Khamis, 28 Jun 2018

Khairy tak patut tanding jawatan presiden, kata Ku Li

Calon presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak sepatutnya bertanding dalam pemilihan kali ini dan akur sekiranya kalah semasa pertemuan dengan wakil sayap parti di kediamannya di Langgak Golf, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain
 
CALON presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pencabarnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar harus redha dan menerima dengan hati terbuka sekiranya tewas dalam pertandingan itu.

Ini memandangkan, bekas ketua Pemuda Umno itu tidak sepatutnya menyertai pertandingan merebut jawatan presiden pada kali ini, katanya.

“Pandai sangat dia bertanding. Patut dia tidak bertanding, orang yang bertanding ada risiko.

“Menang, kalah ada nasib baik ada nasib tak baik…masa depan akan ditentukan oleh masa depan,” katanya ketika berdialog dengan wakil sayap parti hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan ahli Umno yang hadir sama ada Khairy akan diberi kedudukan dalam pentadbirannya nanti.

Ku Li menemui wakil sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dari Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka itu di kediamannya di ibu negara, hari ini.

Seorang lagi calon utama untuk pemilihan jawatan presiden Umno itu adalah pemangku presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Dua lagi calon lain turut menentang dalam pemilihan yang akan berlangsung Sabtu ini.

Khairy sebelum ini mengumumkan menawarkan diri untuk jawatan naib presiden namun berubah fikiran untuk bertanding jawatan presiden.

Dalam manifestonya, Khairy berjanji akan menambah dua kerusi naib presiden khusus untuk wanita dan Sabah.

Selain itu, bekas menteri belia dan sukan itu juga turut bersetuju menyertai debat antara calon presiden Umno yang dicadangkan Ku Li sebelum ini.

Debat yang dijadualkan berlangsung 29 Jun ini akan menampilkan Khairy, Ku Li, dan Zahid.

Khairy berkata, mereka yang bersetuju berdebat perlu mengambil sikap positif amalan itu kerana ia bukanlah medan mendedahkan kelemahan masing-masing, sebalik untuk perbincangan masa depan serta hala tuju Umno yang kini pembangkang persekutuan.

Debat berkenaan katanya akan dapat dilaksanakan penuh hemah selaras dengan semangat kekeluargaan dan adab Umno.

“Ini perbincangan antara keluarga yang dapat dipamerkan Umno baru, bukan menyerang satu sama lain. Kita faham adab kita dalam parti,” katanya.

Tiada ulasan: