Selasa, 6 Mac 2018

Tuan Ibrahim anggap Husam dilanda tekanan jiwa

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Amanah Husam Musa mengalami 'tekanan jiwa' apabila mengeluarkan kenyataan haram jika memberi undi kepada PAS, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Tuan Ibrahim dalam nada sindirannya turut mempersoalkan kenyataan Husam, yang seolah-olah menentukan dosa dan pahala seseorang.
 
Tuan Ibrahim merujuk kepada kenyataan Husam yang baru-baru ini lantang berkata, haram mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, sebaliknya pahala jika memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH). 
 
"Pahala ini bukan dekat kita. Dulu Datuk Husam bersama dengan PAS 30 hingga 40 tahun dia bagitahu bila bersama PAS dapat pahala. Sekarang bila dia keluar, dia kata tak dapat pahala. Seolah pahala itu ikut dia. Dimana dia berada maka ada pahala. Siapa yang lawan dia maka anggap (begitu).
 
"Saya fikir dia dalam tekanan jiwa sebab bila satu masa PAS dikritik kononnya mengaitkan soal pahala dan dosa, tiba-tiba dia pun buat. Bagi PAS kita tak perlu layan benda-benda yang begitu. PAS banyak agenda besar dan banyak perkara yang kita perlu fokus. Kita tidak perlu masa dengan perkara-perkara tersebut," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
 
Tuan Ibrahim turut berkata, jika seseorang wakil rakyat berjuang dengan penuh ikhlas, maka pahala dosa merupakan hak ketentuan Allah SWT bukannya individu.
 
Bekas naib presiden PAS itu yang kini bersama parti serpihan Amanah itu menerusi satu ceramah di Kuala Krai baru-baru ini berkata, haram jika 'memangkah' bulan pada PRU14 nanti yang menongkat Umno-Barisan Nasional (BN). 
 
Sebelum ini, sikap lunak PAS terhadap Umno-BN dalam isu kemanusiaan mengundang tuduhan PH yang tidak menolak dua parti itu sedang berunding untuk kerjasama.
 
Bagaimanapun pimpinan PAS menolak dakwaan sedemikian, namun mengatakan ia terbuka dengan sebarang kerjasama dengan Umno dalam isu-isu berkaitan Islam dan perpaduan Melayu.
 
Tuduhan kepada Nik Abduh tak munasabah
 
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu audio didakwa mempunyai kaitan dengan Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Tuan Ibrahim beranggapan tuduhan itu merupakan satu fitnah yang tidak munasabah.
 
"Saya fikir PAS tak perlu ambil 'port' pasal benda itu sebenarnya. Kita anggap benda ini sebagai ruang-ruang fitnah menjelang pilihan raya dan mungkin lebih teruk lagi dari itu akan berlaku. 
 
"Bagi PAS kita anggap isu ini tidak jadi isu sangat. Kita pun anggap dah selesai, penafian telah dibuat oleh orang berkenaan. Bahkan sebelum ini dituduh 90 juta, bergabung dengan Umno, macam-macam tuduhan. 
 
"Sepatutnya beliau yang buat tuduhan beliau harus kemukakan bukti. Jangan suruh orang lain untuk bukti. Sekarang satu budaya, kita buat tuduh tetapi kalau tak betul selesai di mahkamah. Satu kerja," tambahnya.
 
Terdahulu, Nik Abduh terpalit dengan dakwaan menerima wang daripada Umno menerusi satu petikan audio mengaitkan beliau.
 
Susulan itu, Husam tampil dengan berkata, rakaman itu tidak ada kena-mengena dengan dirinya, namun menegaskan beliau juga memiliki salinan yang dipercayai sama.
 
Husam yang juga pengerusi PH Kelantan menegaskan dia sebelum ini bercadang untuk mendedahkannya selepas parlimen dibubarkan dan sedia bertanggungjawab atas rakaman berkenaan.
 
Bagaimanapun Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya suara dalam rakaman itu adalah dirinya, malah menganggap ia sebagai karut dan fitnah ke atas dirinya serta PAS.
 
 

Tiada ulasan: