Ahad, 25 Mac 2018

Mahathir tak profesional, pengecut datang majlis mengejut

Mohd Zaini Samsu Hadi
Dr Kamarul Zaman Yusoff


KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap tidak profesional apabila hadir secara mengejut ke sebuah majlis walaupun tidak diundang.

Malah, beliau turut dilabel sebagai seorang yang pengecut apabila menguar-uarkan kehadirannya pada majlis itu dilaman sosial dipercayai bagi mendapatkan perhatian, kata Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Menurutnya, bekas perdana menteri itu tidak wajar berkelakuan demikian dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Ada pihak yang menuduh ini merupakan satu perancangan untuk memalukan saya yang selama ini mengkritiknya (Dr Mahathir),” katanya ketika menjadi tetamu portal Watan Online menerusi slot sembang isu-isu semasa yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Semalam, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat kejutan apabila menghadiri Wacana Sinar Harian ke-53 yang berlangsung di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) di Shah Alam.

Mahathir hadir pada majlis itu bagi mengikuti program tersebut yang bertajuk Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?

Siri wacana itu menampilkan panelis Dr Kamarul Zaman pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Guru Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Sesi wacana itu dikendalikan Nazri Kahar dari Astro Awani selaku moderator.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut menemplak sikap moderator wacana itu apabila memberikan tumpuan yang berlebihan kepada Dr Mahathir hingga tidak memberi ruang kepada panelis untuk berbicara isu yang dibincangkan.

“Saya melihat terlalu ramai penyokong Dr Mahathir yang troll di dalam media sosial dan Facebook.

“Hujah-hujah yang digunakan untuk mengkritik saya memperlihat seolah-olah Tun Dr Mahathir itu begitu hebat dan apabila dia datang semua orang senyap,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk berada sepentas dengan Dr Mahathir bagi membicarakan isu-isu semasa secara umum, Kamarul Zaman berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kepadanya.

“Saya tidak ada masalah kalau Tun Dr Mahathir sendiri sanggup nak dengar,” tambah beliau. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: