Kerajaan negeri Selangor melakukan rombakan kecil dalam pentadbirannya yang melibatkan portfolio empat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk Menteri Besar Amirudin Shari.
Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan hari ini berkata Amirudin diamanahkan dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Pembangunan Generasi Muda & Sukan serta Komunikasi Strategik.
Rombakan kecil itu diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan buat pertama kalinya oleh Amirudin pada Rabu lepas.
Amirudin yang mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 19 Jun lepas, sebelum ini menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi semasa menjadi exco.
Portfolio exco lain kekal
Menurut kenyataan itu, Rodziah Ismail yang mengangkat sumpah sebagai exco pada 19 Jun juga, akan menyandang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.
Sementara itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan manakala Hee Loy Sian menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi.
Amirudin ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Kumpulan Sirim di Shah Alam, hari ini berkata rombakan itu hanya melibatkan portfolio beliau, Rodziah, Shaharuddin dan Hee.
“Portfolio exco yang lain dikekalkan sebab mereka baru angkat sumpah...kita beri peluang kepada mereka supaya dapat menyampai serta melaksanakan kerja masing-masing,” katanya.
Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan sama turut menegaskan bahawa Amirudin tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat bagi mewakili beliau dalam apa jua rundingan atau perjumpaan dengan individu, syarikat, agensi kerajaan ataupun badan swasta serta syarikat milik kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Segala bentuk perjumpaan atau cadangan boleh disalurkan menerusi pejabat Datuk Menteri Besar Selangor ataupun Sekretariat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” kata kenyataan itu.
Pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat Borhan Aman Shah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada menteri besar dan mengangkat sumpah di hadapan anggota-anggota Majlis berkenaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan