Kerajaan tak dapat kawal kemasukan, keluaran graduan luar negara
KUALA LUMPUR
– Kementerian Kesihatan akan menyelesaikan masalah lambakan graduan
doktor perubatan dan jururawat baharu yang masih belum mendapat
penempatan di hospital kerajaan.
Menteri
Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, punca lambakan graduan doktor dan
jururawat itu disebabkan peningkatan keluaran graduan perubatan dari
institusi pengajian tempatan dan luar negara.
“Sebab
kedua lambakan itu adalah kerana kementerian melaksanakan Dasar
Mengoptimumkan Sumber Manusia bermaksud tiada tambahan jawatan baharu
ditawarkan kecuali secara tukar ganti atau agihan semula,” katanya
dalam temuramah eksklusif dengan Bernama, di sini, baru-baru ini.
Dzulkefly
berkata kementerian mengambil perhatian terhadap isu berkenaan dan bagi
mengatasinya kementerian telah mengambil langkah-langkah berikut:
Mengubah
kaedah lantikan secara tetap kepada lantikan secara kontrak, menerusi
kaedah ini pegawai berpeluang menjalani latihan siswazah serta mendapat
Pendaftaran Penuh selaras yang disyaratkan di dalam Akta Perubatan 1971
bagi meningkatkan kemahiran klinikal dan pengalaman pegawai.
Menguatkuasakan
moratorium bagi program perubatan dengan pihak Kementerian
Pendidikan sehingga 30 April, 2021, dengan ini bertujuan untuk mengawal
had pengambilan (kuota) graduan perubatan oleh universiti dalam
negara. Tempoh asal adalah selama lima tahun, mulai 1 Mei, 2011 hingga
30 April, 2016 dan pada masa ini dilanjutkan sehingga 30 April, 2021.
Beliau
berkata menerusi moratorium ini, tiada program perubatan yang baharu di
peringkat Ijazah Sarjana Muda dan tiada penambahan kuota pengambilan
pelajar program perubatan.
Bagaimanapun, kementerian tidak dapat mengawal kemasukan dan keluaran graduan dari universiti luar negara.
“Selain
itu, kementerian telah meningkatkan slot latihan siswazah daripada
10,835 kepada 11,706 melalui tambahan Hospital Latihan Siswazah.
Kementerian telah meningkatkan bilangan hospital Latihan Siswazah
daripada 38 buah hospital latihan siswazah pada tahun 2009 kepada 47
buah hospital latihan siswazah,” katanya.
Ia
merangkumi 44 buah hospital di bawah kendalian kementerian dan tiga
Hospital Pengajar (Hospital Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya)
pada tahun 2018.
Langkah lain yang telah diambil ialah menambah opsyen bilangan posting Latihan Siswazah.
“Beberapa
posting (penempatan) baharu telah diperkenalkan secara berperingkat
bagi meningkatkan lagi slot latihan dan penempatan bagi latihan
siswazah, dan ia termasuk posting di Anaestesia, Perubatan Kecemasan,
Psikiatri dan Kesihatan Primer, dimana penambahan ini dapat membantu
menambahkan slot latihan siswazah,” katanya.
Dzulkefly
berkata, kementerian juga akan meneruskan pengambilan Pegawai Perubatan
Gred UD41 secara berfasa, pengambilan secara kontrak akan diadakan
setiap dua bulan sekali. Bagaimanapun, bilangan pengambilan adalah
bergantung pada kekosongan slot latihan.
Mengenai
isu graduan jururawat yang masih belum menerima penempatan di hospital
kerajaan, beliau berkata kementerian telah mengurangkan bilangan
pengambilan pelatih jururawat daripada 2,274 pada tahun 2016 orang
kepada 1,742 orang pada tahun 2018 (penurunan sebanyak 23%), katanya.
Selain
itu, kementerian akan memohon kelulusan khas daripada Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah jawatan tetap atau membenarkan
kementerian melantik graduan- graduan jururawat keluaran Institut
Latihan Kementerian Kesihatan secara kontrak, dan permohonan itu masih
dalam pertimbangan JPA buat ketika ini, katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan