Isnin, 26 Mac 2018

Baju Merah sedia kerah 10,000 ahli halang perhimpunan Bersih

Nizam Zain
Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada pemberita selepas prosiding kes saman yang dikemukakan oleh bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah kepada beliau di luar kamar Mahkamah Tinggi Sivil, Kuala Lumpur, hari ini.


AMPANG – Gerakan Baju Merah akan mengerahkan sehingga 10,000 ahlinya turun ke pekarangan Bangunan Parlimen pada Rabu ini bagi menghalang Bersih 2.0 melakukan demonstrasi menghalang sidang Dewan Rakyat mengenai persempadanan semula.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, pihaknya akan menghalang kumpulan baju kuning itu daripada menimbulkan huru-hara dan menyekat perjalanan sistem demokrasi di Parlimen.

“Kami tidak teragak-agak akan menghimpunkan 5,000 hingga 10,000 orang pada Rabu ini di hadapan Parlimen, jika baju kuning muncul.

“Perbuatan yang akan dilakukan Bersih 2.0 diketuai oleh Mohamad Sabu satu tindakan terancang, tujuannya untuk memburukkan dan memfitnah kerajaan dengan mengadakan demostrasi untuk menghuru-hara negara.

“Campur tangan Bersih 2.0 hanya tindakan provokasi melampau, untuk menyemarakkan kebencian masyarakat kepada kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Jamal mengulas hasrat Bersih 2.0 yang merancang mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen pada Rabu ini bagi menghalang kerajaan membentangkan persempadanan semula.

Jamal juga berkata, bagi memastikan tindakan mereka mematuhi undang-undang dan mengelakkan tindakan diambil terhadap kumpulan baju kuning, pihaknya akan membuat satu laporan polis.

“Esok kami akan membuat laporan polis dan saya telah mengarahkan peguam baju merah untuk mengambil perintah mahkamah menghalang kumpulan Bersih ini daripada melakukan kekacauan di Parlimen.

“Memandangkan pilihan raya tidak lama lagi, jadi mereka cuba mencetuskan provokasi untuk menanamkan kebencian masyarakat kepada kerajaan, kononnya persempanan baharu ini adalah tidak sah dan menipu,” katanya.

Ditanya tentang kumpulan Bersih 2.0 sering terlepas setiap kali menganjurkan perhimpunan berbanding kumpulan baju merah, beliau berkata, pihaknya sedia dikenakan tindakan undang-undang sekali lagi bagi menghalang perhimpunan itu diadakan.

Katanya lagi, Gerakan Baju Merah tidak akan sesekali menimbul provokasi jika bertembung dengan kumpulan baju kuning sambil menyifatkan mereka dalam kalangan orang yang ‘baik-baik’.

“Kami ini kumpulan yang baik, kami selalu mematuhi undang-undang, tetapi jika mereka cuba melakukan provokasi, kami akan sentiasa mempertahankan diri kami,”  katanya lagi. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: