Memaparkan catatan dengan label POLITIK - BN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label POLITIK - BN. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Julai 2020

Terlalu awal kaitkan PN mirip BN ambil tindakan ke atas penentang, kata penganalisis

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, lebih baik pentadbiran
PN memastikan proses keadilan, perundangan dan kehakiman berjalan tanpa intimidasi
politik serta campur tangan Putrajaya kerana ia boleh mendapat kepercayaan tinggi
rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Terlalu awal untuk mengaitkan corak pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin mengambil pendekatan mirip kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) yang dikritik kerana mengambil tindakan undang-undang terhadap penentangnya.

Penganalisis, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, tidak dinafikan ada pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang dipanggil memberi keterangan, namun belum ada tindakan diambil terhadap mereka.

“Mereka dipanggil selepas polis menerima aduan, memang siasatan akan dibuat. Cumanya isu yang lebih besar saya nampak ini adalah siasatan terhadap pemimpin DAP di Pulau Pinang, kalau benar seperti didakwa, ia boleh mencalarkan imej DAP.

“Kita kena tengok dahulu sejauh mana pendekatan ini berterusan. Kita perlu tunggu dan lihat kerana semasa zaman pentadbiran Pakatan Harapan, ada juga pemimpin pembangkang ketika itu dipanggil pihak berkuasa,” katanya kepada FMT.

Pada 18 Jun lalu, Syed Saddiq memberi keterangan di Bukit Aman berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan dalam temubual bersama sebuah stesen televisyen antarabangsa pada 6 Mac lalu. Beliau disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada 23 Jun pula, Yeoh ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung tweetnya pada 9 Mac lalu mengenai isu perkahwinan bawah umur dengan mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah daripada PAS.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dipercayai mempunyai kecenderungan menghasut.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan beberapa exco Pulau Pinang dan Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Kamarul berkata, tidak adil mempertikaikan tindakan polis terhadap pemimpin pembangkang ketika ini kerana Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilantik bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Ketua polis negara yang ada sekarang ini adalah orang kuat Mahathir yang pernah direkodkan berkata tidak akan berpaling tadah kepada Mahathir.

“Jadi, kalau hendak dikatakan tindakan polis ketika ini mencerminkan kerajaan PN, tidak boleh dikatakan juga sebab yang kuasai pasukan polis ketika ini adalah individu yang dilantik Mahathir sendiri.”

Kamarul turut bersetuju, kebangkitan suara pertubuhan bukan kerajaan dan hak asasi manusia yang mempertahankan pimpinan PH ketika ini tidak memberi kesan buat pengundi keseluruhannya, khususnya pengundi luar bandar.

“Setakat ini, prestasi Muhyiddin masih okey kerana tidak banyak kesalahan besar dilakukan, melainkan apabila bertindak melewatkan Parlimen atau isu lantikan politik. Namun, ia bukan satu kesalahan dari aspek perundangan.

“Perkara utama di mata rakyat ketika ini adalah melihat bagaimana PN mengatasi isu Covid-19, khususnya apabila isu ini hampir selesai dan negara dilihat agak berjaya. Cumanya yang tinggal adalah isu pasca Covid-19.”

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, isu kebebasan bersuara NGO dan kumpulan hak asasi memberi kesan kepada semua golongan, tetapi tahap sensitivitinya lebih berpihak kepada kumpulan di kawasan bandar.

“Hakikatnya, rakyat sudah serasi dengan konsep kebebasan secara mutlak tidak sesuai dengan Malaysia, terutama perkara yang sentuh hal agama, bangsa dan budaya. Saya tidak nampak isu kebebasan bersuara akan menjadi pemangkin utama buat rakyat menilai prestasi PN.”

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia pula berkata, ketelusan PN dapat diperhatikan menerusi kes berprofil tinggi yang masih diteruskan di mahkamah ketika ini ialah kes sama sejak pentadbiran PH.

“Susah juga hendak cakap sebab kes-kes yang diadili sekarang ini melibatkan pemimpin semasa dalam kerajaan PN yang sebelum ini bagi saya, perdana menteri sendiri mahukan sebuah kerajaan yang tidak campur tangan dalam apa juga kes.”

Katanya, lebih baik jika pentadbiran PN memastikan proses keadilan, perundangan dan kehakiman berjalan tanpa intimidasi politik dan campur tangan Putrajaya kerana ia boleh mendapat kepercayaan tinggi rakyat.

“PN ada kelebihan dan mereka mempunyai peranan besar untuk membantu rakyat. Pendekatan diambil PN akan menentukan bagaimana penerimaan rakyat kerana rakyat hendak melihat kerajaan yang memulihkan ekonomi, impak Covid-19.”

Beliau berkata, walaupun langkah diambil kerajaan PN dalam menangani beberapa isu dianggap keras, tetapi rakyat dapat menerimanya.

“Contoh mudah ialah dasar terhadap PATI (pendatang asing tanpa izin) yang agak keras, tetapi diterima rakyat. Serupa juga tindakan polis dengan strategi agak keras, tetapi rakyat memahaminya supaya keadaan sentiasa terkawal. Semua ini akan beri kesan minima dalam pilihan raya umum.

“Satu perkara ketara ialah tindakan polis ketika ini untuk menjaga ketenteraman negara dan tidak ada kena-mengena dengan kehendak parti politik. Belum ada tanda atau isyarat tindakan polis ini berkaitan strategi PN untuk kekang seteru politik mereka.”

Semalam, 6 kakitangan media antarabangsa, Al Jazeera ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung dokumentari “Locked Up In Malaysia’s Lockdown” menerusi program 101 East yang disiarkan minggu lalu kerana menuduh Putrajaya menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menangkap PATI.

Al Jazeera disiasat polis di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Rabu, 1 Julai 2020

Satu kekhilafan keluar UMNO, Salleh mahu sumbang tenaga

Bekas Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan beliau telah memohon untuk menyertai semula UMNO.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan beliau keluar daripada UMNO adalah satu kesilapan.

“Saya membuat keputusan tersebut setelah merenung kembali keputusan yang saya ambil termasuklah keluar daripada UMNO secara ‘en-block’ pada 12 Disember 2018 yang mana kini saya anggap sebagai satu kekhilafan.

“Kini saya menyerahkan kepada UMNO khususnya YB Presiden, Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Sabah yang diketuai oleh YB Dato’ Sri Bung Moktar Radin untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Saya berhasrat untuk menyumbang sepenuh usaha dan tenaga saya bersama UMNO dalam meneruskan agenda perjuangan membina negara Malaysia yang tercinta,” kata Salleh.

Semalam, Ketua UMNO Sabah  Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan pihaknya sudah menerima surat permohonan Salleh untuk menyertai semula UMNO, dan permohonan itu sedang dipertimbangkan dan diperhalusi untuk kelulusan.

Menurut Saleh beliau telah memohon untuk kembali bersama UMNO pada 26 Mei lalu melalui Ketua UMNO Sabah.

Salleh sebelum itu memaklumkan beliau membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lepas iaitu hampir setahun selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah keluar meninggalkan parti.

Beliau memohon menyertai PKR pada tahun lepas kerana ketika itu PKR adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, dan menurutnya, Sabah harus membina hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun serta berdaya saing.

“Saya memilihnya (pada waktu itu) demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan kerajaan Persekutuan,” katanya.-SM

Ahad, 26 Januari 2020

BN akan dibubar seperti Perikatan?

Abdul Hadi (dua dari kanan) bersama-sama Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sungai Sumun semalam.
 

BAGAN DATUK - Pas membayangkan nasib Barisan Nasional (BN) akan menjadi seperti Perikatan yang dibubarkan diganti dengan Muafakat Nasional.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggabungan Pas dan UMNO pernah berlaku ketika rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Beliau berkata, ketika itu berlaku pembubaran Perikatan dan digantikan dengan gabungan baharu iaitu BN.

"Insya-ALLAH perhimpunan (konvensyen) ini akan mengubah sekali lagi landskap politik negara. Jangan lupa peristiwa 13 Mei 1969 negara dalam keadaan huru-hara pada masa itu Pas bergabung dengan UMNO menubuhkan kerajaan campuran ditubuhkan Barisan Nasional, dibubarkan Perikatan.

"Kali ini insya-ALLAH akan berlaku, dibubarkan Barisan Nasional akan muncul Muafakat Nasional," katanya ketika berucap pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sungai Sumun semalam.

Hadir sama pada konvensyen itu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Pas Idris Ahmad, Pengerusi UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria dan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sokongan rakyat terhadap Muafakat Nasional semakin baik berdasarkan beberapa kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menurutnya, melihatkan perkara itu, perpaduan di dalam Muafakat Nasional perlu dipelihara.

Sementara itu, ketika ditanya lanjut mengenai pembubaran BN seperti di dalam ucapan menerusi sidang media selepas konvensyen, Abdul Hadi berkata, perkara itu hanyalah perumpamaan.

Katanya, Muafakat Nasional yang dibentuk antara Pas dan UMNO masih baharu.

Ahad, 1 Disember 2019

Zahid: Jangan harap 'reptilia melompat' dapat jadi calon PRU

KOW GAH CHIE & LU WEI HOONG
 
 

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran kepada pemimpin gabungan itu yang berhasrat untuk berpaling tadah.

Menggelar pemimpin berkenaan sebagai 'reptilia melompat', Ahmad Zahid berkata tindakan akan diambil terhadap mereka apabila sampai waktunya.

Presiden Umno itu mengingatkan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk tidak memilih mereka sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Sewaktu kita diuji, kita mahu lihat siapa yang melompat. Jangan lupa saya memerhati. Jangan lupa kuasa untuk memeterai watikah untuk jadi calon adalah pengerusi BN.

"Ya sekarang saya tidak ambil tindakan. Tiba masanya jangan harap saya akan tandatangani watikah untuk mereka yang tidak setia kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan agung MCA kali ke-66 di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata ada di kalangan pemimpin parti itu yang mahu menjadi 'reptilia melompat', tanpa menyebutkan nama.

"Kita tak menjadi reptilia yang melompat, ada yang melompat waktu kita mendengar guruh di langit, hujan mahu turun, mereka pecahkan tempayan. Akhirnya mereka menyesal," katanya secara berjenaka.

"Diam, bukan bererti kita tidak pandai, diam bukan ertinya kita tidak mahu ambil tindakan. Diam-diam ubi berisi, diam-diam tumpu strategi.

"Tiba masanya kamu akan tau apa yang saya akan lakukan," katanya di hadapan 1,499 perwakilan MCA yang bertepuk tangan dan ketawa.

Sebelum ini dilaporkan lebih 20 anggota parlimen, bersama-sama Anggota Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein bertemu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di kediaman menteri hal ehwal ekonomi itu di Putrajaya.

Isnin, 25 November 2019

MP BN: Azmin minta kami jangan lompat parti

 
 
Anggota Parlimen Gerik, Hasbullah Osman berkata Azmin Ali memberitahu anggota parlimen BN yang berjumpa dengannya di Putrajaya minggu lalu supaya tidak melompat parti.

"Itu keadaan yang sebenar, saya masih ingat Azmin kata jangan sesekali lompat parti, kalau nak nafikan, tanyalah Azmin.

"Kami tidak pernah terfikir pun nak lompat parti, daripada awal sampai ke hari ini," katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Hasbullah berkata perkara ini dibangkitkan dalam perjumpaan di kediaman Azmin kerana media sebelum itu melaporkan ada dalam kalangan anggota parlimen BN yang mahu menyertai parti lain.

"Kalau media tidak tulis tidak timbul isu itu," kata Hasbullah.

Pertemuan pada malam 18 Nov itu diadakan di kediaman menteri hal ehwal ekonomi itu di Putrajaya di mana lebih 20 anggota Parlimen BN dan beberapa anggota parlimen PKR berkumpul.

Presiden BN, Ahmad Zahid Hamidi selepas itu berkata beliau dimaklumkan perjumpaan itu untuk membincangkan mengenai projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Azmin memberitahunya bahawa anggota parlimen berkenaan sudah 'hilang parti' dan meminta nasihat sama ada harus menyertai parti lain.

Selepas itu, 15 anggota parlimen Umno yang terlibat dalam pertemuan itu menafikan dakwaan Mahathir.

Hasbullah berkata kenyataan Mahathir dibuat untuk menutup isu kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Tanjung Piai.

"Itu (dakwaan lompat parti) tidak betul, kita ialah ahli Umno. Kebetulan kita kenal Azmin, minta bawa borang permohonan (peruntukan) dan (Azmin) ajak makan di rumah beliau, jadi kita pergilah.

"Ini adat orang Melayu, apa masalahnya.

"Apa yang dikatakan Tun Dr Mahathir sebut mungkin tanggapan dia berdasarkan kepada nak tutup kekalahan di PRK Tanjung Piai,"kata Hasbullah.


Sabtu, 23 November 2019

Kami ajak Azmin masuk UMNO, bukan hilang parti, kata 7 MP BN

Wartawan MalaysiaGazette
umno
Perwakilan Wanita UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASR
 

Kuala LUMPUR – Beberapa Ahli Parlimen UMNO menafikan dakwaan bahawa pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa yang hendak buat, samada masuk parti lain atau tidak.

Malah mereka menyatakan tidak akan keluar UMNO, apatah lagi lompat parti.

Mereka berkata, tidak pernah sekalipun Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempunyai pendirian sedemikian semasa pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman beliau di Putrajaya baru-baru ini.

“Malah, merujuk kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa di laman Twitternya, beliau turut akui dakwaan tersebut merupakan satu fitnah.

“Malah, beliau turut zahirkan keyakinan bahawa kesemua Ahli Parlimen BN yang hadir pertemuan tersebut merupakan ahli yang setia, kata tujuh Ahli Parlimen UMNO dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan malam ini.

Mereka ialah Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Salim Sharif (Jempol), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu) Ramli Datuk Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Pada sidang media di Bangi petang tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dimaklumkan bahawa ada pemimpin UMNO yang bertemu Azmin baru-baru ini telah hilang parti dan tidak tahu sama ada mahu menyertai parti lain atau tidak.

Perdana Menteri berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) seramai 17 orang itu turut memberitahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mereka tidak tahu untuk membuat apa-apa, sama ada menyertai parti lain atau pun sebaliknya.

Malah jelas Dr Mahathir, ada kenyataan dari pemimpin itu yang menyokong kepimpinannya.

Menurut Ahli Parlimen itu, apa yang dibincangkan malam itu hanyalah perkara berhubung kait usaha pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing, termasuk pembinaan infrastruktur untuk kegunaan orang ramai seperti masjid, surau dan balai raya.

Selain itu, katanya, dengan kemenangan besar BN di Tanjung Piai, mereka turut mengajak Azmin untuk masuk UMNO kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan UMNO dan BN. – MalaysiaGazette

Rabu, 13 November 2019

MCA, MIC belum jadi anggota Muafakat Nasional

 

Didakwa PAS bahawa MCA dan MIC adalah sebahagian daripada Muafakat Nasional, hari ini seorang pemimpin kanan Umno menyatakan sebaliknya.

Menurut Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, dua parti terbabit belum lagi menyertai Muafakat Nasional, sebaliknya bersama dalam pakatan BN.

"Belum lagi, kami masih BN," kata Ismail dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, memberitahu bahawa piagam Muafakat Nasional jelas menunjukkan bahawa Umno - yang mendandatangani dokumen tersebut - bermaksud berserta dengan BN, MCA dan MIC, manakala PAS disertai parti Berjasa dan Ikatan yang membentuk Gagasan Sejahtera.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Takiyuddin itu, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, hal itu akan dijelaskan pada waktu lain.

"Yang itu kita buat PC (sidang media) lain," katanya ringkas.

Menjelang dua hari saja lagi untuk PRK Tanjung Piai, MCA dan MIC masih tidak menyatakan secara jelas sama ada mereka menjadi sebahagian daripada Muafakat Nasional yang mempertemukan Umno dan PAS secara rasmi dalam satu gabungan.

Bagaimanapun, kedua-dua parti tersebut kelihatan seperti menerima idea tersebut.




Dalam ceramah BN-PAS pada Rabu lalu, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, dalam ucapannya merujuk Muafakat Nasional sebagai satu bentuk perpaduan pembangkang.

Semalam, di majlis Belia Muafakat Nasional, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata konsep itu adalah untuk pembangkang bekerjasama ke arah sesuatu lebih baik.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, R Thinalan, menjelaskan bahawa Muafakat Nasional menunjukkan semua kaum boleh bersatu demi kepentingan rakyat.

Dalam PRK Tanjung Piai PAS memberikan sokongan padu kepada calon BN yang juga ketua MCA kawasan itu, Wee Jeck Seng, yang cuba merampas kembali kerusi yang pernah dimenanginya selama dua penggal sebelum PRU ke-14 lalu.


Sabtu, 27 Julai 2019

Asyraf: BN perlu belajar dari pengalaman PAS jadi pembangkang


   

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki hari ini berkata partinya akan terus menghargai MIC sebagai sekutu setia dalam BN walaupun kini sedang menjalinkan persahabatan baru dengan PAS.

Bercakap pada konvensyen tahunan MIC di Kuala Lumpur hari ini, Asyraf berkata BN yang pertama kali menjadi pembangkang boleh belajar daripada pengalaman PAS selama enam dekad.

"Apa rasa bila kita jadi pembangkang, mungkin sahabat-sahabat kita daripada PAS dia berpengalaman dan berpuluh tahun jadi pembangkang, kita kena belajar daripada mereka.

"Kita jangan bongkak jangan sombong, kita kena belajar daripada PAS, sebab orang kita ini bila jadi pembangkang, cepat goyah, bila jadi pembangkang tak sampai beberapa bulan mereka terjun daripada bahtera.

"Kapal kita ini masih belum karam, bahtera kita masih kuat, walaupun layarnya koyak, pendayungnya ada yang patah, sana sini bocor, tapi ia tidak akan karam walau dilanda ombak dan badai.

"Bahtera BN tetap akan kita pertahankan, kerana kita tiada pilihan," kata Ashraf.

Tambah Asyraf, BN mesti kembali menjadi kerajaan persekutuan kerana menurutnya pemimpin PH, gagal mengekalkan keharmonian negara.
BN, yang telah memegang kuasa persekutuan sejak kemerdekaan Malaysia, kalah kepada pakatan PH pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.

Susulan itu, beberapa parti komponen BN mengumumkan keluar mereka dari gabungan itu.

BN Sarawak dibubarkan selepas PBB, SUPP, PRS dan PDP mengumumkan keluar gabungan itu dan membentuk Gabungan Parti Sarawak pada 12 Jun lalu.

Sementara di Sabah, PBRS, Upko, dan LDP juga meninggalkan BN.

Jelas Asyraf, dengan mengambil kira cabaran baru yang dibawa oleh perkongsian Umno dengan PAS, semua pihak termasuk MIC perlu bersedia untuk tidak bersetuju dalam beberapa isu tertentu.

"Itu saya cakap dengan (Ketua Pemuda MIC) R Thinalan, mari kita berbincang dengan hati terbuka.

"Kita mesti bersedia bincang perkara sensitif, tak ada masalah. Kita mesti bersedia bersetuju untuk tidak bersetuju kerana inilah asas kekuatan negara," katanya.

Ketika ditemui, Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin pula berkata, matlamat keseluruhan adalah mengukuhkan blok pembangkang, termasuk memupuk hubungan dengan komponen BN yang lain.

"Itulah sebabnya kami berada di sini hari ini untuk menunjukkan solidariti kami dengan rakan-rakan dari MIC dan menunjukkan ini adalah wajah Malaysia yang baru yang kita mahukan.

"Kita mungkin mempunyai ideologi politik yang berbeza tetapi kita semua rakyat Malaysia dan kita boleh bersatu atas dasar keadilan dan mencari keamanan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, pemimpin-pemimpin MIC cuba meyakinkan ahlinya bahawa parti mereka tidak akan dipinggirkan apabila Umno menjalin kerjasama rasmi dengan PAS.

Pemimpin MIC juga menggesa anggotanya untuk meraikan kerjasama yang dipromosikan sebagai cara untuk BN kembali berkuasa dan mengingatkan bahawa PAS bukan parti radikal.


Ahad, 14 Julai 2019

Wee: Najib cuma beri nasihat, bukan buat keputusan


   

Jawatan pengerusi Lembaga Penasihat BN yang kini disandang oleh Najib Razak tidak memberi kuasa kepada bekas perdana menteri itu untuk mengemudi BN, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.

Wee berkata lembaga itu hanyalah memberi nasihat dan keputusan akhir tetap akan diputuskan Dewan Tertinggi BN secara bersama.

“Orang keliru (lepas Najib dilantik sebagai penasihat) siapa jadi kepala (BN), pengerusi BN masih Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya masih Mohamad Hasan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis One Belt One Road dan Undang-undang e-dagang China di Wisma MCA hari ini.

"(Najib) bukan pemimpin Dewan Tertinggi... Pandangan mereka (lembaga penasihat) yang difikirkan perlu akan diambil maklum. Kita akan dengar daripada mereka tetapi akhirnya Dewan Tertinggi yang buat keputusan.

"Dia (Najib) cuma beri nasihat, (keputusan oleh) Dewan Tertinggi. Kalau tak jadi dewan terendahlah," katanya lagi sambil ketawa.

Wee juga berkata kemungkinan beberapa pemimpin lagi akan dilantik menganggotai lembaga penasihat itu.

Beliau diminta mengulas pelantikan Najib selaku pengerusi Lembaga Penasihat BN yang dibuat Dewan Tertinggi BN, dan sama ada MCA boleh menerima nasihat daripada bekas pengerusi BN itu.

Pelantikan Najib dipersetujui sebulat suara oleh pemimpin yang mengahadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 9 Julai lalu.
Najib Razak
Perkembangan itu kira-kira dua minggu selepas Ahmad Zahid kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Ia bagaimanapun tidak dipersetujui beberapa pemimpin Umno, antaranya Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkannya sebagai langkah ke belakang dan bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin yang berkata dia "tidak gembira" selepas ditanya berkenaan perkara itu.

Untuk rekod secara keseluruhan Najib dan Ahmad Zahid berdepan lebih 120 tuduhan mahkamah, membabitkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah.

Sementara itu Wee enggan mengulas lanjut ketika ditanya berkenaan kebolehan Najib untuk menasihati BN di saat beliau berdepan sejumlah tuduhan di mahkamah.

“Saya tak komen hal peribadi, saya cuma cakap jika ada isu,” katanya yang juga anggota parlimen Ayer Hitam.

Ditanya siapa wakil MCA dalam Lembaga Penasihat BN, Wee berkata beliau masih "mencari ilham".


Khamis, 11 Julai 2019

Najib Penasihat BN: KJ, Nazri tak boleh terima hakikat - Lokman Adam

Raja Hisyam Raja Zaid, Astro Awani
Najib Penasihat BN:  KJ, Nazri tak boleh terima hakikat - Lokman Adam
Kata Lokman (gambar) Khairy sememangnya dari dahulu meletakkan semua bebanan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu ke atas Datuk Seri Najib. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Lokman Adam berkata dia tidak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Nazri Aziz yang tidak bersetuju dengan pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Barisan Nasional (BN).

Katanya Khairy sememangnya dari dahulu meletakkan semua bebanan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu ke atas Datuk Seri Najib dan sehingga kini masih tidak dapat menerima kenyataan terhadap kebangkitan bekas perdana menteri itu.

“Sebab itu bila akar umbi kebanyakkannya ahli Umno dan penyokong BN dan Pas boleh menerima kembali Datuk Seri Najib, KJ ini agak sukar hendak terima sebab dia awal-awal lagi sudah menjangkakan akan jatuh terus dan tak mungkin dapat kembali dan dia memang awal-awal lagi 'memukul' Datuk Seri Najib," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pagi Khamis.

Tambah beliau KJ juga mungkin melihat perlantikan Datuk Seri Najib itu sebagai muqadimah (langkah awal) dalam barisan kepimpinan BN dan akan kembali menjadi perdana menteri.
 
Dan bagi beliau justeru itulah KJ kurang senang dengan perlantikan tersebut.

KJ dilaporkan memberi kenyataan secara sinis pada Rabu bahawa dia tiba-tiba berasa tidak gembira ketika ditanya tentang perlantikan 'bos lama'nya itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional.

Sementara itu Lokman  turut membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz yang turut tidak bersetuju dengan perlantikan tersebut.

“Kalau kita lihat Presiden Umno pernah mencadangkan nama beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional tetapi pada ketika itu MCA dan MIC menolak cadangan tersebut.

"Tetapi dalam kes Datuk Seri Najib ini walaupun jawatan Pengerusi Majlis Penasihat itu sebelum ini tidak wujud tapi mereka sanggup mewujudkan jawatan itu. Mungkin Nazri kecewa dengan jawatan tertinggi BN itu," katanya.

Malah dakwa beliau, Nazri sebenarnya mempunyai kerjasama dengan musuh BN iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga DAP.

Maka katanya tidak hairanlah mengapa kenyataan sebegitu dikeluarkan oleh beliau.

“Saya percaya bahawa Nazri memang ada hubungan dan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga DAP dan beliau lebih percaya bahawa disebabkan sokongan masyarakat Cina hari ini lebih kepada DAP maka dia berasakan bahawa sudah tiba masanya DAP diangkat menjadi parti komponen menggantikan MCA dan Gerakan,” katanya lagi.

Nazri pada Rabu menyifatkan pelantikan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) sebagai 'langkah ke belakang'.

"Kita (BN) kalah di bawah siapa? Apa bentuk nasihat yang dia boleh berikan kepada kita?" kata bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kepada pemberita di lobi Parlimen. 
 
 

Selasa, 9 Julai 2019

DAP punca Umno, BN enggan terima pelawaan Dr M


   

Presiden Umno berkata parti itu dan BN tidak akan menerima pelawaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai Bersatu selagi ada pemimpin PH "bersekongkol" dengan DAP.

Menggunakan alasan perpaduan Melayu dan Islam, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan BN tidak dapat menerima pelawaan untuk menyertai mana-mana parti lain.

"Kita (Umno) tidak dapat menerima sebarang pelawaan mana-mana parti, apatah lagi mana-mana pemimpin parti yang terus bersekongkol dengan DAP.

"Umno dan BN tidak boleh terima jika DAP terus menguasai kerajaan yang ada sekarang ini," katanya.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu juga mendakwa DAP kini menterjemah agenda Malaysian Malaysia yang tidak dapat diterima oleh Umno dan BN.

"Ini adalah pendirian Umno dan BN," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu - termasuk Umno - untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadukan serta memperkasakan kuasa politik Melayu.




Pengerusi PH itu berkata, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

PAS hari ini sudah menegaskan hasrat mereka untuk istiqamah dengan Umno.

Malaysiakini melaporkan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu memang konsisten bersama dengan Umno dalam konsep penyatuan.

Ahmad Zahid berkata Umno dan BN memang sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada untuk menerima realiti politik.

Namun kata pengerusi BN itu, tawaran dibuat Mahathir baru-baru ini tidak dapat diterima mereka.


Rabu, 3 April 2019

'BN sokong Tun M jika PH mahu jatuhkan beliau'

Sinar Harian
'BN sokong Tun M jika PH mahu jatuhkan beliau'
HISHAMMUDDIN: Saya harap masalah dalaman sesama mereka dapat dikurangkan, isu diktator dan sebagainya tidak membantu kita untuk memulihkan ekonomi, menstabilkan kerajaan. - Foto Sinar Harian
 
 
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berada di belakang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga tamat penggal ini sekiranya wujud gerakan untuk menjatuhkan beliau dalam Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, demi kestabilan negara dan ekonomi, semua Ahli Parlimen BN jamin akan memberikan sepenuh sokongan dan keyakinan kepada Dr Mahathir untuk menjalankan tugasnya demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Saya memberikan sepenuh sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya akan datang, sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba untuk menjatuhkannya.

“Demi kestabilan negara dan ekonomi, kesemua Ahli Parlimen BN akan menyatakan sokongan, kami mahu Perdana Menteri kita (Dr Mahathir) untuk terus mentadbir Malaysia dan melaksanakan tanggungjawab beliau untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, pada Selasa.
 
Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan turut membidas tindakan pimpinan PH melabelkan Dr Mahathir sebagai seorang diktator.

BACA: Gelaran 'bekas diktator' itu adalah fakta, kata Nurul Izzah

“Saya pernah bekerja di bawah pentadbiran Dr Mahathir selama 20 tahun, tuduhan yang mengatakan beliau seorang diktator sangat tidak masuk akal.

"Saya tak ada masalah pun dalam tempoh 20 tahun itu, jadi kenapa sekarang timbul isu diktator, malah dibangkitkan sendiri oleh mereka dalam PH... kurangkanlah politik sesama sendiri.

“Wakil rakyat BN sesama kita harapkan kepimpinan yang ada sekarang, termasuk Perdana Menteri kekal. Kalau kedudukan Perdana Menteri tergugat, saya yakin rakan-rakan di dalam BN akan bersama Dr Mahathir.

"Sebab itu saya harap masalah dalaman sesama mereka dapat dikurangkan, isu diktator dan sebagainya tidak membantu kita untuk memulihkan ekonomi, menstabilkan kerajaan, dan tidak membantu koordinasi kementerian untuk dilihat sebagai kerajaan yang dapat diterima baik oleh dunia,” ujarnya.

BACA: "Ya saya seorang 'diktator', saya juga pendengar yang baik" - Tun Mahathir

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terbuka menyatakan UMNO sedia menyokong Dr Mahathir dalam isu yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, sokongan UMNO itu bagaimanapun bergantung kepada situasi dan keadaan semasa negara.

BACA: Kalau Tun Mahathir 'diktator', bagaimana pula dengan 10 pemimpin ini?
 
 

Khamis, 21 Mac 2019

HISHAMMUDDIN SEDIA BANTU MCA, MIC…

Wartawan Watan Online

Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien sedia membantu dan bergading bahu dengan pucuk pimpinan tertinggi parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menentukan halatuju parti tersebut.

Beliau menegaskan bahawa perlu ada pendekatan yang baru hasil dari pencapaian pada Pilihan Raya Umum (PRU)  dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menurut beliau Presiden MCA dan MIC bersama pemimpin UMNO perlu duduk bersama memikirkan kaedah terbaik demi kelangsungan BN.

Hishammuddin ditemui wartawan dilobi parlimen pagi Isnin. Beliau mengulas tindakan MCa dan MIC yang masih bersama BN.
 

Sabtu, 9 Mac 2019

MCA, MIC kekal, mesyuarat BN tidak bincang PAS

DENYUT REFORMASI

 
 
KUALA LUMPUR — MCA dan MIC kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata usul pembubaran BN oleh MCA melalui resolusi Mesyuarat Agung Tahunan parti itu dibentang pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN hari ini, namun tiada konsensus dibuat mengenainya.

“MCA dan MIC masih kekal utuh tetapi kami ambil pandangan semua isu yang mesti kami tangani,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT BN di sini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

MCA dalam resolusi Mesyuarat Agung Tahunannya tahun lepas antara lain mengusulkan supaya mandat diberi kepada jawatankuasa pusat BN untuk membubarkan gabungan itu dan memulakan usaha mewujudkan satu pakatan baharu.

Malah beberapa hari lepas, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama memberi bayangan untuk keluar daripada BN, namun hanya akan membuat keputusan akhir selepas mesyuarat MT BN diadakan.

Kedua presiden parti komponen BN itu dipetik sebagai berkata bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain keluar daripada BN bagi meneroka satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.

Mohamad menegaskan sesuai dengan piagam BN, kesemua keputusan melibatkan parti itu perlu dilakukan secara konsensus, tidak boleh secara unilateral dan ini, menurutnya sekali lagi dipersetujui ketiga-tiga parti yang hadir.

Bagaimanapun, beliau berkata ketiga-ketiga parti bersetuju dengan resolusi lain MCA supaya BN diselaraskan semula mengikut kehendak semasa.

Justeru, beliau berkata satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan secepat mungkin bagi meneliti perkara itu dan tidak menolak kemungkinan mewujudkan BN 2.0 sekiranya ada keperluan.

“Umno memang tak nak lihat BN dibubarkan, kami dah banyak sejarah kepada negara...patut dikekalkan, kita boleh mengubah suai, bukan kerana sekali kalah terus nak kena bubar sebab itu kami menubuhkan jawatankuasa teknikal, terpulang kepada mereka untuk beri apa jua pandangan,” katanya.

Pada mesyuarat kira-kira dua jam itu, Mohamad berkata, isu kerjasama Umno dan PAS turut dibentangkan dan mendapat sokongan penuh MCA dan MIC.

“Tidak ada salah jika ia datangkan kebaikan kepada BN, kami tak terikat dalam perkara ini, kami bukan lagi dalam kerajaan, jadi setiap parti perlu perkasakan diri masing-masing, setiap parti perlu sedikit ruang atas sebab itu UMNO mempunyai sedikit ruang untuk bekerjasama dengan PAS
 
“Macam dulu kita bagi MCA untuk guna logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil Balakong, jadi ia fleksibel kita bukan tegar sangat,” katanya.

Beliau berkata usul sama ada PAS akan dibawa masuk sebagai parti komponen baharu BN bagaimanapun tidak dibincangkan.

Sementara itu, Vigneswaran berkata MIC yakin PAS tidak mempunyai hasrat untuk menyertai BN dan beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan PAS.

Wee pula berkata hasil mesyuarat MT BN itu akan dibentang pada mesyuarat Anggota Jawatankuasa Pusat MCA pada 17 Mac ini. — Bernama 
 
 

Jumaat, 8 Mac 2019

BN tidak terima keahlian parti baru termasuk Pas

Muhammad Azizul Osman
MGF08032019_MEETING-BN_22-1-681x454
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri) bercakap kepada media selepas hadir Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) turut sama Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) di Pejabat BN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) menegaskan BN memutuskan untuk tidak membuka keahlian baharu kepada mana-mana parti buat masa kini.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, ini termasuk keahlian kepada Pas yang menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada September tahun lalu.

“Ini bukan soal untuk menarik mana-mana parti masuk dalam BN. Itu bukan isunya, BN tak buka keahlian baharu untuk menyertai BN, Pas pun tak ada hasrat untuk sertai BN.

“Bukan perhatian kami untuk Pas masuk dalam BN dan pendirian MCA jelas,” katanya dalam sidang media bersama Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran hari ini.

Kedua-dua parti itu mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN bersama UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hasan.

MCA dan MIC sebelum ini berkata, mereka tidak kisah dengan kerjasama UMNO dan Pas yang jelas membawa kebaikan kepada BN.

Ketika ditanya mengenai hasrat MCA untuk membubarkan BN seperti yang disuarakan sebelum ini,
Ka Siong menjelaskan, desakan itu bertujuan menuntut satu tindakan dibuat terhadap BN kerana mahu melihat barisan ini kembali ke landasan asal.

“Dalam mesyuarat ini tidak boleh dibuat secara unilateral dan paksa kerana perlu ada konsensus semua parti,” ujarnya.

Untuk rekod, BN kini hanya mempunyai tiga parti utama iaitu UMNO, MCA, dan MIC yang masih bekerjasama dalam gabungan itu. -MalaysiaGazette

BN tubuh jawatankuasa selesai perbalahan dalaman

Nizam Zain
MGF08032019_MEETING-BN_27-1-681x454
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri) bersalaman dengan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) sambil diperhatikan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pejabat BN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan jawatankuasa khas peringkat negeri dan Parlimen bagi gabungan pembangkang itu menyelesaikan perbalahan dalaman yang wujud sebelum ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi memastikan tiada lagi parti komponen gagasan itu terpinggir daripada sebarang keputusan yang mempunyai kepentingan politik di negara ini.

“Kita bersetuju bersama-sama menubuhkan satu struktur jawatankuasa kerja untuk kita melihat pentadbiran BN di peringkat negeri dan Parlimen.

“Tiada lagi perkara nanti ada pihak-pihak yang berkecil hati, ada pihak merasakan dipinggirkan dan ada pihak merasakan mereka ini dominan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri Tan Sri A Vigneswaran.

Mohamad juga berkata, keluhan dan dilema yang dihadapi oleh parti komponen BN semasa dalam kerajaan sebelum ini perlu diselesaikan segera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Suatu kajian, struktur jawatankuasa mesti diadakan oleh BN bersama-sama untuk melihat cara untuk kita menstruktur semula gerak kerja parti untuk menyediakan parti berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Tidak kurang juga isu-isu yang dibawa oleh MIC, banyak perkara khususnya ketidakpuasan hati berkenaan isu-isu semasa BN dalam kerajaan dan perkara yang dilakukan oleh pihak eksekutif sebelum ini.

“Apa yang dilakukan oleh pihak eksekutif pada ketika itu melemahkan MIC dengan bantuan terus kepada India dan parti-parti lain.

“Keadaan itu tidak semasa Tun S. Samy Vellu sebagai presiden parti, semuanya tertumpu dan diuruskan oleh MIC,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Rabu, 6 Mac 2019

MCA, MIC boleh minta saya letak jawatan Jumaat ini – Nazri

Muhammad Azizul Osman
xMGF25022019_NAZRI-AZIZ_07-681x452
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bercakap pada sidang media berkenaan isu kenyataan beliau mengenai SJKC dan SJKT di Pejabat Barisan Nasional, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau tidak akan hadir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Ujarnya, beliau tidak mahu mengganggu mesyuarat berkenaan demi survival BN.

“Mesyuarat mungkin tidak dapat dijalankan kerana kenyataan MCA dan MIC yang mengatakan kalau saya datang, mereka tidak datang.

“Jadi saya tidak datang supaya mesyuarat boleh berjalan,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Nazri menjawab pertanyaan media berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang mengugut tidak akan hadir mesyuarat sekiranya beliau ada dalam mesyuarat berkenaan.

Jelasnya lagi, kedua-dua komponen BN itu perlu ada dalam mesyuarat berkenaan dan diberikan peluang membangkitkan isu pelantikannya sebagai Setiausaha Agung BN sebelum ini.

“MCA perlu diberi peluang berkenaan cadangan mereka supaya kita boleh bincang, tidak boleh tergantung isu ini terlalu lama dan saya tidak boleh menjadi sebab mesyuarat tidak dapat berjalan. Kita perlu selesaikannya.

“Saya juga nak MCA dan MIC bangkitkan isu pelantikan saya supaya ia boleh dibincangkan secara rasmi dan minta saya letak jawatan sebab mereka tak setuju,” katanya.

Letak jawatan

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata beliau mahu menghadiri mesyuarat berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

“Saya tidak ada sebarang masalah jika saya ditolak, saya tak ada masalah dikeluarkan. Saya mahu bangkitkan soal pelantikan dan bincangkan dalam mesyuarat itu,” katanya lagi.

Isnin lalu, MCA dan MIC menegaskan hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kepemimpinan dua komponen BN menjelaskan, mesyuarat bersama MCA dan MIC telah membuat ketetapan bahawa pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN adalah tidak mengikut Perlembagaan parti itu. -MalaysiaGazette

Nazri tak hadir mesyuarat BN Jumaat ini, beri peluang MCA, MIC bantah lantikannya

Nazri Aziz pada mulanya mahu menghadiri mesyuarat Dewan 
Tertinggi BN Jumaat ini untuk mempertahankan dirinya.
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional, Nazri Aziz tidak akan menghadiri mesyuarat parti itu Jumaat ini untuk memberi peluang MCA dan MIC membangkitkan isu pelantikannya.

“Saya mahu MCA dan MIC hadir dalam mesyuarat BN pada Jumaat ini,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Mesyuarat mungkin tidak dapat dijalankan kerana kenyataan MCA dan MIC yang mengatakan kalau saya datang, mereka tidak datang. Jadi, saya tidak datang supaya mesyuarat boleh berjalan.

“Saya nak MCA dan MIC bangkitkan isu pelantikan saya supaya ia boleh dibincangkan secara rasmi dan minta saya letak jawatan (jika) mereka tak setuju.

“MCA perlu diberi peluang berkenaan cadangan mereka supaya kita boleh bincang, tidak boleh tergantung isu ini terlalu lama dan saya tidak boleh menjadi sebab mesyuarat tidak dapat berjalan. Kita perlu selesaikannya.”

Kelmarin, MCA dan MIC dilaporkan menggesa BN mengadakan mesyuarat untuk membincangkan masa depan bekas gabungan parti pemerintah itu, dengan syarat Nazri tidak hadir.

Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, kesahihan mesyuarat pada Jumaat ini akan dipertikaikan kerana pelantikan Nazri ke jawatan itu tidak mengikut perlembagaan BN.

Nazri berkata, beliau pada mulanya berhasrat menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN untuk mempertahankan dirinya.

“Mula-mula saya nak datang sebagai ‘gentleman’. Lebih baik kita duduk bersemuka dan mereka boleh kata mereka tak mahu saya. Kalau ada tuduhan kepada saya, boleh saya pertahankan diri saya.

“Saya tidak ada sebarang masalah jika saya ditolak, saya tak ada masalah dikeluarkan. Saya mahu bangkitkan soal pelantikan dan bincangkan dalam mesyuarat itu.”

Selasa, 5 Mac 2019

Tendang Umno keluar BN antara pilihan MCA, MIC – sumber


   

Gabungan baru yang diusahakan MCA dan MIC mungkin tidak melibatkan penubuhan badan baru, kata seorang pemimpin kanan BN.

Sebaliknya, kata pemimpin yang enggan namanya disebut itu, kedua-dua parti itu mungkin cuba menyingkirkan Umno, yang kini dilihat lebih berminat dengan kerjasama bersama PAS.

"Kenapa perlu MCA dan MIC keluar BN? Kita mampu, boleh pecat Umno daripada BN. 

“Sebab kami( MCA dan MIC) dua parti. Umno cuma satu," kata sumber itu.

Katanya, memang Umno lebih kuat dalam Dewan Rakyat, tetapi keadaan dalam parti berbeza sama sekali.

“Tetapi, di dalam BN, MCA dan MIC lagi mantap," tambah beliau.

Sumber bagaimanapun berkata tidak dapat mendedahkan butiran lanjut rancangan mereka buat masa ini.

"Buat apa ini, kami tidak nak memberitahu apa-apa. Ini bukan isu boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua hari. Ia boleh gabungan baru atau BN 2.0.  

“Tunggu dan lihat," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber juga berkata mereka “meluat” dengan sesetengah kenyataan pemimpin-pemimpin Umno yang didakwa mereka “rasis”.

Mesyuarat MCA dan MIC berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Ia, antara lain, mendesak majlis tertinggi BN mengadakan mesyuarat bagi berbincang masa depan gabungan tersebut.

Kenyataan bersama Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC SA Vigneswaran bersama selepas mesyuarat itu, berkata kedua-dua parti itu sedang mempertimbangkan penubuhan pakatan baru.

Mereka mengadu bahawa semangat perpaduan BN telah terjejas, sambil menegaskan antara lain, kenyataan pemimpin pusat Umno Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa pilihan raya kecil Semenyih yang dianggap perkauman.


Isnin, 4 Mac 2019

BN perlu dapatkan kembali pengundi Cina, India

siti hafidah

Naib Presiden UMNO perbetul kenyataan kemenangan di Semenyih

BANGI – Barisan Nasional (BN) memerlukan undian dan dukungan rakyat, termasuk kaum India dan China, untuk menjayakan Malaysia seperti yang diimpikan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, artikelnya bertajuk ‘Lima Pengajaran Kemenangan BN di Semenyih’ semalam tidak bermaksud mengatakan bahawa BN tidak memerlukan undian Cina dan India di mana-mana pilihan raya sekalipun.

Sebaliknya, beliau menegaskan BN harus berusaha mengembalikan semula kepercayaan pengundi Cina dan India kepada parti itu, kerana setiap undi adalah penting.

“Seperti yang saya telah katakan, meskipun BN tidak mendapat sokongan kaum Cina, dan hanya 40 peratus undi dari kaum India, orang Melayu masih boleh menghantar signal yang jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menzahirkan ketidakpuasan mereka dengan mengundi calon BN.

“Justeru, saya berharap artikel semalam diadili secara objektif mengikut konteks Pilihan Raya Kecil Semenyih sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dalam artikel bertajuk ‘Lima Pengajaran Kemenangan BN di Semenyih’ Khaled menyatakan BN menang tanpa sokongan masyarakat Cina dan India dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Di PDM Bandar Rinching, yang 50 peratus pengundinya ialah kaum India, sokongan terhadap PH masih lagi sangat nyata iaitu hampir 60 peratus. Sekalipun begitu, keadaan ini tidak merencatkan pencapaian BN.

“Sebaliknya menunjukkan impak kemenangan BN tanpa sokongan bangsa Cina dan India. Pada masa yang sama, ini juga bermakna BN mesti bekerja lebih keras untuk mengembalikan sokongan India dan Cina kepada BN,” katanya.

Pada PRK Semenyih Sabtu lalu, BN menawan semula kerusi kawasan itu selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).