THE MALAYSIAN TIMES
TAIPING: Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa 1 Julai ini.
Syed Abu Hussin yang memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 4,089 undi, turut mengisytiharkan peletakan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan Pengerusi BN Parlimen Bukit Gantang berkuatkuasa hari ini.
Beliau berkata peletakan jawatan itu kerana kecewa dengan proses pemilihan Pemuda dan Wanita UMNO pada 23 Jun lalu yang memberi tamparan kepadanya dan kepimpinan.
“Yang lebih mendukacitakan adalah penipuan berlaku dalam pemilihan saf kepimpinan apabila dua wakil rakyat Ahmad Saidi Mohd Daud (Adun Changkat Jering) dan Jamilah Zakaria (Adun Trong) serta 15 cawangan Pemuda yang bermesyuarat dimatikan dan dinafikan hak tanpa notis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata peletakan jawatan parti itu untuk memberi laluan kepada barisan pelapis yang berkemampuan.
“Keputusan yang saya buat ini atas kehendak diri saya sendiri setelah memikir dan meneliti sedalam-dalamnya. Keputusan ini juga tidak dipengaruhi oleh individu-individu berkepentingan atau mana-mana parti politik,” katanya.
Syed Abu Hussin berkata walaupun beliau menang besar pada PRU14, namun perpecahan yang berlaku telah mengecewakannya dan tidak dihargai.
“Saya akan terus memberikan tumpuan dengan menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat bebas tanpa ada gangguan untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan menyertai parti lain, Syed Abu Hussin berkata setakat ini beliau tidak fikir untuk menyertai mana-mana parti.
Syed Abu Hussin merupakan anggota Parlimen Kedua BN di Perak keluar parti selepas Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Ahad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan