Jumaat, 30 Mac 2018

Umno Kedah tuduh Dr M ‘bermuka-muka’ sertai protes di Parlimen

 
Pemuda Umno Kedah berkata Dr Mahathir pernah melakukan persempadanan semula pada 1986 dan 1995 yang memberi kekuatan politik kepadanya puluhan tahun.





ALOR SETAR: Pemuda Umno Kedah hari ini menyifatkan tindakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai hipokrit dan bermuka-muka kerana bersekongkol dengan kumpulan Bersih menyertai perarakan membantah usul kajian persempadanan semula.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ini kerana Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri sepatutnya lebih mengetahui tentang sistem pilihan raya di negara ini.

“Bingit macam mana pun ucapan dia (Dr Mahathir), ia tidak akan mampu mengubah sistem sedia ada. Malahan dia juga pernah melakukan proses kajian semula persempadanan pada 1986 dan 1995 yang memberikan kekuatan politik kepadanya selama puluhan tahun.

Pembangkang yang selalu menyatakan mereka kuat tidak seharusnya takut dengan usaha persempadanan ini dan jangan gunakan ia sebagai alasan untuk meraih simpati politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir menyertai kira-kira 200 orang yang menyertai perarakan pagi semalam bagi membantah usul persempadanan itu.

Perarakan itu dianjurkan kumpulan pendesak perubahan pilihan raya Bersih 2.0 untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat semalam selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen melalui undi belah bahagian.

Usul yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menerima sokongan 129 ahli parlimen berbanding 80 yang menolak.

Shaiful Hazizy berkata kajian semula persempadanan itu merupakan proses biasa dalam sistem pilihan raya di negara ini sekali gus pihak pembangkang tidak perlu menjadikan ia sebagai satu isu.
 
Beliau berkata kumpulan Bersih itu sepatutnya sedar dan tidak meletakkan Dr Mahathir sebagai jurucakap utama mereka kerana beliau merupakan pelopor kepada sistem sedia ada.


Tiada ulasan: