Sabtu, 30 Jun 2018

PAS Perak gesa kerajaan gubal Akta Anti Lompat Parti

 
Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria mencadangkan akta itu mewajibkan wakil rakyat yang keluar parti perlu mengosongkan kerusi itu untuk rakyat memilih semula wakil mereka.


Razman Zakaria berkata, budaya lompat parti tidak baik untuk masa depan negara dan boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan dipilih rakyat melalui sistem amalan demokrasi. (Gambar Bernama)


BAGAN SERAI: PAS Perak menggesa kerajaan Pakatan Harapan menggubal Akta Anti Lompat Parti berikutan “fenomena” wakil rakyat melompat parti ketika ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria berkata budaya lompat parti tidak baik untuk masa depan negara dan jika dibiarkan berterusan, ia boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan dipilih rakyat melalui sistem amalan demokrasi.

Beliau berkata, sebahagian besar rakyat mengundi atas dasar parti bukan individu dan semua wakil rakyat bertanding atas tiket parti, kecuali calon bebas.

“Jika mana-mana wakil rakyat hendak lompat parti atau keluar parti menjadi wakil rakyat bebas, kerusi ditandingi pemimpin tersebut mesti dikosongkan bagi membolehkan rakyat memilih semula.
“Itulah antara perkara yang perlu ada dalam cadangan akta itu kerana mandat memilih wakil rakyat baru bagi kawasan wakil rakyat lompat parti terbabit harus diserahkan kembali kepada rakyat,” katanya pada Program Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Bagan Serai di Masjid Tinggi hari ini.

Razman yang juga adun Gunung Semanggol berkata, senario wakil rakyat keluar parti perlu dibendung sepenuhnya kerana keputusan mereka boleh menentukan sama ada bertukarnya atau tertubuhnya kerajaan baru.

Tiada ulasan: