Saya telah mengolah persetujuan dan menghasut orang ramai untuk bersedia turun ke jalan raya. Apa terjadi? Tunggu minggu hadapan.
*HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan