Sabtu, 31 Mac 2018

Ingatkan kucing, rupanya bayi dalam plastik sampah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MIRI: Sikap ingin tahu seorang lelaki apabila melihat plastik sampah bergerak-gerak dan bunyi seakan kucing, membawa kepada penemuan bayi lelaki di kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Merpati di sini, malam ini.
 
Dalam kejadian jam 9 malam, bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu ditemui dibuang berhampiran tong sampah berhampiran sebuah restoran dalam pasar raya itu.
 
Sumber berkata, bayi berkenaan ditemui lelaki terbabit berusia lingkungan 50-an yang ketika itu sedang mencari kotak berhampiran tong sampah itu.
 
Katanya, lelaki terbabit musykil apabila ternampak satu plastik hitam berhampiran tong sampah berkenaan yang bergerak-gerak dan terdapat bunyi seakan kucing di dalam plastik itu.
 
"Lelaki terbabit kemudiannya membuka plastik berkenaan kerana menyangka terdapat individu yang membuang anak kucing.
 
"Bagaimanapun, lelaki terbabit tergamam apabila dia menemui bayi di dalam plastik berkenaan," katanya.
 
Katanya, orang awam yang menyedari kejadian itu kemudiannya membalut bayi berkenaan dengan kain sarung.
 
"Bayi berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pasukan paramedik dan dibawa ke Hospital Miri untuk pemeriksaan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: