KEADIALAN DAILY
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jawatankuasa Khas diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan berunding dengan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi menyemak isu monopoli Bernas sebagai pengimport tunggal beras.
Menterinya Salahuddin Ayub berkata jawatankuasa itu akan mencadangkan satu model baharu berhubung penamatan perjanjian konsesi Bernas yang akan berakhir pada 2021.
“Model tersebut akan dibawa dan dibincangkan di Kabinet, selepas itu akan dihuraikan kepada rakyat dan semua yang berkepentingan, bagaimana operasi model baharu tersebut setelah (perjanjian bersama) Bernas ditamatkan.
“Kita akan melihat kepada keputusan Bernas itu sendiri kerana konsesinya akan tamat pada 2021, terpulang kepada Bernas namun akan ada siri rundingan dan konsultasi antara kementerian, jawatankuasa khas dan Bernas,” katanya selepas program Temu Bual Eksklusif Bernama Radio.
Salahuddin sebelum ini dilaporkan berkata penamatan monopoli Bernas akan membentuk pasaran hasil padi yang lebih terbuka.
Ia sekaligus mewujudkan persaingan yang sihat antara syarikat yang terlibat dalam industri padi dan beras negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan