Jumaat, 29 Jun 2018

Bukan akaun Umno saja, akaun parti politik lain juga kena beku



Menurut pasukan yang menyiasat skandal 1MDB semua akaun yang dibekukan itu terlibat dalam siasatan ke atas skandal dana negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
PASUKAN petugas khas 1MDB membekukan akaun beberapa parti politik lain, dan bukan hanya akaun Umno, kata pasukan yang menyiasat skandal penyelewengan dana pelaburan negara itu.

Semua akaun yang dibekukan itu terlibat dalam siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata pasukan petugas itu.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk Umno serta parti-parti politik lain yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB,” kata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh empat pengerusi pasukan berkenaan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut parti-parti politik selain Umno yang terlibat dengan tindakan pembekuan akaun itu.

“Turut dibekukan ialah akaun milik persatuan dan syarikat yang juga terlibat dalam siasatan kes ini.”

Pasukan petugas khas 1MDB dipengerusikan oleh bekas peguam negara, Abdul Gani Patail; bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamed;
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dan bekas pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador.

Pasukan petugas khas itu juga memberi jaminan siasatan dijalankan secara adil dan profesional serta mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Ia juga meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan proses siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi dan sensasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Pemangku presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata SPRM sudah membekukan akaun Umno, termasuk beberapa akaun Umno negeri.

Laporan sebelum ini menyebut pembekuan akaun itu dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011, melibatkan lebih kurang 1,000 individu dan pertubuhan, termasuk keluarga bekas perdana menteri Najib Razak.

Tiada ulasan: