Roketkini.com
GELANG
PATAH- DAP membuat keputusan bertanding di Parlimen Gelang
Patah, Johor bermatlamat menembusi dan menawan negeri yang dianggap
‘deposit tetap’ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13) nanti.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, itu adalah antara objektif
Pakatan Rakyat (PR) yang mensasar memenangi 33 daripada 83 kerusi
Parlimen di tiga negeri ‘deposit tetap’ termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, dua hari lalu, beliau membincangkan dua objektif utama
pertarungan Gelang Patah dengan mensasar enam kerusi Parlimen dan 13
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor bagi mencerahkan peluang PR
menawan Putrajaya pada PRU-13 nanti.
Enam kerusi Parlimen di Johor Selatan yang menjadi objektif pertama
ialah Johor Bahru, Pasir Gudang, Tebrau, Gelang Patah, Kulai dan Pulai,
manakala 13 kerusi DUN ialah Stulang, Tanjong Puteri, Johor Jaya,
Permas, Puteri Wangsa, Tiram, Skudai, Nusajaya, Pengkalan Rinting,
Kempas, Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai.
Objektif kedua pula ialah mensasar 19 kerusi Parlimen dan 30 kerusi
DUN di Johor, termasuk enam Parlimen dan 13 kerusi DUN di selatan Johor
yang disebut tadi.
Tambahan 13 lagi kerusi Parlimen di seluruh Johor ialah Tanjong Piai,
Kluang, Batu Pahat, Bakri, Labis, Segamat, Sekijang, Ledang, Muar, Ayer
Hitam, Sri Gading, Simpang Rengam dan Sembrong manakala 17 kerusi DUN
adalah Pekan Nenas, Mengkibol, Penggaram, Bentayam, Sungai Abong, Bekok,
Jementah, Tangkak, Paloh, Yong Peng, Mahkota, Layang-Layang, Parit
Yaani, Maharani, Gambir, Tenang dan Pemanis.
“Saya tidak mendakwa PR boleh memenangi semua 19 kerusi Parlimen dan
30 kerusi DUN di Johor itu, memadai jika PR boleh mencapai 50 peratus
daripada sasaran itu dan ia dianggap “revolusi politik luar biasa” di
Johor, walaupun pemimpin BN bercakap besar mahu memastikan Johor menjadi
negeri “pembangkang sifar”.
“Saya jangka akan mencatat kejayaan lebih daripada 50% sebab itu
mensasarkan PR memenangi 19 kerusi Parlimen dan 30 kerusi DUN di Johor
pada PRU-13 nanti,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan
Detik 12 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ia akan menjadi
lebih mudah mencapai matlamat memenangi lebih daripada satu pertiga
daripada kerusi Parlimen di Johor bagi membantu PR ke Putrajaya untuk
membentuk kerajaan Persekutuan yang baru selain menang majoriti mudah di
kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri Johor pada PRU-13.
Menurutnya, beliau mengakui keputusan bertanding di Gelang Patah akan
mengundang risiko kerana ia kubu kuat BN berbanding kekal bertanding di
Ipoh Timur yang dimenanginya dengan majoriti 21,000 undi pada PRU 2008.
“Saya bersedia menerima semua risiko bertanding di Gelang Patah
kerana tidak bersedia menjadi “kiasu” dan “kiasi” seperti Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini tidak dapat
memutuskan bila Parlimen akan dibubarkan walaupun dia, Kabinet dan
kerajaan sudah luput tempohnya.
“Pertanding saya di Gelang Patah adalah objektif ketiga sebagai
isyarat jelas untuk memusnahkan tiga negeri iaitu Johor, Sabah dan
Sarawak daripada menjadi negeri deposit tetap BN sekaligus mencerahkan
peluang PR ke Putrajaya,” katanya.
Pada PRU 2008, PR memenangi 82 kerusi Parlimen manakala BN menang 140
kerusi. jika PR boleh menang sekurang-kurangnya 40% kerusi Parlimen di
tiga negeri berkenaan iaitu 33 daripada 83 kerusi di Johor, Sabah dan
Sarawak, PR akan memperolehi 112 daripada mudah 222 kerusi Parlimen pada
PRU-13 nanti
.
Bagaimanapun, PR hanya boleh menang selesa jika memenangi
sekurang-kurangnya 125 kerusi Parlimen (iaitu majoriti 28) yang PKR
bertanding di 45 kerusi, manakala DAP dan PAS, masing-masing 40 kerusi
pada PRU-13 nanti. –
Roketkini.com