KUALA
LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf
Wajdi Dusuki menggesa Ketua Armada Syed Saddiq Abdul Rahman bertanyakan
kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan mengapa
rakyat resah dan gelisah akibat krisis politik yang menyebabkan negara
tidak stabil dan ekonomi tergugat.
“Saudara patut tanya kenapa ini berlaku kepada pemimpin-pemimpin PH terdahulu.
“Semuanya angkara kerakusan dan ketamakan untuk berkuasa, berebut
takhta Perdana Menteri sejak awal berkuasa sehinggalah runtuhnya
kerajaan PH secara rasmi yang memangsakan rakyat,” katanya dalam satu
video yang disiarkan di Facebook.
Dr
Asyraf berkata demikian membidas pendirian Ahli Parlimen Muar itu di
dalam Twitternya yang menolak kerjasama partinya Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) bersama parti yang dituduhnya sebagai parti yang
menyalahguna kuasa dan tidak berintegriti bagi menentukan Perdana
Menteri Kelapan.
Seterusnya, Dr Asyraf turut bersetuju dengan Syed Saddiq bahawa
rakyat berhak mendapat negara yang lebih baik dan itulah pendirian tegas
Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.
“Benar saudara kata, rakyat berhak negara yang lebih baik. Sebab
itulah kami pemimpin-pemimpin UMNO, Muafakat Nasional, PAS dan BN
bersetuju untuk menyerahkan kembali mandat ini kepada rakyat dengan
pembubaran Parlimen.
“Namun kami menjunjung hormat titah Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong agar kami dapat berbincang supaya dapat dielakkan
(pembubaran Parlimen) kerana maslahah yang lebih besar.
“Sebab itulah kami berjiwa besar sanggup menyokong cadangan Tan Sri
Muhyiddin (Presiden Bersatu) sebagai Perdana Menteri. Tetapi kami tidak
akan sesekali bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin bak kata pepatah
‘ayam berkokok berderai-derai, namun ekor bergelumang tahi’,” tegasnya
lagi.
Justeru itu, Dr Asyraf juga mengalu-alukan Syed Saddiq kembali kepada
PH yang kini terkenal sebagai sebuah parti yang penuh hipokrasi.
“Saudara, kalau saudara ingin kembali kepada mereka, yang kononnya
pejuang rakyat tetapi menipu rakyat, kononnya bersih tetapi hakikatnya
penuh dengan rasuah di mana kes rasuah terowong, kes rasuah banglo boleh
ditarik begitu sahaja oleh bekas Peguam Negara.
“Justeru, kalau saudara ingin kembali kepada mereka silakan, tetapi
nasihat saya daripada ‘hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati
berkalang tanah’,” tambahnya. – UMNO ONLINE
Tangkap juga Ramasamy, Kulasegaran bersama penyokong LTTE
BANGI
– Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mengharapkan Perdana Menteri
baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin – akan meneruskan pendakwaan terhadap
pihak tertentu yang didakwa atas kesalahan merasuah serta pecah amanah.
Beliau yang juga Presiden Multiracial
Reverted Muslim (MRM) menuntut supaya kes yang digugurkan oleh Jabatan
Peguam Negara sebelum ini seperti rasuah membabitkan Setiausaha Agung
parti tamak haloba DAP, Lim Guan Eng didakwa semula.
Bahkan Firdaus turut menggesa tangkapan
semula serta dakwaan dilakukan terhadap tertuduh yang mempunyai kaitan
dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
“Harap tidak memilih bulu ditangkap
sekali dengan Ramasamy dan Kulasegaran yang telah memadamkan bukti
bergambar dan video mereka bersama penyokong atau ahli LTTE.
“Semoga Allah menjauhkan mereka yang
terlibat dalam rasuah, berfahaman liberal serta menggadaikan agama dari
memegang sebarang jawatan dalam kerajaan baharu nanti. Allahuma Ameen,”
kata beliau menerusi akaun Facebook.
Sebelum ini dilaporkan, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara.
Beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
Tommy dilantik menyandang jawatan itu pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun dan sepatutnya berakhir Jun depan.
Minggu lalu, Tommy memberhentikan
prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan
tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.
Menegaskan keputusan itu, Tommy berkata,
ia dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap
semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
melepas dan membebaskan Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung
pembelian sebuah lot tanah dan banglo, serta ahli perniagaan, Phang Li
Koon daripada dakwaan bersubahat.
Difahamkan keputusan menarik balik kes berkenaan diputuskan Pejabat Peguam Negara.
Kembalikan perpaduan, junjung tinggi Perlembagaan, patuh 'rule of law'
BANGI-
– Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan tahniah
kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan beliau sebagai Perdana
Menteri kelapan.
Sebagai pemimpin negara yang baharu, Amir
ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mengingatkan Muhyiddin untuk
menunaikan tanggungjawab mengikut syariat Allah serta menjunjung tinggi
Perlembagaan di samping patuh kepada prinsip ‘rule of law’.
Pemimpin gerakan Islam itu berkata,
rakyat tidak akan melepaskan perdana menteri baharu itu sekiranya beliau
gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.
“Selain itu, kembalikan maruah kerajaan
dengan melaksanakan dasar-dasar yang betul. Perdana Menteri kelapan juga
perlu mengembalikan perpaduan rakyat atas kitab Allah dan sunnah
Rasulullah ﷺ,” kata beliau.
Teka-teki siapa perdana menteri kelapan
terjawab hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan melantik Muhyiddin
menggalas jawatan itu.
Menerusi kenyataan media Istana Negara
yang dikeluarkan jam 4.29 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja,
Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, istiadat pengurniaan surat cara
pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan
10.30 pagi esok di Istana Negara.
“Hari ini, Istana Negara menerima senarai
pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti
politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat
yang bebas.
“Proses ini lanjutan titah Yang
di-Pertuan Agong, di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang
bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal
Perdana Menteri.
“Selepas mendapat representasi semua,
pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat
kepercayaan majoriti ialah Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin yang
juga Ahli Parlimen Pagoh,” katanya.
Ahmad Fadil berkata, perlantikan
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
sebagai Perdana Menteri itu, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara
43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Petang ini, setelah koflik berkaitan pelantikan Perdana
Menteri berlarutan selama lebih kurang seminggu, perkenan KBDYMM SPB
Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai
Perdana Menteri telah menghentikan spekulasi dan perang saraf politik.
Semua pihak hendaklah mentaati perkenan dan titah Yang di-Pertuan
Agong. Setelah pelbagai tindakan yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan
Agong, termasuk memberikan peluang kedua kepada parti politik untuk
menamakan calon mereka.
Yang di-Pertuan Agong juga telah mengambil
pendekatan berbincang dan mengambil pandangan serta perhatian kepada
semua pihak. Kelihatan beberapa kali Yang di-Pertuan Agong berbincang
dengan beberapa orang pemimpin utama parti politik. Tindakan bijaksana
baginda tidak boleh dipersoalkan lagi.
Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong juga menentukan calon
yang pada hemat baginda telah memperoleh kepercayaan majoriti Ahli
Dewan Rakyat.
Hanya Yang di-Pertuan Agong yang menentukannya dan
sebarang kenyataan, spekulasi atau anggapan yang dibuat oleh mana-mana
pihak di luar istana adalah tidak boleh mempengaruhi keputusan baginda.
Atas prinsip keluhuran Perlembagaan maka peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang hal ini hendaklah ditaati oleh semua pihak.
— Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 20 bulan.
Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.
LANGSUNG
5.30 petang:
Eastin Hotel, Petaling Jaya - Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub
berkata PH akan mengemukakan perakuan bersumpah (SD) anggota parlimen
yang menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, kepada Yang
di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, surat daripada Istana Negara
semalam tidak menyatakan secara khusus tempoh masa untuk kedua-dua pihak
mendapatkan sokongan melalui SD.
"Kita yakin ada angka (sokongan MP) yang cukup, sebab itu kita usaha sampai saat ini.
"Tiba-tiba
kita dengar pengumuman rasmi istana, sebab itu kita akan cari
jalan...InsyaAllah kita akan buktikan (ada sokongan). Kita ada hujah
yang cukup," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama
ada SD yang dihantar oleh ketua-ketua parti kepada Istana tengah hari
tadi cukup untuk membolehkan PH menubuhkan kerajaan.
Beliau juga berkata PH akan meneliti aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sebelum menentukan langkah seterusnya.
5.15 petang:
Ahli majlis tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berharap pelantikan
Muhyiddin sebagai perdana menteri menandakan berakhirnya krisis politik
dan pembinaan semula negara.
"Para pemimpin yang menerima mandat baru ini harus memastikan jasa baik para pemimpin masa lalu akan terus dihargai," tambahnya.
Beliau juga meminta Bersatu untuk kembali bersama-sama dengan disiplin yang lebih baik.
Sementara
itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang ditemui di rumah
Muhyiddin menyatakan rasa] syukur atas keputusan itu.
“Alhamdulillah. Kerja keras kita selama seminggu berjaya angkat Muhyiddin sebagai PM,” katanya.
4.55 petang: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyambut pengumuman istana tentang lantikannya sebagai perdana menteri dengan sujud syukur.
Dalam
satu video berdurasi 51 saat yang dikongsikan di laman Facebook Rita
Sarbanon Ismail, Muhyiddin dilihat sedang mengerjakan sujud syukur,
sebelum kemudiannya menadah tangan dipercayai berdoa selama beberapa
puluh saat.
Sebelum itu, pada jam 4.30 petang, Yang di-Pertuan
Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan
menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang kini berkhidmat sebagai perdana
menteri interim.
Ketika ditemui media di kediamannya di Bukit Damansara, Muhyiddin
mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan berharap semua rakyat
Malaysia menerima keputusan Istana.
"Saya bersyukur kepada Allah dianugerahkan jawatan perdana menteri kelapan. Dengan izin dan perkenan Agong.
"Saya
menjunjung kasih di atas perkenan Agong dan sebab itu saya ingin
ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada
saya.
"Dan kita telah pun beristiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kpd saya.
"Saya hanya menohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini," katanya.
Muhyiddin
juga menambah bahawa beliau dimaklumkan bahawa upacara angkat sumpah
akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada pukul 10.30 pagi
esok.
4.30 petang: Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa dilaporkan
berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.
4.24 petang: Anggota Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik menyatakan sokongannya buat Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.
Katanya,
meskipun dia tidak boleh berkompromi dengan sebarang usaha untuk
menjejaskan kepentingan agenda Melayu, Islam dan Bumiputera, dia juga
sukar untuk bersekongkol dengan individu-individu yang terlibat rasuah
dan korupsi dan sedang diadili di mahkamah.
“Kemelut ini perlu diselesaikan segera.
“Dengan ini, saya menyatakan sokongan saya kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.
“Saya
juga ingin menyeru kepada semua Ahli Parlimen Bersatu untuk kembali
bersatu dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan
politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Warisan kata kedudukan tak berubah, masih sokong Dr M
4.10 petang: Parti
Warisan Sabah berkata ia kekal konsisten dalam sokongannya terhadap
Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
"Selepas
mengadakan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi parti, Warisan tetap
dengan pendirian sebelum ini iaitu menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad
sebagai Perdana Menteri," kata Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua.
Keputusan itu disahkan semula berikutan mesyuarat kepimpinan.
Sementara
itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Anggota Parlimen
Keningau, Jeffrey Kittingan, yang pagi ini dilihat di kediaman Presiden
Bersatu Muhyidddin Yassin di Kuala Lumpur, tidak akan menyokong
Mahathir.
Mahathir dan Muhyiddin, walaupun dari parti yang sama, kini berbalah dan bersaing untuk membentuk kerajaan baru.
Istana Negara keluar kenyataan rasmi jam 5 petang ini
4.09 petang:Bernama melaporkan Istana Negara akan keluarkan kenyataan rasmi pada jam 5 petang ini.
Anwar dakwa tiga MP sertai PH
3.40 petang - Hotel Eastin, Petaling Jaya:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa tiga anggota parlimen menyertai
Pakatan Harapan (PH) termasuk Anggota Parlimen Serian, Richard Riot dari
GPS.
Ini menjadikan jumlah sokongan anggota parlimen kepada Dr Mahathir Mohamad adalah seramai 95 orang berbanding 92 sebelum ini.
Anwar, bagaimanapun tidak menamakan dua anggota parlimen lain yang beralih arah kepada PH.
"(Angka) jauh lebih tinggi sebab 95 itu (dari) PH, Tun M tentulah bawa beberapa (MP) lagi," katanya.
Tanpa
memberitahu angka yang tepat, beliau berkata PH kini sudah mempunyai
jumlah anggota parlimen yang mencukupi di pihak mereka.
Ketika diminta mengesahkan Riot menyertai PKR, Anwar berkata, pemimpin berkenaan akan menyertai parti itu.
"Tadi dia call, dia mohon lama dah, tadi dia call , dia confirm he is on the way," katanya.
Pagi Jeffrey sokong Muhyiddin, petang didakwa sokong Mahathir
3.31 petang: Jika
di sebelah pagi Jeffrey Kitingan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin
Yassin sebagai calon perdana menteri, di sebelah petangnya anggota
parlimen Keningau itu dikatakan mengubah pendirian.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi Twitternya mendakwa Jefrrey kini beralih sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.
"PKR
dan PH mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Dr Jeffrey Kitingan,
Ahli Parlimen Keningau (P.180) yang telah menyatakan sokongan terbuka
buat @chedetofficial sebagai calon Perdana Menteri," katanya.
KEADILAN & amp; Pakatan Harapan mengucapkan terima kasih Kepada YB
Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Keningau (P.180) Yang Telah
menyatakan Sokongan Terbuka buat @chedetofficial . SEBAGAI calon Perdana Menteri & mdash; Fahmi Fadzil (@fahmi_fadzil) 29 Feb 2020
Awal pagi tadi Jeffery dari parti Star, merupakan salah
seorang anggota parlimen yang berkumpul di kediaman Muhyiddin dalam
rancangan untuk memaklumkan kepada istana bahawa mereka mempunyai
majoriti membentuk kerajaan baru.
Setelah kira-kira 40
minit pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin dilihat
meninggalkan istana, sementara Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan,
yang mengiringi beliau hanya berkata "Kami akan kembali esok". SAMBUNGAN BERITA SILA LIHAT DI SINI
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memanjatkan rasa syukur atas
perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantiknya sebagai perdana menteri
yang baru.
“Saya menjunjung kasih di atas perkenan YDPA dan sebab
itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan
moral kepada saya.
“Dan kita telah pun berisitiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kepada saya.
“Saya
hanya memohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan
diumumkan Istana Negara hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di
kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Kira-kira
jam 4.30 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad
Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan melantik
Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang baru.
Ia selepas istana menerima senarai calon daripada ketua-ketua parti politik hari ini.
"Setelah
mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili
parti masing-masing, serta ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri
Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan
majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin
(Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh," katanya dalam kenyataan itu.
Majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok (1 Mac).
"InsyaAllah saya akan berada di Istana Negara esok," kata Muhyiddin lagi.
Presiden
PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Presiden UMNO, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri), Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang (tiga kanan), bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali
(dua kiri) serta yang lain sebelum menuju ke istana negara bagi membuat
perjumpaan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di kediamannya di Bukit Damansara,
Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mewakili suara gabungan baru
yang dibentuk bersama UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Muhyiddin yang dicalonkan sebagai calon Perdana kelapan berkata dia
yang kini mengetuai Perikatan Nasional ke Istana Negara untuk
mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan h
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al
Musta’in Billah Shah.
“Kami semua dari Perikatan Nasional, semua orang yang anda
lihat di sini, akan pergi ke Istana Negara dengan dokumen ini yang kami
bawa, untuk mencari perkenan Agong.
“Hasrat kami adalah untuk melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada apa yang sedang berlaku sekarang.
“Kami mempunyai matlamat yang ikhlas dan kami meminta semua rakyat
Malaysia untuk mendirikan solat dan menunjukkan sokongan untuk usaha
kami untuk memastikan kejayaan kami.
“Saya menyeru semua orang untuk berdoa dan semoga kami akan menerima
berkat dari Allah,” katanya sebelum berangkat ke Istana Negara pada
pukul 10 pagi.
Muhyiddin Yassin kini sudah menghadap YDPA bagi mempersembahkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri kelapan.
Turut mengiringi Muhyiddin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Pagoh itu menerima sokongan Barisan Nasional dan Pas
sebagai perdana menteri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh
Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – “Itu keputusan
Pakatan Harapan,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika
ditanya mengenai keputusan Pakatan Harapan (PH) yang menyokong Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Anwar meninggalkan kediamannya di
Segambut pada jam 11.40 pagi bersama isteri beliau yang juga Presiden PH
dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Beberapa pemimpin gabungan tersebut
termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR,
Datuk Seri Saifuddin Nasution, Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Ketua Armada Bersatu,
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertemu Tun Dr. mahathir Mohamad awal pagi
tadi.
Pakatan Harapan hari ini membuat keputusan mengejutkan apabila
menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon
Perdana Menteri.
Dalam kenyataannya, gabungan parti itu memaklumkan, ia berpegang
teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan Pakatan Harapan dalam
kerajaan. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
melahirkan rasa syukur berakhirnya kemelut perlantikan Perdana Menteri
kelapan setelah pihak Istana Negara mengesahkan beliau dipilih ke
jawatan itu.
Beliau turut menjunjung rasa terima kasih kepada Yang di-Pertuan
Agong atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang
baharu.
“Saya menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong
dan sebab itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi
sokongan moral kepada saya.
“Kita telah pun berisitiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah
diberikan Allah kepada saya,” katanya dalam sidang media di kediamannya,
hari ini ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berharap agar rakyat Malaysia dapat menerima keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Saya hanya menohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini.
“Saya dimaklumkan bahwa majlis mengangkat sumpah, ikut makluman
diberitahu akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada pagi esok
jam 10.30,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Saksi pembelaan kesembilan kes perbicaraan SRC
International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak memberitahu mahkamah sememangnya ada derma dari Raja Arab
bernilai RM2.6 bilion.
Saksinya yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Asisten Komisioner Mohd Nasharuddin mengakui
sememangnya ada wakil perundangan kepada Putera Arab dikenali sebagai
Abdullah al-Koman membuat pengesahan ke atas empat surat tentang derma
RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri berkenaan.
Kata Mohd Nasharudin yang terlibat dalam penyiasatan kes
1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau ada bertemu dengan Putera
Saudi, Saud Abdul Aziz di Riyadh pada November 2011.
Saud Abdul Aziz merupakan individu yang didakwa menandatangani empat
surat yang dikaitkan dengan derma berjumlah RM2.6 bilion daripada
keluarga diraja Saudi kepada Najib.
Pegawai SPRM itu berkata, pihak SPRM telah pergi ke Riyadh, Arab
Saudi pada 27 November 2015 bagi memastikan ketulenan empat surat yang
dikaitkan dengan derma yang didakwa diberikan oleh keluarga diraja Saudi
kepada bekas perdana menteri itu.
“Saya telah diarahkan oleh bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang
Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP), Fikri Ab Rahim untuk bersama-sama
dengan beliau ke Arab Saudi untuk tujuan Itu pada 27 November 2015.
“Ketika itu bersama bersama kami adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM,
Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan
pegawai kanan SPRM, Mohd Hafaz Nazar,” katanya ketika pemeriksaan balas
oleh peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Muhammad Shafee: Boleh beritahu mahkamah ini, siapakah Saud Abdul Aziz ini?
Nasharudin: Jika mengikut nama tertera itu, beliau orang besar dari keturunan diraja. Muhammad Shafee: Bagaimana pula kamu tahu keturunan beliau itu?
Nasharudin: Saya tidak pasti siapa itu sebenarnya.
Muhammad Shafee: Tetapi kamu ada waktu itu dan kamu bertemu dengan beliau?
Nasharudin: Ada. Pada 29 November di sebuah rumah besar seperti istana di Riyadh. Rumah besar macam istana di situ.
Dalam pada itu, Mohd Nasharuddin Mohamad memberitahu mahkamah
sebenarnya Putera Saud diwakili Abdullah kerana beliau tidak boleh
berbahasa Inggeris.
Dalam pada itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V.
Sithambaram, Nasharudin bersetuju tidak wajar sekiranya individu selain
Putera Saud mengesahkan bahawa derma ada dibuat kepada bekas perdana
menteri itu.
Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan akan cuba
untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya untuk memberikan
keterangan Isnin depan.
“Bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali telah bersedia untuk memberi
keterangan tetapi buat masa ini beliau mempunyai hal peribadi untuk
diselesaikan terlebih dahulu,” ujarnya.
Prosiding kemudian ditangguh dan akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali minggu hadapan.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan membela diri terhadap tujuh
tuduhan menyalahgunakan dana SRC International yang terdiri daripada
tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan
satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC. –
MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai peguam negara.
Perkembangan mengejutkan itu dilaporkan media yang memetik sumber
sebagai mengesahkan bahawa Tommy telah menghantar surat peletakan
jawatan.
Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan Tommy menjawab ‘ya’
ketika ditanya oleh portal berita itu mengenai peletakan jawatan
tersebut.
Theedgemarket.com turut menyiarkan berita tersebut.
Tempoh perkidmatan Tommy sepatutnya berakhir Jun ini.
Sepanjang lantikannnya beliau membawa pertuduhan ke mahkamah
antaranya kes skandal kewangan berkaitan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Yang terbaharu beliau memutuskan untuk menggugurkan semua pertuduhan
ke atas 12 tertuduh yang didakwa berkaitan sokongan terhadap kumpulan
pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Kesemua 12 suspek telah dibebaskan secara berperingkat mulai Isnin lalu. -MalaysiaGazette
ULASAN | Saat ini, khabar angin
bertiup kencang bahawa Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai perdana
menteri ke-8. Dr Mahathir pula dikhabarkan akan dikekalkan di dalam
kabinet baru sebagai menteri kanan.
Senarionya bermula apabila
Muhyiddin dicalonkan oleh Bersatu sebagai PM ke-8 pada 28 Februari 2020.
Sebelum itu wujud pakatan antara Bersatu dan BN di Johor yang
menyebabkan penubuhan kerajaan baharu dengan Menteri Besar baharu.
Selepas
itu 10 ahli parlimen (MP) dari kem Azmin dilaporkan menyertai Bersatu
secara rasmi, menjadikan jumlah MP parti itu menjadi 36. Dan yang
terbaharu BN dan PAS mengumumkan bahawa mereka menyokong Muhyiddin
sebagai PM ke-8.
Warisan dan GPS memang agak konsisten dengan pendirian mereka untuk menyokong Mahathir, justeru khabar ini nampak masuk akal.
Apakah ini pengakhiran perebutan kerusi PM dan kerajaan sejak 23 Februari 2020 yang lalu?
Mungkin
ya, dan mungkin juga tidak. Jika khabar ini menjadi realiti, saya
percaya Pakatan Harapan (PH) akan bertindak balas. Pusingan kedua akan
dimulakan.
Tetapi PH mungkin tidak mempunyai kedudukan yang baik
untuk menterbalikkan situasi ke arah kepentingannya, kerana kesukaran
untuk mendapat majoriti di parlimen.
Namun antara tindakan
yang mungkin akan dilakukan oleh PH adalah dengan mengusulkan undi tidak
percaya di parlimen, dan jika itu sukar atau gagal, PH dipercayai akan
mendesak untuk diadakan pilihan raya yang baru.
Untungkan Bersatu?
Tindakan
pendisiplinan juga mungkin diambil oleh PH, khasnya dengan menarik
sokongan terhadap kepimpinan Bersatu di Perak dan di Kedah. Jika itu
berlaku, kepimpinan Bersatu akan terkesan di sana.
Bersatu
pula mungkin berbuat demikian di Melaka. PKR pula mungkin melakukan
pembersihan dalam parti itu jika kompromi tidak dapat dilakukan dengan
bekas pemimpin dalam kem Azmin.
Apakah hal ini menguntungkan
Bersatu dengan berjaya mempertahankan kedudukan sebagai PM?
Ya, untuk
jangka masa pendek dan berisiko untuk jangka masa panjang.
Hari
ini Bersatu kehilangan kedudukan utama di Johor, dan Umno muncul sebagai
parti dominan.
Begitulah juga dengan keadaan di Perak. Kedah pula
mungkin diterajui oleh PAS dengan jumlah Adun tertinggi.
Bersatu
juga adalah jenama baru bagi orang Melayu, berbanding Umno dan PAS.
Malah prestasi Bersatu di peringkat parlimen dalam PRU 2018 adalah yang
terburuk di kalangan PH.
Hanya memenangi 11 kerusi di kawasan parlimen campuran - melibatkan sokongan bukan Melayu yang besar, atas tiket PH.
Jumlah
MP Bersatu pada hari ini seramai 36 orang, melibatkan 15 kemasukan
pembangkang ke dalam parti itu, dan 10 MP dari kem Azmin.
Ini
berbeza dengan BN yang bertanding dengan jenama sendiri dan merupakan
parti berasaskan Melayu yang popular, mempengaruhi lebih 50 peratus undi
orang Melayu.
Justeru kita akan menyaksikan persaingan sengit antara Bersatu dan Umno tidak berapa lama nanti.
Pelantikan jawatan utama
Untuk
mengelakkan Bersatu ditenggelamkan oleh Umno sebagaimana yang berlaku
di Johor, dan mungkin juga Perak dan Melaka, Bersatu dipercayai akan
mengambil langkah strategik dalam mengekang pengaruh Umno, atau mungkin
juga melakukan gabungan secara pragmatik.
Apakah implikasinya
kepada negara? Merubah mandat pilihan raya dalam sains politik dianggap
sebagai satu kebalikan demokrasi dan penafian hasrat umum. Keputusan PRU
2018 menjadi tidak bermakna dan begitu juga dengan perubahan rejim.
Usaha untuk transformasi dan reformasi bukan sahaja akan tersekat, malah akan mengundur kebelakang.
Pelantikan
jawatan utama sektor awam termasuk Jabatan Peguam Negara, SPR dan SPRM
barangkali akan terus dipolitikkan dan dilemahkan sebagai alat
berbanding matlamat pemerintahan.
Kes-kes profil tinggi
mungkin ditarik balik untuk menghormati kompromi elit ini, atau mungkin
juga diteruskan bagi melemahkan kekuatan lawan.
Tapi hal ini
bukanlah pengakhiran untuk PH, yang masih lagi berpeluang untuk
menyaingi rejim baharu dengan sengit, sekiranya terbentuk nanti, dalam
PRU-15.
*DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR ialah penganalisis politik.
Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa
beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.
"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri.
"Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan.
Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.
Perjanjian
antara Mahathir dan PH masih tidak jelas memandangkan tidak dapat
dipastikan sama ada perdana menteri interim itu bersetuju menubuhkan
kembali kerajaan PH yang lama, atau PH akhirnya akan akur dengan
rancangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa berasaskan
parti.
Bagaimanapun, PH dalam satu kenyataan hari menegaskan yang
ia akan terus mengotakan janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum
(PRU) yang lalu.
“PH berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan manifesto PH dalam kerajaan,” katanya.
Setiausaha
Agung DAP Lim Guan Eng, ketika ditanya apakah Mahathir akan
mengembalikan kerajaan PH, hanya menjawab “Ya”, tanpa mengulas lanjut.
Sementara
itu, Mahathir dalam kenyataannya pula, berkata beliau tidak pernah
mengisytiharkan sokongannya kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin
sebagai perdana menteri.
“Seperti yang saya nyatakan berulang
kali, saya menentang apa jua bentuk kerjasama dengan individu yang
dikenali sebagai perasuah, dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran
kleptokrasi yang kerajaan PH telah singkirkan dengan begitu susah
payahnya.
“Atas dasar prinsip, saya telah sampaikan (pendirian) ini kepada anggota Parlimen Bersatu dalam mesyuarat semalam.
“Saya tidak menandatangani apa-apa akuan bersumpah (SD) bagi menyokong mana-mana individu,” katanya.
Jelasnya
lagi, beliau keluar awal daripada mesyuarat itu bagi memberi ruang
anggota parlimen Bersatu berdebat secara bebas bagi memilih siapakah
yang dirasakan sesuai untuk jawatan perdana menteri.
“Seperti yang
saya nyatakan sebelum ini, meskipun saya tak bersedia untuk bekerja
dengan mereka yang korup dari Umno, saya boleh menerima mereka secara
individu, asalkan mereka terbukti bersih (dari rasuah).
“Mungkin Muhyiddin lebih bersikap tidak kisah dalam pendekatan ini,” katanya.
Sokongan
PH kepada Mahathir berlaku di tengah-tengah cubaan Muhyiddin untuk
kembali merealisasikan Perikatan Nasional yang pada asalnya digagaskan
untuk mengganti kerajaan PH pada Ahad lalu.
Gerakan itu mahu
Mahathir menjadi perdana menteri di bawah gabungan baru yang terdiri
daripada Bersatu, bekas PKR yang diketuai anggota Parlimen Gombak Azmin
Ali, BN, PAS, GPS, dan Warisan.
Gerakan itu terbantut apabila Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Tindakan
Mahathir itu turut meruntuhkan kerajaan PH. Pemimpin PH melobi Mahathir
untuk mengembalikan kerajaan PH tetapi mereka kemudiannya menamakan
Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri setelah mendapat tahu niat
Mahathir yang mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang tidak berasaskan
parti.
BN dan PAS, yang sebelum ini menyokong Mahathir dan percaya
beliau akan mengetuai Perikatan Nasional, kemudiannya menuntut agar
Parlimen dibubarkan setelah mendapat tahu rancangan Mahathir itu.
Semalam
pula, mereka memutuskan untuk menyokong Muhyiddin selepas kelihatan ada
harapan untuk Perikatan Nasional kembali direalisasikan.
Semalam,
Anwar dan Muhyiddin dilihat seperti pesaing utama untuk jawatan perdana
menteri. Hari ini, nampaknya, Mahathir kembali mendahului.
LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 20 bulan.
Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.
LANGSUNG
10.45 pagi: Sekumpulan pemimpin masyarakat sivil mencadangkan pemimpin dari Malaysia Timur diberi peluang untuk mengetuai kerajaan baru.
Mereka berkata ini kerana pemimpin politik dari Semenanjung berterusan bertelagah demi kepentingan mereka sendiri.
"Sudah
sampai masanya kita rakyat Malaysia memberi peluang kepada pemimpin di
Malaysia Timur yang telah menunjukkan toleransi agama dan kaum sejak
pembentukan Malaysia, dan yang telah menunjukkan contoh perpaduan dalam
kepelbagaian untuk memimpin negara keluar dari kebuntuan semasa.
"Jika
Malaysia mahu kerajaan perpaduan, mari kita mulakan dari Malaysia
Timur. Apabila kita menandatangani perjanjian Malaysia, kami berharap
untuk masyarakat yang adil dan saksama dan pemimpin yang prihatin yang
meletakkan negara berbanding diri sendiri.
"Ia kini mengesahkan bahawa pemimpin parti semenanjung hanya berfikir tentang diri mereka.
"Sudah sampai masanya pemimpin Malaysia Timur diberi peluang untuk menerajui negara sebagai perdana menteri," kata mereka.
Antara
yang menandatangani kenyataan itu termasuk Lim Teck Ghee, Tajuddin
Rasdi, Peter John Jaban dan Faridah Mohd Fuad Stephens.
DAP sedia berbincang dengan GPS
10.15 pagi: DAP Sarawak bersedia berbincang dengan GPS berhubung pilihan raya negeri yang akan datang, atas nama kepentingan negara.
"Atas nama kepentingan negara, apa pun boleh," kata ketua DAP Sarawak Chong Chien Jen kepada Malaysiakini.
Ditanya
sama ada mereka bersedia bekerjasama dengan GPS, beliau menjawab mereka
terbuka untuk bekerja dengan pihak lain selain daripada Umno dan PAS.
Chong
berkata negara ini berada di persimpangan jalan sekarang dan GPS harus
memilih antara bekerja dengan "perkauman" dan "pelampau agama" dalam
Umno dan PAS, atau dengan Pakatan Harapan.
Muhyiddin dan kumpulannya mula tiba di Istana Negara
10:10: Istana Negara - Pemimpin politik mula tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Antara
mereka ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan
presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, Presiden
PAS Abdul Hadi Awang, dan pemimpin GPS, Fadilah Yusoff.
Dr M umum ada majoriti lepas disokong PH
9.30 pagi: Perdana
Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini
mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.
"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri," katanya.
Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.
Syed Saddiq nafi sokong Muhyiddin jadi PM
9.12 pagi: Ketua
Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan pernah
menandatangani apa-apa sokongan terhadap presiden parti, Muhyiddin
Yassin untuk menjadi perdana menteri.
“Saya tak pernah
tandatangan,” katanya apabila ditanya tentang sokongan Bersatu terhadap
Muhyiddin sebagai calon perdana menteri kelapan.
Ini ekoran
kenyataan Setiausaha Agung Bersatu semalam, Marzuki Yahya yang
menyatakan Mesyuarat Ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu (termasuk sekumpulan
blok Azmin dari PKR) memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin.
Katanya, “mesyuarat itu dihadiri oleh seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu”.
MP luah perasaan melalui puisi
8.30 pagi: Bekas timbalan menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menghantar puisinya kepada Malaysiakini untuk mengingatkan tentang perpaduan dan kepelbagaian kaum di negara ini. Demikian puisi itu berbunyi:
Watan ini ada warisan,
Dari azali tersohor namanya,
Angin yang merentas lautan, Membawa siasah dan budaya. Dari kerajaan purba Tanah Merah, Sang pelayar Buddhagupta Menjelajah dunia Nusantara, Dibawa angin yang sama. Dari Gunung Valavati sana, Dinaung Raja Dewa Cudamani, Dharmakirti mengarang kitabnya, Mencerah minda menyuluh rohani. Dari Rom, angin membahtera, Merong Mahawangsa dilanggar Garuda, Lalu mendiri tahkta Langkasuka, Kerajaan adil kebaikan bertambah-tambah. Angin yang sama membawa, Dari benua jauh Sang Pencerah, Agama Dewata Mulia Raya, Memahat syariah mentadbir ummah. Dari Seguntang Mahameru, Termaktub bai'ah pusaka, Menjunjung daulat ke anak cucu, Zuriat Yamtuan Tiga Dunia. Watan ini hebat Bukan sebab kudrat semata, Hebat kita kerana muafakat Kerana angin takdir mengikat kita. Bagai ditempa kursani dan baja Dibakar bahang api bara Disepuh air tiga kuala Menjadi keris Laksamana. Ku sambut tangan-mu sahabatku, Oleh takdir dikimpal kita, Oleh angin ketemu kita, Sejak bahari kita bersama, Dalam Bahasa, Budaya, Cara dan Warna Sebenarnya, kita berjumpa.
Menurut
Steven, puisi itu ditulis untuk mengingatkan rakyat Rakyat Malaysia
asal usul, sejarah yang panjang dan silaturahim yang bagaikan "besi
pelbagai ditempa menjadi keris sakti".
"Kita kuat bukan sebab
kebolehan sesorang atau sesuatu kaum tapi kerana perpaduan pemimpin dan
rakyat pelbagai kaum negara ini," katanya.
Agong panggil pemimpin parti politik
8 pagi: Istana
Negara - Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah dijangka memanggil semua pemimpin parti politik
ke Istana Negara pada jam 10.30 pagi.
Agong pada Selasa dan
Rabu lalu mewawancarai semua anggota parlimen bagi mengetahui calon
perdana menteri pilihan mereka, namun mendapati tiada mana-mana pihak
memiliki majoriti yang jelas.
Anggota Parlimen BN dan PAS memaklumkan kepada Yang
Di-Pertuan Agong bahawa mereka mahukan Dewan Rakyat dibubarkan manakala
pemimpin Pakatan Harapan memutuskan untuk mencalonkan Anggota Parlimen
Port Dickson, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas bekas
pemimpin mereka, Dr Mahathir Mohamad enggan memulihkan kerajaan PH.
GPS, Warisan dan Bersatu dipercayai menamakan Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu, sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, pendirian parti-parti politik ini berubah lagi dalam masa beberapa hari.
Sehingga
malam tadi, BN, PAS dan Bersatu kini menyokong Presiden Bersatu,
Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Pendirian PH tetap tidak
berubah buat masa sekarang dan siapa yang akan disokong GPS dan Warisan
masih samar.
Peralihan sokongan kepada Muhyiddin adalah kerana Mahathir berkeras untuk tidak akan bekerjasama dengan Umno.
Ini
bermakna Muhyiddin mendapat sokongan daripada 96 anggota Parlimen
sementara Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh 93 sokongan.
Tidak
jelas sama ada Agong boleh menentukan siapa yang paling mendapat
sokongan dengan menemui ketua-ketua parti hari ini kerana tidak semua
anggota parlimen menyokong keputusan parti masing-masing.
Sebagai contoh, sokongan anggota parlimen Bersatu kelihatan terpecah dua antara Muhyiddin dan Mahathir.
Anwar
menyatakan bahawa beliau berharap anggota parlimen menyebelahi PH,
dengan mendakwa gabungan itu mempunyai bilangan mencukupi untuk
membentuk kerajaan.
Ini merupakan usaha berterusan untuk
membuktikan sokongan majoriti bagi menentukan perdana menteri selepas
beberapa siri temuduga dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap
anggota parlimen.
Yang di-Pertuan Agong masih belum memperoleh
keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan
majoriti dalam Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.
“Pihak
Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik
yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada
mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai
bakal perdana menteri,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara
Ahmad Fadil Shamsuddin.
Perdana
Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan mahu
membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.
Pakatan Harapan mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Bersatu,
yang tidak lagi bersama gabungan itu, mencalonkan presidennya Muhyiddin
Yassin manakala Muafakat Nasional mahu parlimen dibubarkan.
Anwar kini dikatakan mempunyai pencalonan terbanyak dengan kira-kira 90 anggota parlimen.
Bagaimanapun, dengan sokongan itu, beliau hanya berpeluang membentuk kerajaan minoriti.
Sementara
itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah turut berkenan dengan keputusan speaker Dewan Rakyat untuk
tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Speaker
Mohamad Ariff Md Yusof tengah hari tadi menolak mesyuarat khas Dewan
Rakyat pada Isnin depan, yang dipanggil oleh Mahathir.
Katanya,
surat pemakluman memanggil mesyuarat itu tidak mengikut peraturan
kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.
Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac.
Dalam
kenyataan sebentar tadi, Ahmad Fadil juga berkata Seri Paduka Baginda
akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan
Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Raja-raja pagi tadi.
Sumber yang dekat dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin
mengesahkan bahawa Mohamed Azmin Ali dan sembilan anggota parlimen lain
telah menyertai parti itu.
Ini selepas Setiausaha Agung Bersatu
Marzuki Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa "36 ahli
parlimen Bersatu" menghadiri mesyuarat sebelumnya.
Bersatu sebelum
ini hanya mempunyai 26 ahli parlimen termasuk Dr Mahathir Mohamd.
Tambahan 10 adalah dari kem Azmin. Ini menjadikan Ahli Parlimen Segamat
Edmund Santhara sebagai ahli parlimen bukan-bumiputera pertama menyertai
Bersatu.
Malaysiakini difahamkan bahawa Ahli Parlimen
Ranau Jonathan Yasin tidak menyertai Bersatu. Ini selepas Jonathan
menafikan bersekutu dengan kem Azmin semalam, dan mengatakan bahawa dia
tidak pernah keluar dari PKR.
Ahli parlimen Bersatu telah bertemu Mahathir yang kini kembali menjadi pengerusi mereka, di Yayasan al-Bukhary.
Marzuki berkata mesyuarat itu memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Marzuki
tidak mengatakan sama ada keputusan itu dibuat sebulat suara. Mahathir,
yang merupakan perdana menteri sementara, berhasrat untuk membentuk
kerajaan perpaduan yang "tidak berpihak pada mana-mana parti", selain
enggan bekerjasama dengan Umno.
Bagaimanapun, Mahathir kemudian
berkata Muhyiddin mempunyai sikap yang lebih santai dan sanggup
bekerjasama dengan Umno sebagai sebuah parti.
Sekiranya keputusan
untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dibuat sebulat
suara, maka Bersatu bersama BN dan PAS akan mempunyai 97 Ahli Parlimen.
PH ketika ini mendapat sokongan 92 ahli parlimen dari PKR, DAP, dan
Amanah.
Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi pernah dilantik sebagai timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Najib Razak.
KUALA LUMPUR: Kenyataan Dr Mahathir Mohamad “okey” jika Muhyiddin
Yassin mendapat sokongan untuk menubuhkan kerajaan baru dibuat di
sebalik bantahan kuat menerima pemimpin veteran itu terhadap usaha
membawa pemimpin utama Umno yang berdepan pertuduhan rasuah.
Seorang sumber yang mempunyai hubungan rapat dengan puak lawan dalam
PPBM berkata, Mahathir “sangat tidak gembira” dengan spekulasi Muhyiddin
mahu menjadikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan
perdana menteri.
“Ini sebab kenapa Mahathir membuat sindiran biasanya semalam yang
Muhyiddin baik dengan semua orang,” sumber itu memberitahu FMT.
Semalam, Mahathir mengesahkan Muhyiddin yang juga presiden
PPBM, dicalonkan parti itu sebagai perdana menteri ketika bekas sekutu
Pakatan Harapan itu mencari sekutu baru untuk kembali berkuasa.
“Pendirian saya adalah saya tidak akan menerima Umno, tetapi saya akan menerima mereka yang meninggalkan Umno.
“Tetapi Muhyiddin bersedia menerima mereka. Sesiapa yang menang saya akan menerima dia menjadi perdana menteri,” katanya.
Muhyiddin dan Zahid pernah menganggotai Kabinet pimpinan Najib Razak.
Susulan perselisihan Muhyiddin dengan Najib pada kemuncak isu 1MDB pada 2015, Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Zahid antara pengkritik paling lantang Mahathir menjelang pilihan
raya umum ke-14 lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan
Nasional.
Pada Jun 2017, Zahid membangkitkan keturunan India Mahathir
dengan menuduh pemimpin veteran itu berpura-pura memperjuangkan agenda
Melayu menggunakan orang Melayu dan Umno.
Susulan kekalahan mengejut Umno pada PRU14, Zahid dilantik sebagai presiden parti itu.
Beliau kini berdepan berpuluh dakwaan rasuah membabitkan berjuta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Tetapi, adakah Mahathir pada usia 94 tahun mempunyai tenaga dan
keazaman untuk menghalang cubaan pemimpin Umno seperti Zahid menyertai
kerajaan baru?
“Keazaman ya, tetapi bukannya tenaga. Beliau mungkin perlu bergantung
kepada pengikut setia lama dan individu berpengaruh yang sependapat
dengannya,” kata sumber.
Itu mungkin menjelaskan kenapa 3 bekas penjawat awam tertinggi berada
di luar Istana Negara pagi tadi ketika Majlis Raja-raja Melayu
mengadakan mesyuarat untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan kemelut
politik sekarang.
Bekas ketua polis negara, Hanif Omar dan Musa Hassan, serta bekas
yang dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang – dibenarkan memasuki istana
untuk menyerahkan memorandum yang kandungannya tidak didedahkan kepada
media.
Tetapi, seorang sumber boleh dipercayai berkata, mereka sudah
menyenaraikan “kriteria khusus” yang mereka harap sultan akan tuntut
daripada perdana menteri baru.
Antaranya ialah sesiapa yang mempunyai rekod rasuah dalam 3 dekad lalu akan dikecualikan menganggotai Kabinet baru.
“Frasa yang digunakan, walaupun saya tidak pasti jika ini terkandung
dalam memorandum itu ialah ‘semua ahli Parlimen yang terpalit
kontroversi dan amalan rasuah’ dikeluarkan daripada Kabinet baru,” kata
sumber itu kepada FMT.
“Kumpulan itu turut menggesa menteri dilantik daripada kalangan
mereka dengan rekod pengalaman kementerian yang baik, khasnya di
Kementerian Kewangan.”
Terdahulu, dilaporkan Mahathir tidak bersetuju dengan Muhyiddin untuk
memasukkan beberapa ahli Parlimen Umno berdepan dakwaan rasuah dalam
kerajaan baru yang dicadangkan.
Percanggahan itu menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai perdana
menteri dan pengerusi PPBM, langkah yang dipuji Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng.
Lim berkata, Mahathir bertindak berdasarkan prinsip menghalang “cubaan jahat untuk mengubah dan merosakkan mandat rakyat”.
Rabu lalu, Mahathir mengesahkan spekulasi di sebalik peletakan
jawatannya dengan berkata, beliau tidak mahu Umno menganggotai kerajaan.
Katanya, beliau bimbang Umno akan menguasai gabungan baru dengan PPBM dan PAS.
“Kerajaan ini akan didominasi oleh Umno sebagai parti yang terbesar.
“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti
lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai Parti Umno.
Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak
jawatan,” kata Mahathir dalam ucapan khas yang disiarkan RTM.
Pekerja menyelamat di lokasi nahas helikopter polis yang terhempas di Tawau, malam tadi.
KOTA KINABALU: Penyiasat dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam
Malaysia (CAAM) akan tiba di Tawau hari ini untuk memulakan siasatan
berhubung nahas helikopter milik polis yang berlaku di daerah itu malam
tadi.
Panglima Pasukan Gerakan Udara Polis Sabah Ahmad Lokman Abdul Hadi
berkata pegawai dari bahagian siasatan kemalangan udara, dilantik
Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan siasatan.
Beliau berkata mereka akan memeriksa bangkai, tapak kemalangan serta
merekod keterangan daripada krew dan saksi untuk menentukan punca
kemalangan itu.
“Ini akan mengambil masa 1 hingga 2 hari, bergantung kepada berapa ramai yang mereka perlu temubual,” katanya ketika dihubungi.
Seorang jurutera mengalami kecederaan parah manakala 5 yang lain,
termasuk juruterbang cedera ringan selepas helikopter AgustaWestland
AW139 yang mereka naiki terhempas pada pukul 7.30 malam.
Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Tawau dan terhempas ketika cuba mendarat di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am.
Lokman berkata juruterbang itu berkata dia hilang kawalan ketika cuba
mendarat. Yang lain dalam penerbangan itu ialah pembantu juruterbang
dan 3 pemerhati udara.
“Pasukan itu baru saja selesai membuat rondaan rutin di laut. Mereka
pergi ke Lahad Datu dan kemudian singgah di lapangan terbang Tawau
sebelum penerbangan pulang ke pangkalan GOF,” katanya.
Beliau berkata 2 daripada mereka yang cedera, Wedrich Sindih dan
Mohamad Radzie Radaie, dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk
rawatan selepas mendapat kebenaran dari hospital Tawau.
Ketua Polis Tawau Peter Umbuas, sebelum ini berkata kepada
media bahawa pusat pengawasan didirikan dengan segera di lokasi
kemalangan, yang kini telah ditutup.
Penduduk berhampiran lokasi kemalangan mendakwa melihat helikopter itu bergoyang dan berpusing beberapa kali sebelum terhempas.
Baru Bian bersama 8 ahli Parlimen PKR yang lain meninggalkan parti itu pada Isnin lalu.
KUCHING: PKR Bahagian Selangau menggesa Baru Bian yang meninggalkan
parti itu bersama 8 wakil rakyat lain minggu ini, supaya turut meletak
jawatan sebagai ahli Parlimen.
Ketua bahagian itu, Joshua Jabeng berkata Baru tidak berunding dengan jawatankuasa mengenai keputusannya mahu keluar parti.
“Rakyat mengundinya pada pilihan raya umum lalu dengan harapan beliau
boleh membawa pembangunan di kawasan itu sebagai menteri penuh dalam
gabungan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil
menambah Selangau ketinggalan jauh dari segi pembangunan.
Lapan ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti itu ialah
Willie Mongin (Puncak Borneo), Ali Biju (Saratok), Saifuddin Abdullah
(Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman
(Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) dan
Jonathan Yasin (Ranau).
Mereka dilihat bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamaed
Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin, yang dipecat
daripada parti itu Isnin lalu.
Ketua PH Sarawak, Chong Chieng Jen turut dilaporkan kecewa dengan
tindakan Baru keluar parti dan mendakwa bekas ketua PKR negeri itu
berniat membentuk kerajaan baru dengan Umno dan PAS.
Baru kemudiannya berjanji akan terus memperjuangkan hak Sarawak
supaya ia tidak dinafikan pembangunan dan kemakmuran yang sepatutnya.
PETALING JAYA: Pakatan Harapan percaya Anwar Ibrahim mendapat jumlah
pencalonan terbesar dalam kalangan ahli Parlimen berdasarkan proses yang
ditentukan Agong tempoh hari, dan memohon presiden PKR itu diberi
peluang untuk menghadap Sultan Abdullah.
Ia “untuk membuktikan keyakinan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau,” kata majlis presiden PH dalam kenyataan hari ini.
SEBANYAK tujuh ciapan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negar
(Amanah)
Khalid Abdul Samad ditujukan kepada Perdana Menteri Interim,
Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Lima daripada ciapan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu dimulakan dengan ayat ‘please Tun’ (tolonglah Tun).
Antara ciapan itu, Khalid berkata, beliau mula belajar untuk
menghormati Dr. Mahathir dengan bekerja bersamanya sebagai menteri
Kabinet.
Sebagai menteri, beliau selalu melihat Dr. Mahathir bekerja keras dan
percaya komitment Dr. Mahathir adalah untuk menyelamatkan Malaysia
daripada dan BN.
Khalid berkata, beliau tidak dapat bersetuju dengan Dr. Mahathir
apabila Pengerusi Bersatu itu mahu melaksanakan mandat baru untuk diri
sendiri. Sedangkan Khalid tetap tenguh dengan PH dan mandat 2018.
Dalam ciapannya, Khalid meminta agar Dr. Mahathir kekal dalam bentuk
yang beliau impikan iaitu pemusnah kleptokrat dan penyelamat Malaysia.
Khalid juga mengingatkan kepada Dr. Mahathir agar jangan mengkhianati PH dan negara.
ALHAMDULILLAH akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat sokongan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Begitulah mesej yang diterima sebentar tadi dari sumber.
Jika maklumat itu benar, bermakna kerajaan Perikatan Nasional
membabitkan Bersatu, serpihan PKR, GPS, Warisan, Pas dan Barisan
Nasional akan mengambil-alih pemerintahan negara.
Bagaimanapun sumber dalam Pakatan Harapan pula memaklumkan Muhyiddin
belum mendapat cukup sokongan untuk membentuk kerajaan iaitu 112
sokongan Parlimen.
Kerajaan Pakatan Harapan runtuh Ahad lalu apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Berikutan itu Muhyiddin telah membawa Bersatu keluar dari Pakatan
Harapan dengan diikuti oleh Datuk Seri Azmin Ali bersama 10 ahli
parlimen PKR.
Bagaimanapun DAP, Amanah dan PKR mendakwa telah mendapat cukup
sokongan dan mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana
Menteri.
Hari ini Majlis Raja-Raja bermesyuarat bagi membincangkan
perkembangan semasa politik negara dan menasihati Yang di-Pertuan Agong
untuk membuat keputusan selepas mendapat nasihat dari Dr. Mahathir
selaku Perdana Menteri Interim.
Dr. Mahathir juga telah memanggil untuk dipercepatkan sidang Dewan
Rakyat yang sepatutnya bersidang pada 9 Mac kepada 2 Mac ini atau Isnin
ini.
Kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan setakat ini gagal
menangani pelbagai isu dan yang paling utama adalah isu ekonomi dan
perpaduan dalam kalangan rakyat.
Sejak memenangi pilihan raya lalu situasi tegang dan tidak terurus negara membimbangkan para pelabur asing.
Situasi itu menyebabkan Dr. Mahathir mengambil langkah drastik bagi memperbetulkan keadaan dan memulihkan negara.
KUALA
LUMPUR– Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menempelak segelintir pihak mengaitkan dirinya semata-mata untuk
mencapai cita-cita peribadi.
“Walaupun terlalu yakin tidak perlulah menggunakan pihak lain untuk mencapai cita-cita. Tuduhan ini TIDAK BENAR,” bidasnya dalam satu lontaran di Facebook.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberi reaksi demikian ketika tular artikel di laman Facebook dan blog The Malaysia Online
yang yang mendakwa terdapat kerjasama dan penawaran ganjaran antara
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid bagi menyelesaikan
kemelut jawatan Perdana Menteri Kelapan.
Ulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Muafakat Nasional tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Dap.
“Pendirian kami tetap tidak berubah demi kebaikan agama, bangsa dan negara,” tegasnya.
Untuk rekod, negara sekarang berhadapan dengan kemelut politik yang
diciptakan oleh Pakatan Harapan (PH) sendiri, bermula daripada perebutan
jawatan kerusi Perdana Menteri hinggalah selepas runtuhnya kerajaan PH
selepas 22 bulan memerintah negara. – UMNO ONLINE
Cabar kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, ekonomi merudum
BANGI – “Terus terang saya katakan, semua pergolakan ini berpunca daripada ultra kiasu.
“Jika ultra kiasu mentadbir negara
mengikut acuan Perlembagaan, menjaga hak Islam, Melayu dan Bumiputera,
tanpa mengungkit perkara sensitif, menguruskan ekonomi dengan baik,
sudah tentu negara ini aman.”
Demikian kata pendakwah bebas, Prof Dr
Ridhuan Tee Abdullah mengulas krisis politik negara yang belum
berkesudahan, apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas Tun Dr
Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Beliau percaya PAS dan UMNO tidak akan
banyak bising, jika kerajaan Malaysia diuruskan dengan baik seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan.
“Ini tidak, ultra kiasu dengan kuasa yang
ada, dengan sengaja, mencabar kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera,
ekonomi terus merudum, hati rakyat mana yang tidak sakit.
“Lepas Tun M umumkan peletakan jawatan,
PH mahukan Tun semula menjadi PM. Lepas Tun M dilantik menjadi Perdana
Menteri interim, mereka mahukan Anwar Ibrahim pula menjadi PM. Penuh
dengan wayang hipokrasi. Hipokrit betul.
“Sebab itulah, saya katakan, kerajaan Malaysia, tanpa menteri-menteri ultra kiasu pun masih boleh berfungsi,” katanya.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee menyindir
ketika negara mempunyai menteri, kadangkala mereka menyusahkan, ada yang
bukan pakar dalam sesuatu bidang.
Katanya, ada yang apabila keluarkan kenyaatan, sangat lucu dan kelakar, langsung tidak mencerminkan daya intelektual mereka.
“Mana tidaknya apabila ada menteri
berkata, negara ini tidak selamat, sebab kapal perang kita tidak boleh
mengejar kapal perang negara China. Kelakar tak?
“Ada menteri yang mencadangkan, bagi
menambahkan pendapatan petani, maka marilah menoreh di musim hujan atau
tanam buluh sementara menunggu sawit berbuah.
“Tidak kurang ada mencadangkan kereta
terbang bagi mengelakkan kesesakan, dan macam-macam lagi kata-kata lucu
dan meloyakan. Inikah menteri. Lebih baik lantik pengurus, pentadbir dan
professional jadi menteri,” katanya sinis.
Sokong kebijaksanaan Baginda Tuanku selesai kemelut politik negara
BANGI –
Melihat kemelut politik yang belum ada titik noktah,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melancarkan petisyen
mendesak pembubaran Parlimen sekali gus mengadakan Pilihan Raya Umum
(PRU), bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya
dalam kenyataan berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan kemelut politik yang sedang
melanda negara.
“PEMBELA berdiri teguh untuk mendukung
ikhtiar Seri Paduka Baginda Tuanku dalam menjalankan amanah dan
tanggungjawab besar menguruskan situasi negara.
“Sebagaimana termaktub kemas dalam
Perlembagaan Persekutuan, PEMBELA percaya bahawa segala keputusan yang
dibuat oleh DYMM Tuanku adalah untuk memastikan kepentingan Islam
sebagai Agama Negara, kedudukan orang Melayu dan Bumiputra serta hak
warganegara Malaysia yang lainnya tidak terjejas,” katanya.
Selain itu, PEMBELA penuh rendah hati
dan takzim tanpa had waktu bersedia untuk menyembahkan suara rakyat agar
Seri Paduka Baginda Tuanku mendapat perspektif sebenar di lapangan.
“Sekiranya keadaan tergantung tanpa
sebarang sokongan majoriti bagi calon PM maka, PEMBELA dengan penuh
tawaduk berpandangan bahawa pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik
supaya jemaah menteri baharu dengan mandat yang lebih kukuh dan stabil
dapat dilantik,” kata Haji Aminuddin.
Petisyen yang dilancarkan pada Khamis
sudah memperoleh hampir 1,000 tandatangan. Orang ramai boleh
menandatangani petisyen itu dengan melayari platform change.org.
(https://www.change.org/p/yang-di-pertuan-agong-ydpa-bubar-parlimen-untuk-selesaikan-kemelut-politik-malaysia-dan-adakan-pilihanraya-umum).
Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr
Mahathir Mohamad memaklumkan, Dewan Rakyat pada 2 Mac (Isnin) akan
memilih Perdana Menteri yang baharu.
Perkara itu diputuskan selepas Yang
di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti
yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
“Dan kerana tiada yang ada majoriti
jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat. Maka
Parlimen akan bersidang pada 2 Mac… siapa yang ada sokongan majoriti di
Parlimen akan menjadi Perdana Menteri.
“Bagaimanapun jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya,” katanya
KUALA LUMPUR – Pengamal Undang-undang, Adnan Seman melahirkan
rasa terkejut dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana
Menteri (PM) Interim ekoran mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak
wajar sama sekali.
Dilaporkan, Dr Mahathir membuat kenyataan bahawa Yang di-Pertuan
Agong (YDPA) tidak menemui mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai
majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM maka satu sidang khas pada 2
Mac 2020, Isnin depan akan diadakan bagi memilih PM sedangkan Majlis
Raja-Raja Melayu hanya akan bersidang di Istana Negara hari ini
berkaitan kemelut politik negara.
“Majlis Raja-Raja belum lagi bersidang maka tindakan
mengeluarkan kenyataan sebegini adalah tidak wajar sama sekali,” katanya
dalam kenyataan menerusi Facebooknya, malam tadi.
Tegasnya, Kenyataan Tun M ini sebenarnya bercanggah dengan Perkara
43(2)(a), (4) dan Perkara 55 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dan
keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes DS Ir Hj Mohammad Nizar
Jamaluddin v DS Zambry Abdul Kadir; Peguam Negara (Pencelah) [2012] 6
MLRA 259.
“Peruntukan-peruntukan Perlembagaan di atas memberikan kuasa kepada
YDPA untuk terus membubarkan Parlimen apabila tiada mana-mana ahli
Parlimen yang mempunyai majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM. Ini
sangat jelas.”
Malah jelasnya, Mahkamah Persekutuan di dalam kes yang dinyatakan di atas telah memutuskan:
Persoalan sokongan majoriti mudah ke atas mana-mana ahli Dewan
Undangan Negeri (di dalam kes ini Ahli Parlimen) boleh ditentukan di
Istana dan tidak semestinya di Dewan Undangan Negeri (di dalam kes ini
Dewan Rakyat).
“Maka setelah YDPA menentukan tiada mana-mana ahli Parlimen mempunyai
sokongan majoriti mudah di Istana Negara dengan menemui seorang demi
seorang ahli Parlimen tiada lagi keperluan di sisi undang-undang untuk
satu persidangan khas Dewan Rakyat bagi tujuan itu,” katanya lagi.
Dilaporkan, hari ini Majlis Raja-Raja dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat.
Keputusan daripada mesyuarat antaranya difahamkan berhubung situasi
politik terkini negara, termasuk kemungkinan yang sedang dalam
pertimbangan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya
meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.
Sementara itu, semalam Dr Mahathir mengesahkan persidangan khas Dewan
Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat
majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.
Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di
Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat
untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka
mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.
Beliau berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. – UMNO Online