Isnin, 26 Mac 2018

Selesa tanding logo sendiri, tapi apakan daya - Kamaruddin

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Noor mengaku sedikit ralat apabila calon daripada partinya tidak boleh bertanding di bawah logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Ujar Kamaruddin, beliau bagaimanapun akur keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) untuk menggugurkan logo PPBM dan DAP selepas mengalami masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
MPPH pada minggu lepas bersetuju untuk hanya menggunakan logo PKR dan Amanah pada PRU14.
 
"Biarlah, kita nak buat macamana, tapi kita (PBBM) lebih selesa menggunakan logo PBBM sendiri.
 
"Tapi oleh kerana Tun dan kepimpinan telah bersetuju untuk menggunakan satu logo dalam pilihan raya ini, jadi kita akan gunakan satu logo,"katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Kamaruddin berkata PPBM akan memilih logo yang sarat dengan lambang parti Melayu untuk meraih sokongan pengundi.
 
"Menggunakan satu logo adalah hal yang bijak. Cuma logo mana yang digunakan itu, saya rasa tidak menjadi masalah.
 
"Asalkan ianya logo yang melambangkan parti yang dipimpin dan didominasi oleh orang Melayu. Saya tidak pasti kepimpinan akan cenderung pada mana satu antara PKR dan Amanah, jadi kita tunggu nanti keputusannya," jelasnya.
 
Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata beliau mahupun PPBM  menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka demi meneruskan perjuangannya menumbangkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Malah beliau menganggap keputusan menggunakan logo tertentu adalah suatu tindakan yang bijak dan tidak mengelirukan pengundi.
 
"Ini penting untuk rakyat supaya mereka tidak keliru tentang banyak sangat logo yang mewakili PH.
 
"Masalah yang timbul pada PRU yang lalu adalah dari kalangan anggota Pakatan Rakyat menggunakan logo masing-masing yang mengelirukan rakyat, lebih lagi masyarakat luar bandar," ujarnya.
 
Sebelum ini, RoS mengugut untuk membubarkan PPBM jika parti itu tidak menyerahkan penyata kewangan dan minit mesyuarat parti peringkat Bahagian dan Cawangan.
 
RoS sebelum itu menerima lebih 400 aduan daripada ahli PPBM yang mendakwa mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan 30 Disember 2017 sebagai tidak sah.
 
Sementara DAP pula terpaksa menurut arahan RoS mengadakan kembali pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) selepas pemilihan terdahulunya diisytihar tidak sah.
 
 

Tiada ulasan: