Rabu, 27 Jun 2018

MPM gelar Guan Eng 'Mr Spinner'


 Dr Zainal Kling
Dr Zainal Kling


SHAH ALAM - Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggelar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai pemutar belit berhubung isu siaran rasmi kementerian berkenaan dalam bahasa Mandarin.

Menurut Pengerusi Biro Sosio-Budaya MPM, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, ini kerana Guan Eng bukan sahaja sengaja memesongkan dan memutarbelitkan tafsiran peruntukan Perlembagaan, bahkan mengetepikan terdapatnya peruntukan dalam Perkara 152.

Katanya, dalam Perkara 152 yang sama tentang tafsiran ‘bahasa rasmi’ dalam 152 (6), yang berbunyi ‘Dalam Perkara ini, maksud rasmi, ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.’

Jadi menurut Dr Zainal, alasan bahawa tindakan itu sebagai wajar kerana mengamalkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 (1a) tidak boleh diterima.

“Inilah wajah Guan Eng sebenarnya, pemutar belit (Mr Spinner). Barangkali kita tidak merasa hairan terhadap sikapnya yang degil dan bodoh alah itu kerana ternyata perbuatannya itu dianggap oleh pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) sebagai hanya kesalahan remeh.

“Sehingga kini, para pemimpin Harapan amat gemar mengadakan persidangan akhbar di dalam bahasa Inggeris dan kelihatan amat jarang menggunakan bahasa kebangsaan. Seolah-olah mereka terketar-ketar apakala bertutur dalam bahasa kebangsaan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Katanya, kefasihan pemimpin Harapan menggunakan bahasa asing juga digambarkan sebagai sikap sebenar pemimpin ‘Malaysia Baharu’.

“Betapa fasih mereka berbahasa asing. Inilah jua gambaran sikap kepimpinan Malaysia baharu, membina ‘alienation’ terhadap kerangka hidup yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, padahal mereka telah berikrar di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara,mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan Malaysia dan taat setia kepada negara,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Guan Eng kemudian mengeluarkan satu lagi kenyataan yang Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan ia dibuktikan menerusi laman web rasmi kementerian itu.

Guan Eng menjelaskan kenyataan rasmi bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan tindakan Guan Eng hanyalah satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan.

Malah Dr Mahathir tidak berhasrat menasihati Guan Eng atas kritikan yang timbul kerana beranggapan, semua orang pernah buat salah.

Dr Mahathir menegaskan bahawa Guan Eng boleh terus mengeluarkan kenyataan media dalam pelbagai bahasa selagi beliau memegang jawatan Menteri Kewangan.

Tiada ulasan: