Namun, sebuah badan pemikir pula mengatakan hubungan keluarga dan universiti awam di mana graduan belajar menjadi faktor penting untuk mereka mendapatkan pekerjaan.
Menurut pusat Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), lebih daripada 80% pemegang ijazah yang menganggur meminta gaji kurang daripada RM3,000, manakala 70% penganggur yang mempunyai diploma meminta gaji kurang daripada RM2,000.
Selepas menganalisis data lapan tahun dari Kementerian Pengajian Tinggi, KPRU turut mendapati terdapat trend yang membimbangkan di kalangan graduan.
Graduan universiti awam di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Terengganu dan Sabah didapati lebih sukar mendapat pekerjaan pertama jika dibandingkan dengan graduan dari pusat pengajian tinggi di negeri kaya seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
Ooi Teik Khim, yang menulis kajian tersebut menyifatkan ia adalah masalah 3'P': keluarga miskin (poor families), negeri miskin (poor states) dan kelas sosial bawahan (poor social standing).
"Majoriti graduan yang menganggur berasal dari keluarga miskin atau si rumah berpendapatan rendah dan negeri yang miskin atau berpendapatan rendah. Mereka juga mempunyai modal sosial yang lemah, mungkin kerana mereka datang dari kelas sosial bawahan," kata Ooi.
"Ia petunjuk ketara mengenai ketidaksamaan dalam masyarakat kerana tidak semua graduan setara dalam pekerjaan. Graduan dari keluarga kaya dan negeri berpendapatan tinggi dengan rangkaian sosial yang lebih baik mempunyai kelebihan dalam pekerjaan."
"The Findings of Graduate Tracer Study 2007-2015: Broken Malaysia Dream" berpendapat trend ketidaksamaan ini akan membawa kepada pergolakan sosial dalam jangka masa panjang.
"Umumnya, pendidikan dilihat sebagai cara terbaik untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik. Andainya pendidikan tidak lagi menjadi jalan berguna untuk mencapai hidup yang lebih baik, dan masyarakat juga sedar akan hal itu, lebih banyak pergolakan sosial akan terjadi.
Bagi generasi muda sekarang, impian rakyat Malaysia untuk memperoleh kehidupan lebih baik melalui pendidikan lebih tinggi telah musnah, kata Ooi.
"Mereka telah menyaksikan pelbagai kisah kejayaan mengenai orang dari keluarga berpendapatan rendah melonjak ke kelas menengah dan tinggi menerusi pendidikan tinggi serta usaha keras," katanya.
"Graduan hari ini sedar mereka semakin sukar mendapatkan pekerjaan dan gaji untuk mereka tidak berganjak. Pasaran kerja juga lebih memihak kepada graduan yang datang dari latar belakang yang lebih baik."
Siapa yang anda tahu
Kajian ini menganalisa data daripada tinjauan ke atas graduan diploma dan ijazah yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dari 2007 hingga 2015.
Misalnya, pada 2015, kementerian meninjau 229,568 graduan dari 22 universiti awam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tinjauan kementerian mengenal pasti punca mengapa graduan menganggur, cara mereka mencari kerja dan jumlah masa yang diperuntukkan untuk mencari kerja.
Graduan juga ditanya sama ada mereka adalah pekerja tetap atau sementara, gaji yang diminta dan kriteria penting apabila memohon pekerjaan.
Kajian KPRU kemudian membandingkan dan menganalisa penemuan dari setiap tahun bagi mengenal pasti trend pengangguran di kalangan graduan.
Selain daripada pola yang dinyatakan di atas, Oii berkata data mendedahkan bahawa kadar pengangguran di kalangan belia berumur antara 20 dan 24, termasuk graduan dan bukan graduan, meningkat dan kekal sama sejak 1998 - tahun di mana Krisis Kewangan Asia berlaku.
Ia kekal pada kadar yang sama iaitu antara 7% dan 10% dari 1998 hingga 2015, tanpa mengira kadar pertumbuhan ekonomi, kata Ooi.
Selepas menolak bilangan graduan baru yang tidak aktif mencari kerja, Ooi berkata kadar sebenar granduan yang menganggur ialah di antara 24% dan 28% antara 2008 dan 2015.
Penemuan yang lebih membuka mata ialah latar belakang graduan yang menganggur. Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sabah merupakan lima negeri berpendapatan rendah yang mempunyai bilangan graduan menganggur tertinggi.
Kadar pengangguran graduan di Kelantan ialah 34.8%, diikuti Sabah pada 34% Terengganu (33.2%) Perlis (27.7%) dan Pahang (27.4%).
Sebaliknya, kadar pengangguran graduan di Putrajaya adalah yang terendah pada 14.5%, diikuti Kuala Lumpur dan Selangor pada 18.6%, Pulau Pinang (21%) dan Johor (22.9%).
Di peringkat universiti pula, kadar pengangguran graduan direkodkan di:
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 46.4%, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 44.5%, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 43.3%, Universiti Malaysia Sabah (UMS) 42.6% dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 40.9%.
Pusat pengajian tinggi yang mencatat rekod pengangguran terendah ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 10.6%.
"Ini kerana UPSI menghasilkan graduan untuk bidang pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi," kata Ooi.
Selepas UPSI, dua institusi dengan kadar pengangguran paling rendah adalah di Selangor - Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18.8% dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) pada 19.9%.
Ini diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor pada 20.1%, Universiti Malaya (UM) pada kadar 21.2%, dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang pada 22.2%.
Ooi bagaimanapun, tidak dapat mengatakan sama ada perbezaan kadar pengangguran disebabkan oleh kualiti pendidikan di universiti ini, yang seterusnya menghasilkan graduan lebih baik atau kurang terlatih.
"Ini adalah sesuatu yang perlu kita siasat dalam satu lagi kajian. Buat masa ini, 3P dalam pengangguran di kalangan siswazah mungkin berlaku kerana dua sebab.
"Pertama, negeri berpendapatan rendah tidak mampur menawarkan peluang pekerjaan mencukupi bagi graduan negeri terbabit sehingga memaksa mereka berpindah ke negeri yang kaya, seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
"Kedua, apabila graduan dari negeri berpendapatan rendah mencari kerja di negeri kaya ini, mereka tewas dengan graduan tempatan yang mempunyai modal atau hubungan sosial yang lebih baik," tambah Ooi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan