Jumaat, 29 Jun 2018

Jadual padat, Farid Kamil tangguh pembedahan lutut

THE MALAYSIAN INSIGHT
Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil Zahari mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu bagi pertuduhan pertama dan kedua didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta serta Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara. – Gambar Instagram
 
PELAKON dan pengarah Farid Kamil Zahari, yang menghadapi enam pertuduhan jenayah baru-baru ini menangguhkan pembedahan lutut yang dijadualkan Mei lepas atas faktor jadual kerja yang padat dan tidak mahu mengganggu prosiding kes mahkamah.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pelakon filem J. Revolusi itu sebaik sahaja ditemui di luar mahkamah sejurus prosiding sebutan semula kes bagi pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya selesai.

“Saya perlu mendapatkan rehat yang panjang selama enam bulan sekiranya meneruskan prosedur pembedahan lutut dan keadaan itu tidak sesuai kerana ia akan menjejaskan karier seni saya, selain mengganggu tarikh perbicaraan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili pelakon itu memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu keputusan representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kesemua enam pertuduhan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Turut hadir pada prosiding pagi ini ialah pelakon jelita yang juga isterinya iaitu Diana Dianelle dengan berbaju kurung.

Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu bagi pertuduhan pertama dan kedua didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta serta Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam iaitu penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Untuk pertuduhan keempat pula, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Jan, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC dan pada 9 Mac pula, bapa kepada dua anak itu didakwa mereka keterangan palsu dalam laporan polis berhubung dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah ke dalam minumannya.

Tiada ulasan: