DALAM kemeriahan umat
Islam menyambut Syawal, masyarakat turut dikejutkan dengan pelbagai
berita menyedihkan seperti bayi yang dicampak dari tingkat dua serta kes
rogol anak yang melibatkan ayah tirinya sendiri.
Anak merupakan kurniaan serta amanah
Ilahi. Atas alasan apa sekalipun, amanah ini perlu dijaga sebaik mungkin
dan dididik menjadi generasi masa depan yang cemerlang.
Menurut rekod Polis Diraja Malaysia
(PDRM), sebanyak 115 kes buang bayi dilaporkan tahun lepas sepanjang
2017 dengan negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi.
Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian
Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Polis Diraja Malaysia
Bukit Aman mendedahkan bahawa 89 peratus jenayah rogol di seluruh negara
berlaku dalam rumah dan perogolnya dikenali mangsa sendiri.
Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang berat terhadap realiti isu masalah sosial yang semakin membimbangkan ini.
Islam menawarkan solusi terhadap
permasalahan yang berlaku dengan mengubati dari akar sebelum menjalar
serta mencegah sejak awal. Penerapan nilai-nilai Islam dan pengamalan
cara hidup Islam secara menyeluruh serta tidak hanya ritual, mampu
mendidik masyarakat dengan perilaku yang baik, bertanggungjawab serta
memelihara batasan individu.
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah
kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada
"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian
jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan
(Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok
pula kesudahannya." [Maksud Q:S. An-Nisa': 59]
Selain itu, semua pihak juga perlu
bergerak secara holistik termasuk kementerian yang terlibat, badan-badan
bukan kerajaan (NGO), di samping peranan ibu bapa serta guru yang
membentuk acuan anak-anak. Pembentukan institusi keluarga yang
menitikberatkan keseimbangan sahsiah serta didikan agama juga perlu
diberi perhatian.
Dasar sistem pendidikan negara turut
perlu disemak agar wawasan melahirkan generasi masa depan yang cemerlang
akademik juga perlu seiring dengan kecemerlangan akhlak dan sahsiah
diri.
*Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan