Selasa, 27 Mac 2018

10,000 aktivis Baju Merah akan halang demo BERSIH di Parlimen

ANTARAPOS

Post Pic
 
AMPANG: Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Yunos akan menghantar 10,000 aktivis mereka untuk menghalang BERSIH 2.0 daripada membuat kacau di Parlimen esok.
 
Jamal berkata, Baju Merah mahu memastikan BERSIH 2.0 menghormati para wakil rakyat yang akan bersidang apabila kerajaan membentangkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada hari itu.
 
“Kalau ‘baju kuning’ keluar, kami juga akan keluar beramai-ramai bagi memastikan apa yang diidamkan dan dicita-cita oleh BERSIH untuk adakan huru hara di dalam negara akan kami halang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat gerakan itu semalam.
 
Antara langkah yang akan diambil ialah membuat laporan polis dan mengarahkan peguam mengambil perintah mahkamah menghalang tunjuk perasaan itu.
 
“Kami tidak teragak-agak lakukan apa sahaja untuk mematahkan demonstrasi tak bermoral, tak bermaruah,” katanya menurut sebuah portal. 
 
BERSIH 2.0 mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada Rabu.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan Laporan Kajian Semula Persempadanan kawasan pilihan raya kepada Najib pada 9 Mac selepas memulakan proses itu pada 2016.
 
Persempadanan semula boleh dilakukan selepas 8 tahun persempadanan kali terakhir tamat.
 
Mengulas lanjut, Jamal berkata sebaiknya BERSIH 2.0 tidak menganggu persidangan di Dewan Rakyat, dan menyerahkan perbahasan isu persempadanan semula pada para wakil rakyat.
 
“Biarlah ahli Parlimen kita yang bersidang. Sebenarnya persempadanan ini dah lama dibincangkan dan baru nak dimuktamadkan sama ada dipersetujui atau tidak,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: