Jumaat, 29 Jun 2018

Aset Kayamas taja RM1.2 juta siaran langsung akhir Piala Dunia

THE MALAYSIAN TIMES
 
AFP Photo


PUTRAJAYA: Syarikat hartanah, Aset Kayamas Sdn Bhd bersetuju untuk menaja RM1.2 juta untuk program siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2018 bagi tontonan orang ramai pada 15 Julai ini di Kuala Lumpur, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Aset Kayamas akan bekerjasama strategik dengan stesen penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk acara khas ‘Viewing Party’ perlawanan akhir Piala Dunia melalui tayangan skrin besar selain menganjurkan konsert khas, pameran dan karnival di tapak Desa Sentral, Taman Desa bermula 10 pagi.

“Acara khas itu ditaja sepenuhnya oleh Aset Kayamas dan akan mengelolakan segala persiapan untuk perlawanan akhir bersama penaja lain. Syarikat itu telah mengambil inisiatif menganjurkan karnival di tapak Desa Sentral, sebagai acara untuk dinikmati bersama oleh segenap lapisan masyarakat.

“Karnival yang berlangsung seharian itu akan diakhiri dengan tayangan Perlawanan Akhir Piala Dunia yang akan bermula 11 malam,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka kementeriannya di Dataran Gemilang di sini hari ini.

Terdahulu, Gobind menyaksikan penyerahan replika cek RM1.2 juta daripada Pengasas dan Pengerusi Aset Kayamas Tan Sri Chai Kin Kong kepada Ketua Pengarah Penyiaran Abdul Muis Shefii pada majlis itu.

Sebelum ini, Gobind mengumumkan siaran kejohanan Piala Dunia di RTM secara rasminya menerima tajaan mencukupi menerusi Maxis Bhd dan Airasia Bhd, yang mana RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran kejohanan bola sepak dunia yang sedang berlangsung di Russia bermula 14 Jun lepas hingga 15 Julai.

Daripada jumlah itu, 28 perlawanan akan ditayangkan secara langsung, manakala bakinya disiarkan melalui siaran tertunda menerusi TV1 dan TV2.

“Kita telah mendapatkan jumlah tajaan melebihi RM30 juta, iaitu RM34.1 juta daripada penaja-penaja. Perlawanan terakhir ini adalah acara yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan seluruh dunia. Orang ramai dijemput memeriah serta menjayakan lagi acara perlawanan akhir itu,” katanya.
Mengenai tapak tayangan perlawanan akhir itu, Gobind berkata Desa Sentral adalah satu projek hartanah baharu yang sedang dibangunkan oleh Aset Kayamas, yang merupakan pembangunan bercampur dengan pembangunan pangsapuri, kompleks pejabat dan hub pendidikan.– Bernama

Tiada ulasan: