Jumaat, 29 Jun 2018

1,000 kuota matrikulasi untuk pelajar Cina

Nizam Zain
Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua kanan) menyampaikan surat tawaran kemasukan ke Program Matrikulasi kepada tiga pelajar cemerlang SPM dari kaum Cina dari Selangor di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, hari ini. Foto Nizam Zain


PUTRAJAYA – Penambahan sebanyak 1,000 tawaran khas diberi kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan Bumiputera dari kaum Cina bagi mengikuti Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan untuk sesi 2018/2019.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, tawaran khas itu diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpegang kepada pendirian kami akan cuba membantu semua pelajar yang layak dari segi akademik dan mempunyai keperluan untuk membantu sosioekonomi mereka.

“Berdasarkan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu, penawaran khas ini adalah satu hadiah daripada Kerajaan Pakatan Harapan kepada masyarakat Cina daripada keluarga B40,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Pada sidang media sama Maszlee turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke Program Matrikulasi KPM kepada tiga pelajar cemerlang SPM dari kaum Cina dari Selangor.

Antaranya Yew Sing Teng dan Wong Shi Han ditawarkan dalam jurusan sains di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang serta Ng Yong Ming jurusan sains di Kolej Matrikulasi Pahang.
Dr Maszlee Malik
Tiga pelajar cemerlang kaum Cina dari Selangor, iaitu Yew Sing 
Teng (kiri), Ng Yong Ming (tengah) dan Wong Shi Han menunjukkan 
surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Program Matrikulasi yang 
diterima daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di 
Kementerian Pendidikan, Putrajaya, hari ini. Foto Nizam Zain
Program Matrikulasi KPM merupakan program pra universiti yang disediakan oleh kerajaan bagi pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM) dan profesional.

Namun program matrikulasi ini juga memberi ruang sebanyak 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera bagi tujuan mewujudkan persaingan sihat di samping memantapkan integrasi nasional dan perpaduan kaum sejak 2003.

Maszlee juga berkata, bagi sesi kali ini, sebanyak 84,891 permohonan telah diterima termasuk 20,040 permohonan daripada bukan bumiputera.

“Seramai 4,068 orang pelajar bukan bumiputera telah ditawarkan tempat di kolej-kolej matrikulasi bagi sesi 2018/2019,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: