Undang-undang Islam, fatwa di negeri perlu nafas baharu
BANGI
– Kerajaan perlu menjaga kedaulatan institusi beraja, kedudukan Islam
sebagai agama negara, termasuk memastikan institusi Islam dilaksanakan
mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Pensyarah
Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr
Shamrahayu Abd Aziz berkata, semua institusi Islam bertanggungjawab
secara langsung kepada institusi beraja.
Justeru, tidak seharusnya berlaku campur tangan politik dalam pelaksanaan Islam secara pentadbiran atau perundangan.
“Dalam
realiti pelaksanaan fungsi dan kuasa institusi Islam pada peringkat
negeri, ia perlu dilaksanakan dengan cekap dan berwibawa agar kuasa yang
berada di bawah naungan Raja tidak dipandang serong dan menjadi bahan
bicara negatif mana-mana pihak.
“Institusi
Islam, termasuk institusi pentadbiran, perundangan dan pendidikan,
seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan
Mahkamah Syariah semestinya mempunyai peranan masing-masing untuk
menunjukkan martabat sebenar agama Islam.
“Dalam
masa sama, ia sekaligus mengangkat kemuliaan institusi beraja sebagai
institusi yang menaungi agama Islam,” katanya menulis di Berita Harian,
hari ini.
Mengulas
lanjut, Prof Shamrahayu yang juga pakar Perlembagaan berkata,
undang-undang Islam dan fatwa di negeri perlu diberikan nafas baharu.
Katanya, ia termasuk proses penambahbaikan perundangan dan juga reformasi dalam proses penguatkuasaan undang-undang Islam.
“Perkara
serupa perlu berlaku dalam hal berkaitan pendidikan Islam. Semua ini
perlu diperkasakan di negeri dan Raja perlulah memainkan peranan utama
dalam menggerak dan merealisasikan kedudukan Islam di negeri-negeri,”
katanya.
Beliau
bagaimanapun percaya kerajaan Pakatan Harapan akan memberi perhatian
sewajarnya termasuk memelihara kedudukan Islam serta institusinya yang
nyata disebut dalam Perlembagaan.
Katanya
keyakinan itu dilahirkan berdasarkan pernyataan yang disebut dalam Buku
Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan (Buku Harapan).
“Mengikut
petikan Buku Harapan, adalah didapati bahawa PH berjanji untuk
melaksanakan sebuah pentadbiran yang berdasarkan kepada keadilan dan
Maqasid Syariah dengan mengambil perhatian mengenai kedudukan Islam
sebagai agama bagi negara dan mengiktiraf kebebasan beragama dengan
formula aman dan harmonis.
“Buku
Harapan juga menyatakan ikrar untuk menjaga keistimewaan Melayu dan Anak
Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain seperti
yang diiktiraf oleh Perkara 153,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan