Sabtu, 30 Jun 2018

SPRM siasat penyelewengan bekas menteri Umno


SPRM siasat penyelewengan bekas menteri Umno
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang pemimpin tertinggi Umno akan dipanggil ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat, berkaitan kes penyelewengan wang milik sebuah yayasan.

Beliau adalah menteri kanan di dalam Kabinet bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, pemimpin itu dipanggil bagi membantu suruhanjaya tersebut dalam penyiasatan dakwaan kes penyelewengan dana yayasan.

Beliau berkata demikian bagi mengesahkan laporan Sinar Harian kelmarin mengenai kes penyelewengan itu.

“Memang ada seorang pemimpin tinggi Umno sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama pemimpin terbabit atau memberi maklumat lanjut berkaitan kes berkenaan.

Sumber yang boleh dipercayai bagaimanapun memberitahu, pemimpin itu adalah antara yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tinggi pada pemilihan Umno hari ini.

Beberapa jawatan tertinggi parti itu akan melihat pertandingan dalam kalangan pemimpin kanan.

Simi Abdul Ghani
Lima individu disenaraikan bertanding untuk jawatan Presiden Umno yang dikosongkan Najib selepas BN tumbang kepada Pakatan Harapan pada PRU14.

Mereka ialah pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@ Jamaluddin.

Jawatan Timbalan Presiden ditandingi oleh Pengerusi Umno Negeri Sembilan yang juga bekas menteri besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Untuk memberi tumpuan kepada kepentingan parti, Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (Kafa) semalam, mengumumkan menarik diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).

Bertanding untuk jawatan Naib Presiden Umno  ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Ismail Sabri, Mohamed Khaled, Mahdzir, Tajuddin dan Johari ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu Sinar Harian, siasatan dijalankan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang daripada pemimpin tinggi Umno menyalahgunakan wang sebuah yayasan, di mana  beliau menjadi pengerusi.

Beliau disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan tersebut untuk membayar kad kredit miliknya dan isterinya.

SPRM dipercayai berjaya mengesan beberapa dokumen yang mencatat maklumat transaksi pembayaran untuk diri dan isteri pemimpin itu.

Penyalahgunaan wang yayasan tersebut bermula pada 2014 lagi.

Pada 2014 dan 2015 beliau didakwa menyalah guna kira-kira RM800,000 dan pada 2016 pula kira-kira RM55,000 untuk isterinya.

Menurut sumber itu lagi, pada masa sama, SPRM juga menyiasat kes penyelewengan dana dan salah guna kuasa beberapa tokoh politik, termasuk beberapa bekas menteri dan ketua bahagian parti.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan nama mereka yang disyaki terlibat

Tiada ulasan: