Selasa, 19 Jun 2018

Bapa Altantuya minta kes pembunuhan dibuka semula

Bapa Altantuya minta kes pembunuhan dibuka semula
Setev Shaariibuu bercakap kepada media berkenaan desakannya supaya kes pembunuhan anaknya, Altantuya dibuka semula, pada sidang akhbar di pejabat peguamnya di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain
 
BAPA kepada model dan penterjemah Mongolia yang mati dibunuh oleh dua pegawai polis pada 2006, Altantuya Shaariibuu meminta Pejabat Peguam Negara membuka semula kes anak perempuannya itu.

Setev Shaariibuu berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Peguam Negara Tommy Thomas hari ini bagi membincangkan kemungkinan kes pembunuhan Altantuya dibuka semula.

“Saya mahu kes itu ada penutup dan kebenaran terbongkar. Matlamat mesyuarat itu ialah berbincang untuk membuka semula kes,” katanya di pejabat peguamnya, Ramkarpal Singh hari ini.

Ramkarpal berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk bertemu Setev di Putrajaya esok.

Setev berkata tujuan utamanya kembali ke Malaysia untuk mengetahui siapa sebenarnya yang mengarahkan pembunuhan anaknya.

“Banyak yang berlaku di sini. Banyak ketidakadilan dalam kerajaan Malaysia (yang dulu).
“Kes ini sudah terlalu lama dan penuh dengan masalah.

“Kalau ada isu kenapa mereka tidak gari saja dia (Altantuya) dan hantar dia balik ke Mongolia. Kenapa mereka perlu bunuh dia?,” katanya.

Katanya, ini kali keenam beliau ke Malaysia dengan tujuan mencari keadilan untuk Altantuya.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bulan lalu memberitahu wartawan tidak ada asas untuk menyiasat semula kes itu.

Altantuya, 28, dipercayai ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di hutan Puncak Alam, Shah Alam, pada 2006.

Mangsa dikatakan kekasih kepada Abdul Razak Baginda, penganalisis pertahanan yang juga penasihat bekas perdana menteri Najib Razak antara 2000 dan 2008 ketika menjadi menteri pertahanan.

Setev berkata keluarganya menanggung kesedihan yang teramat dan tidak berkesudahan atas pembunuhan anak perempuan sulungnya itu, 12 tahun lalu.

“Dengan harapan baru, saya kembali ke Malaysia untuk mencari keadilan bagi pihak anak saya.

"Altantuya yang mencari rezeki untuk keluarga kami. Dia ada dua anak lelaki dan salah seorang daripadanya kurang upaya, hanya terlantar.”

Setev berkata kerajaan terdahulu melakukan segala-galanya untuk menghalang kebenaran diketahui.
Berkenaan pertemuannya dengan Dr Mahathir, Setev berkata beliau tidak pernah menyangka akan berpeluang bertemu perdana menteri itu.

“Saya tidak pernah terfikir yang perdana menteri akan mahu bertemu saya.

“Harapan saya besar yang kerajaan baharu di bawah Dr Mahathir akan melakukan yang terbaik untuk memberi keadilan.

“Selama ini saya berharap akan berlaku perubahan kerajaan di sini,” katanya.

Setev juga menafikan menerima apa-apa bayaran daripada ahli politik untuk menutup kes tersebut.
Mayat Altantuya dipercayai diletupkan menggunakan bahan letupan C4, yang digunakan pasukan tentera.

Dua anggota polis – Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri – yang sebelum ini bertugas sebagai pengawal keselamatan Najib, didapati bersalah dalam kes itu dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Razak didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan itu, tetapi dilepaskan oleh mahkamah.

Azilah sedang menanti hukuman di penjara Kajang, sementara Sirul ditahan di pusat tahanan imigresen Australia selepas melarikan diri ke sana sebelum hukuman dijatuhkan.

Sirul baru-baru ini menawarkan diri untuk memberi keterangan dan sebagai balasan, diberikan pengampunan, tetapi tawaran itu ditolak oleh Ramkarpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP.

Penghantaran pulang Sirul ke Malaysia mungkin terhalang oleh undang-undang kerana Canberra tidak akan mengekstradisi sesiapa yang berdepan hukuman mati, lapor agensi berita SBS Australia, baru-baru ini.

Tiada ulasan: