Isnin, 26 Mac 2018

Azmin perlu akui kegagalannya tadbir Selangor



Wartawan MalaysiaGazette 
 

SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa supaya mengakui kegagalannya dalam mentadbir Selangor serta berhenti mencari salah pihak lain bagi menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mendakwa negeri Selangor terpalit dengan pelbagai kes salah laku serta skandal yang masih gagal dijawab Menteri Besar Selangor.

“BN Selangor menyenaraikan 10 kegagalan dalam tempoh 10 tahun PKR mentadbir negeri ini, antaranya gagal menyelesaikan penstrukturan industri air serta kekerapan gangguan bekalan air terawat yang menjejaskan 2.5 juta pengguna dan 761 projek pembangunan di Lembah Klang.

“Konsep pendidikan percuma di Universiti Selangor (UNISEL) juga gagal dilaksanakan. UNISEL turut mengalami kerugian kerana gagal menarik kemasukan pelajar yang ramai, manakala dua asrama Yayasan Selangor (YS) di Kampung Pandan dan bangunan YS di Bukit Bintang terus terbiar.

“Selain itu, usaha memartabatkan Islam semakin terpinggir di Selangor selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak usul untuk memperkasakan Mahkamah Syariah sebanyak dua kali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.

Mat Nadzari berkata, kerajaan Selangor juga gagal menyediakan rumah mampu milik yang secukupnya, malah pembatalan sembilan projek Rumah Selangorku mengecewakan rakyat.

Selain itu, katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) gagal diuruskan dengan baik apabila fungsi asalnya untuk membina rumah mampu milik ditukar kepada projek perumahan mewah.

Dalam pada itu katanya, keengganan Kerajaan Selangor menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menimbulkan pelbagai persoalan, apatah lagi dengan pelbagai kes salah laku membabitkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kegagalan seterusnya ialah tindakan kerajaan negeri menyerahkan Kompleks Belia dan Kebudayaan di Seksyen 7, di sini kepada pihak swasta dan paling menyedihkan, pasukan bola sepak Selangor dinafikan hak untuk beraksi di Stadium Shah Alam,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut didakwa menyokong penganjuran ‘Oktoberfest’, meluluskan banyak lesen pusat hiburan, rumah urut dan judi serta gagal menyelesaikan masalah sampah dan denggi.

Semasa sidang media oleh Mat Nadzari dan wakil-wakil rakyat UMNO itu juga ‘dikejutkan’ dengan kehadiran Azmin yang hanya tersenyum mendengar kritikan terhadapnya.

Beliau kemudiannya memuatnaik status twitternya berbunyi “Turut sama mendengar Sidang Media Ahli-Ahli Dewan Negeri UMNO Selangor. Memang terserlah ketokohan Batang Kali. Kononnya 10 tahun & 10 kegagalan.” – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: