Rabu, 28 Mac 2018

Mahu Ke Parlimen : Gobind Mohon Tangguh Prosiding Kes Rasuah Guan Eng




Untuk kembali mengikuti sidang Parlimen, peguam yang mewakili Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo telah memohon mahkamah menangguh prosiding rasuah yang sedang dibicarakan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan prosiding itu ditangguhkan kepada 9 April dengan mengosongkan tiga hari bermula Rabu sehingga Jumaat bagi membolehkan Guan Eng dan Gobind yang kedua-dua Ahli Parlimen DAP untuk berurusan berkaitan parlimen.

Permohonan itu dibuat bagi membolehkan Gobind selaku Ahli Parlimen Puchong dan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menghadiri sesi Dewan Rakyat bagi pembentangan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 dan usul persempadanan semula.

Sebelum itu, saksi ke-25 pendakwaan, Penolong Pengarah Bahagian Pendaftaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang, Mohd Syukri Mohd Mokhtar, 33, memberitahu mahkamah bahawa Lot tanah banglo milik ahli perniagaan Phang Li Koon beralamat di No 25 Jalan Pinhorn telah dipindah milik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada tahun 2015.

Mohd Syukri yang membacakan pernyataan saksi, berkata lot tanah banglo itu dipindah milik kepada Guan Eng sebanyak 1/1 bahagian dan ia adalah jenis pegangan kekal yang berkeluasan 944 meter persegi.

Tambahnya, tanah berkenaan berstatus ‘Gred Satu’ iaitu pemiliknya tidak perlu mengemukakan permohonan untuk menukar syarat sekiranya ingin mengubah kegunaan tanah sama ada kepada tanah berstatus industri, pertanian atau pembangunan.

“Saya sahkan bahawa geran tanah serta Borang B1 (pelan tanah) adalah di dalam simpanan rekod Pejabat Tanah dan Galian dan saya sudah kemukakan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Carian rasmi tanah ini menunjukkan alamat bagi lot tanah berkaitan adalah di No 25 Jalan Pinhorn, Georgetown, pemilikan tanah terkini adalah atas nama Lim Guan Eng,” katanya.

Terdahulu Mohd Syukri berkata rujukan ke atas nombor perserahan menunjukkan bahawa lot tanah banglo itu sebelum ini dipindah milik daripada Ming Holdings (M) Sdn Bhd kepada Li Koon pada 2 Disember 2008.

Sementara itu, bekas Penolong Pengurus Cawangan Maybank Islamic di antara tahun 1981 dan 2015, Ooi Beng Joo, 57, berkata Guan Eng mengeluarkan cek berjumlah RM100,000 atas nama Li Koon yang bertarikh 20 Mei 2014.

Saksi ke-23 pendakwaan itu yang membacakan pernyataan saksi berkata, berdasarkan kepada penyata bank akaun Guan Eng daripada tempoh Mei 2014 sehingga Ogos 2015, disahkan bahawa tiada transaksi pengeluaran wang dalam jumlah itu melalui cek terbabit.

Beng Joo berkata, jika cek itu tidak dimasukkan ke dalam akaun (bank-in) dalam masa enam bulan, ia tidak akan laku.

Saksi itu turut mengesahkan berhubung cek berjumlah RM420,000 milik Guan Eng bertarikh 17 Ogos 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun Li Koon.

Katanya, berdasarkan penyata akaun bank Guan Eng pada Ogos 2015, beliau mengesahkan bahawa terdapat satu transaksi pengeluaran wang pada 26 Ogos 2015 iaitu ‘transaksi inward clearing cheque’ sebanyak RM420,000 melalui cek berkenaan

Tiada ulasan: