Rabu, 27 Jun 2018

Nasib ADAM50 akan ditentukan Kementerian Kewangan, kata TPM

THE MALAYSIAN INSIGHT
Nasib ADAM50 akan ditentukan Kementerian Kewangan, kata TPM
Keputusan sama ada untuk meneruskan atau memansuhkan Program Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
 
KEPUTUSAN sama ada untuk meneruskan atau memansuhkan Program Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pemberian inisiatif itu melibatkan dana negara yang besar dan seperti sedia maklum negara kini mempunyai defisit yang 'membengkak'.

"(Perkara) Ini saya akan bincang dengan Menteri Kewangan dahulu... kita nak kena lihat semula pelaksanaannya kerana ini janji kerajaan dahulu," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan di Dewan 2020, di sini, hari ini.

Sebelum ini Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan bahawa ADAM50 akan diteruskan mengikut perancangan asal.

Pengerusi Kumpulan Abdul Wahid Omar baru-baru ini dilaporkan berkata inisiatif itu akan dilaksanakan seperti dirancang mengikut tempoh iaitu untuk semua bayi warganegara Malaysia yang lahir pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Objektif utama ADAM50 adalah untuk menggalakkan budaya menyimpan dan pelaburan oleh rakyat Malaysia daripada usia seawal baru lahir, melalui pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan.

Unit insentif percuma itu akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera selepas proses pendaftaran dibuat di Cawangan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan Ejen ASNB.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata pihaknya memandang serius isu pembuangan bayi termasuk kes melibatkan wanita dan kanak-kanak warganegara asing.

"Kes pembuangan bayi perlu mendapat simpati umum dan sokongan yang terbaik perlu diberikan demi memelihara kebajikan wanita dan kanak-kanak berkenaan," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: