Sabtu, 23 Jun 2018

Gerakan Umum Keluar Daripada BN



MYNEWSHUB

KUALA LUMPUR – Gerakan memutuskan untuk keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk menyatukan parti dan anggotanya selepas kekecewaan dan kejutan dialaminya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

 

Dalam kenyataan hari ini, Jawatankuasa Pusat Gerakan (GCC) berkata ia mengambil keputusan sebulat suara untuk keluar daripada BN selepas mengadakan perbincangan, penelitian dan pertimbangan menyeluruh dan serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca PRU14.

“Keputusan ini selaras dengan aspirasi, keperluan dan permintaan baharu oleh rakyat pasca PRU14, kami memutuskan bahawa Gerakan mesti melakarkan hala tuju baharu untuk kelangsungan kami dan meneruskan perjuangan kami,” katanya.

Jawatankuasa itu berkata, Gerakan keluar daripada BN secara baik dan akan memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan, pemerkasaan dan ketegasan untuk memperjuangkan apa yang parti percaya adalah yang terbaik demi negara dan rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Gerakan akan memainkan peranan sebagai sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas kerajaan Pakatan Harapan dan akan menjadi parti pembangkang yang konstruktif.

“Kami akan bekerjasama dengan parti, individu dan kumpulan yang berkongsi fahaman dan perjuangan untuk memartabatkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi Malaysia, kami komited sepenuhnya untuk memelihara cara hidup rakyat Malaysia seperti mana yang kami tahu dan kebersamaan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam PRU14 pada 9 Mei lepas, Gerakan kalah di semua 11 kawasan Parlimen dan 31 kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya. – BERNAMA

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: