Selasa, 19 Jun 2018

Amirudin Menteri Besar Selangor

ISMAWEB

Adun Sungai Tua angkat sumpah jawatan depan Sultan Selangor hari ini

KLANG – Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, Amirudin Shari, menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amirudin, 38, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat mengiringi Sultan Selangor pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar akujanji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor ke-16 itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Istiadat angkat sumpah yang berlangsung di Balairung Seri itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.

Sambil memegang Lembing Sembuana, Amirudin daripada PKR turut melafazkan 10 ikrar akujanji sebagai menteri besar, antaranya memelihara serta menjunjung tinggi prinsip Rukunegara dan memelihara kedaulatan institusi raja serta mempertahankannya daripada dicemari dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Beliau turut berikrar untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta pada masa sama kepentingan sah kaum lain sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor 1959, selain memelihara jawatan yang dipegang daripada dicemari dengan perlakuan menyalahi undang-undang.

Amirudin yang dilahirkan di Pontian, Johor menyandang kerusi Sungai Tua (sebelum ini dikenali sebagai DUN Batu Caves) sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Pada PRU13, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,261 undi dalam pertandingan tiga penjuru dan pada PRU14, 9 Mei lepas, beliau melakukan hatrik mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 11,374 undi.

Amirudin, yang turut dilantik anggota Dewan Diraja Selangor adalah antara calon termuda yang memegang jawatan Menteri Besar Selangor selepas Adun Sungai Panjang dari Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Khir Toyo yang dilantik ke jawatan itu ketika berusia 35 tahun pada 2000.

Pada PRU14, Pakatan Harapan mendapat majoriti dua pertiga apabila memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Sementara itu, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail daripada PKR, yang dilantik semula sebagai anggota Exco kerajaan negeri, turut mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor pada istiadat sama.

Rodziah, 53, pernah menjadi Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita ketika zaman pentadbiran bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Terdahulu, dalam istiadat berasingan, Mohamed Azmin mempersembahkan surat pelepasan jawatan menteri besar kepada Sultan Selangor di Bilik Menghadap Istana Alam Shah. – Bernama
 
Profil:
Nama : Amirudin Shari
Umur : 38 Tahun
Tarikh Lahir: 8 Februari 1980
 
Jawatan pernah disandang :
– Adun Sungai Tua (2008-2013, 2013-2018, 2018 hingga kini)
– Exco Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan (2014 hingga kini)
– Ahli Jawatankuasa Pusat PKR
– Bekas Pengurus Persatuan Bola Sepak Selangor
– Penyelaras program di Institut Kajian Dasar
 
Pendidikan:
-Sekolah Menengah Benut, Pontian
– Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Universiti Putra Malaysia.
– Memperolehi latihan khas berhubung persiapan pilihan raya di bawah Konrad Adenauer Stiftung yang dianjurkan di Berlin dan Munich.
 
Latar belakang politik:
– Aktif dalam sayap AMK sejak 2014 dan dipilih sebagai Naib Ketua Bahagian
– Pada Januari 2014, Amirudin mengumumkan pencalonannya sebagai Ketua Pemuda AMK
– Mula bertanding sebagai Adun pada tahun 2008
– Bernama


Tiada ulasan: