Siapa sahaja yang tidak sukakan durian Musang King, bukan? Walau harganya mahal, ianya masih diminati.

Peningkatan permintaan terhadap durian jenis itu telah menyebabkan pembukaan tanah yang tidak terkawal bagi menanamnya oleh petani yang mengusahakannya secara haram.

Oleh itu, kerajaan negeri Pahang difahamkan telah memberi 5,357 ekar tanah kepada Royal Pahang Durian Group (RPDG) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) untuk mengaudit dan menjalankan industri itu.

Keputusan itu dibuat ekoran kebimbangan terhadap aktiviti penebangan hutan milik kerajaan negeri yang berlaku tanpa kawalan demi memenuhi permintaan terhadap buah berkenaan.

Bermula 24 Ogos, kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dilaporkan telah mengambil alih kebun dan tanaman buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Raub.

Pejabat Tanah dan Galian Pahang dalam kenyataannya telah memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil tindakan untuk ke mahkamah atau memusnahkan tanaman berkaitan jika terdapat pihak yang menceroboh.

Perkara itu menyebabkan sebilangan petani di Raub terpaksa menebang pokok buah-buahan mereka sebagai tanda protes terhadap pengambilalihan tanaman mereka.

“Kami tidak mahu pokok itu lagi. Kamu boleh suruh mereka tanam pokok itu sendiri nanti”, kata seorang petani dalam bahasa Kantonis.

Kwan Liew/Facebook

Ia berikutan beberapa video yang tular menunjukkan seorang pekerja bertindak menebang pokok duriannya yang berusia 50 tahun menggunakan gergaji besi.

Hakim Bao/Facebook

Sementara yang lain pula memperlihatkan petani yang berasa sedih dan kesal berjalan melalui dusun pokok buah-buahannya yang telah tumbang.

Difahamkan hampir 800 orang petani yang mengusahakan tanaman durian telah menubuhkan kumpulan ‘Save Musang King Alliance’ (SAMKA) untuk menentang syarat kontrak ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Sallehuddin Ishak berkata bahawa Pahang mengalami kerugian berjumlah RM30 juta untuk hasil cukai tanah susulan pencerobohan untuk penanaman durian.

Tambahnya, seluas 4,400 hektar kawasan dianggarkan telah diusahakan secara haram untuk penanaman durian jenis Musang King di Raub.