Sabtu, 23 Jun 2018

MCA Tetap Kekal Bersama UMNO, MIC Dalam BN

Agensi/Mynewshub



TEGUH… MCA akan tetap bersama Barisan Nasional (BN) serta menyatakan komitmen bersama-sama dengan UMNO dan MIC untuk terus berusaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini.

 

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kelangsungan hidup BN pada ketika ini bergantung kepada kepemimpinan baharu yang dibentuk selepas pemilihan parti komponen masing-masing.

Beliau sebaliknya berkata, MCA tidak perlu tergesa-gesa buat keputusan keluar daripada BN selepas kalah mengejut pada Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini, kerana masih banyak masa untuk atur gerak langkah seterusnya.

“Kita tidak perlu merobohkan rumah hanya kerana terdapat atap yang bocor,” katanya dalam kenyataan media di ibu negara hari ini yang dipercayai merujuk tindakan mengejut Parti Gerakan keluar daripada komponen tersebut.

Tambah Lian Ker, BN perlu kekal bersatu dan bukan bertelagah sesama sendiri kerana gabungan politik berkenaan telah lama terbukti dalam mencipta pelbagai kejayaan lebih 61 tahun sejak negara capai kemerdekaan dari British.

“Dalam situasi ini, kita perlu menahan diri dan bersabar serta mengambil langkah yang bijak untuk ke hadapan,” kata beliau yang mungkin mengulas isu beberapa parti di Sabah dan Sarawak mengumumkan keluar daripada BN.

MCA wujud sejak 1949, tiga tahun selepas UMNO ditubuhkan, cuma menang satu kerusi Parlimen di Ayer Hitam, Johor dan dua kerusi negeri masing-masing di Perlis dan Pahang pada PRU lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA





Tiada ulasan: