Ahad, 25 Mac 2018

PKR, DAP dan PAN akhirnya tanpa Tun M...

USTAZ MOKHTAR SENIK

 
 
PKR, DAP dan PAN kononnya lawan Umno. Sehingga memusuhi PAS kerana katanya PAS berbaik dengan Umno. Mahathir pula bekerja bertungkus lumus bagi menyelamatkan Umno. Mahathir cuma tidak suka Najib. Tapi jiwa serta kasih sayang Mahathir kepada Umno tiada tolok bandingnya.
 
Tapi yang hairannya mengapa PKR, DAP dan PAN boleh terima Mahathir? Sehingga berantakan dalaman parti masing-masing kerana Mahathir. PKR yang sekian lama menjulang Anwar dan memusuhi Mahathir kerana kononnya menzalimi Anwar tiba-tiba berpaling tadah. Dijulangnya Mahathir dan disisihnya Anwar. Politik apa yang mereka sedang amalkan ini?
 
Bacaan saya ialah kita tunggu dan lihat. Sampai saatnya nanti PKR, DAP dan PAN akan dikencing oleh Mahathir. Takdirnya Bersatu memperolehi beberapa kerusi. Manakala Umno pula memperolehi kerusi yang tidak mencukupi 2/3 diparlimen.
 
Apakah mustahil bersatu akan kembali kepada Umno dan mencukupkan kuasa 2/3 mereka di Parlimen? Ketika itu Umno berjaya diselamatkan oleh Bersatu. Untuk penyatuan itu Mahathir meletakkan syarat Najib hendaklah diganti dengan sesorang yang Mahathir mahu.
 
Cita-cita Mahathir tercapai. Najib berjaya diturunkan dan Umno berjaya diselamatkan. Ketika itu PKR yang sudah pecah dua akan semakin lemah. Sebahagian mereka ada yang bersama DAP dan sebahagian yang lain akan pergi kepada Umno. Dan untungnya PAS ialah sebahagian PKR ada yang akan datang bersama PAS.
 
PAN yang waktu ini semakin tersisih daripada keluarga PH akan semakin hilang. Pemimpin PAN juga akan bertebaran mencari dahan untuk berpaut.
PAS yang sudah bersih daripada bakteria perosak terus melangkah dengan tenang dan bergaya melalui lorong-lorong politik yangg matang dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: