Isnin, 26 Mac 2018

Hanya empat ADUN PAS terima peruntukan wakil rakyat - Sallehen Mukhyi

Oleh Athirah Hanapiah & Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi hari ini memberitahu hanya empat ADUN sahaja daripada parti itu yang mula menerima peruntukan wakil rakyat daripada kerajaan negeri.
 
Sallehen berkata jika sembilan lagi ADUN PAS terus disekat peruntukan mereka, pihaknya akan memberi masa sehingga esok kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan penjelasan.
 
Sekiranya Azmin gagal berbuat demikian dan ADUN PAS terus dinafikan hak mereka, PAS Selangor akan membuat laporan kepada Jabatan Audit negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua minggu daripada sekarang.
 
"Setakat ini yang diberi hanya empat ADUN sahaja, yang lain belum lagi tetapi kita nak tengok hari ini apakah benar sebagaimana yang dia sebut ataupun masih ditahan, hari ini kita akan dapat maklumat.
 
"Empat ADUN tersebut adalah ADUN Paya Jaras (Mohd Khairuddin Othman), Sri Serdang (Noor Hanim Ismail), Taman Templer (Zaidy Abdul Talib) dan DUN Dusun Tua (Razaly Hassan.
 
Minggu lalu, PAS Selangor bertindak mengutus sepucuk surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan tekanan yang di hadapi ADUNnya dalam berkhidmat untuk rakyat.
 
"Kalau sekiranya (peruntukan) masih belum turun juga kita akan buat laporan sebab kita tidak tahu pasal apa tidak turun dan kerajaan perlu memberikan satu alasan atau sebab mengapa ADUN yang lain tidak diberi walaupun kenyataannya mengatakan bahawa duit sudah turun," katanya kepada media selepas perasmian pembukaan sidang DUN Selangor bagi penggal keenam, hari ini.
 
Sebelum ini Sallehen berkata siasatan jabatan audit dan SPRM itu perlu untuk mengenal pasti kemungkinan wujud kepincangan urus tadbir dan kemungkinan wujud penyelewengan kuasa melibatkan Pejabat Menteri Besar. 
 
Bagaimanapun Azmin yang ditemui pemberita memberitahu beliau tidak menjaga peruntukan wakil rakyat dan meminta ADUN yang terlibat merujuk kepada pejabat daerah masing-masing.
 
Sallehen kemudiannya berkata pihaknya sudah mengikut prosedur yang ditetapkan ketika menghantar tuntutan dan sudah berjumpa pegawai daerah, namun tetap gagal mendapatkan dana tersebut.
 
"Tetapi bila kita berhubung dengan pejabat daerah, pejabat daerah masih belum boleh memberikan lampu hijau lagi.
 
"Saya pun tidak pasti mengapa hanya empat ADUN sahaja," ujarnya lagi.
 
Difahamkan pembekuan peruntukan RM800,000 kepada setiap ADUN Selangor itu hanya membabitkan wakil rakyat PAS dan didakwa untuk mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Azmin sebelum ini kerap-kali berdolak-dalik berhubung tindakannya yang menyekat dana terhadap kesemua wakil rakyat PAS di negeri itu.
 
Malah baru-baru ini, beliau juga turut mempersoal tindakan PAS yang mengadu kepada Allah dan Sultan pada Program Munajat dan Ceramah Pas Selangor dan tidak mengadu kepadanya.
 
 

Tiada ulasan: