Sabtu, 31 Mac 2018

Jangan amal budaya tangguh kes, pesan ketua hakim negara

 
Raus Sharif mengingatkan para hakim tidak menangguhkan kes dengan sewenang-wenangnya tanpa alasan wajar.


Ketua Hakim Negara Raus Sharif berkata budaya menangguh kes tidak wujud di mahkamah Australia, UK, AS dan Singapura. (Gambar Facebook)


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif hari ini mengingatkan para hakim supaya tidak menangguhkan kes dengan sewenang-wenangnya tanpa alasan wajar.

Beliau berkata budaya penangguhan kes tidak wujud dan tidak diamalkan dalam sistem Badan Kehakiman itu.

“Pembaharuan yang digerakkan oleh Badan Kehakiman ialah untuk memastikan pendengaran sesuatu kes tidak tertangguh sewenang-wenangnya. Budaya penangguhan kes ini harus kita tangani.

“Di mahkamah di negara seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura, budaya menangguhkan kes tidak wujud,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan 7 pesuruhjaya kehakiman baharu di Istana Kehakiman di sini.

Raus berkata apabila sesuatu kes ditetapkan untuk perbicaraan, ia mesti didengar dan diputuskan tanpa penangguhan.

Sehubungan itu, beliau menasihati hakim yang baru dilantik dan hakim sedia ada supaya menjalankan pengurusan kes dengan baik bagi memastikan tiada penangguhan berlaku selepas kes ditetapkan untuk perbicaraan.

Menurutnya budaya tiada penangguhan diamalkan di Mahkamah Persekutuan dan kini, ia hampir mencapai 100% kes dikendalikan tanpa penangguhan.

“Misalnya minggu lepas, Mahkamah Persekutuan bersidang di Kota Kinabalu selama 5 hari dari Isnin hingga Jumaat. Terdapat 43 kes yang ditetapkan untuk bicara, semuanya berjalan kecuali 1 di mana kes itu terpaksa ditangguhkan kerana peguam dari Miri tidak mempunyai permit bekerja di Sabah.

“Minggu ini, semasa saya bersidang pada Isnin, Khamis dan hari ini, semua kes berjalan tanpa ada penangguhan. Saya berharap budaya ini diikuti di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi malah di semua peringkat mahkamah,” katanya.

Raus juga menasihati para hakim membuat sesuatu keputusan itu dengan teliti dan adil berlandaskan undang-undang dan fakta yang terbukti serta menyegerakan penghakiman dan memastikan penghakiman itu mudah difahami.

“Jika semua ini tidak diberi perhatian, keputusan kita akan dipersoal dan akibatnya, keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Badan Kehakiman akan terhakis,” katanya.

Raus berkata harapan masyarakat terhadap badan kehakiman adalah sangat tinggi dan kebanyakan keputusan mahkamah diteliti dan diulas oleh masyarakat melalui media cetak dan elektronik.

“Oleh itu, keputusan hendaklah dibuat dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata sejak akhir 2008, Badan Kehakiman menggerakkan pembaharuan bagi memastikan badan itu senstiasa efisien, dihormati dan dipercayai masyarakat.

Terdahulu, 7 pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing.

Mereka ialah Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, 48, yang memulakan kerjaya sebagai timbalan pendakwa raya dan peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan jawatan terakhirnya ialah timbalan ketua eksekutif di Suruhanjaya Sekuriti.

Datuk Mohd Radzi Harun, 53, pula memulakan kerjayanya sebagai majistret dan jawatan terakhirnya ialah sebagai pengerusi Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Kementerian Kewangan.

Lima lagi ialah Datuk Aliza Sulaiman, 51, juga memulakan karier sebagai majistret, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, 52, yang pernah bertugas sebagai timbalan pendakwa raya dan 3 peguam iaitu Wong Chee Lin, 57, Darryl Goon Siew Chye, 61 dan Dr Lim Hock Leng, 55.

Tiada ulasan: