Isnin, 26 Mac 2018

Sultan Selangor titah selesaikan penstrukturan semula industri air

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri memuktamadkan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air bersama Kerajaan Persekutuan. 
 
Titah baginda, kerjasama kedua-dua peringkat pentadbiran itu penting bagi menjamin kepentingan negeri dan rakyat Selangor.
 
"Kuasa adalah satu amanah, untuk memenuhi aspirasi rakyat. Tatkala beta bertitah di Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun lalu, beta menitahkan supaya semua pihak mengambil sikap yang bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan isu air di negeri ini.
 
"Beta berharap isu air yang membabitkan kepentingan rakyat ini dapat diatasi dengan segera," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.
 
Sultan Selangor turut berkenan dengan hasrat kerajaan negeri dan Air Selangor untuk menjamin kelestarian bekalan air di negeri ini serta memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan untuk rakyat.
 
"Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2, yang menelan belanja sebanyak RM 177 juta telah mula beroperasi pada 1 Mac 2018, dengan kapasiti tambahan 100 juta liter sehari.
 
"Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dijangka siap pada hujung tahun ini dengan kapasiti 200 juta liter sehari, menelan kos sebanyak RM 497 juta.
 
"Negeri beta akan menikmati tambahan bekalan air bersih sebanyak 300 juta liter sehari dalam tahun 2018," titah baginda.
 
Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, rizab air terawat yang kini pada tahap 3.99 peratus akan ditingkatkan kepada 11.82 peratus pada 1 Januari 2019 selepas beroperasinya Loji Rawatan Air Labohan Dagang.
 
"Simpanan air mentah di empangan negeri ini akan merekodkan tahap 100 peratus," titah baginda

Tiada ulasan: