Selasa, 27 Mac 2018

PRU14: Nurul Izzah calon Pandan?

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Nurul Izzah Anwar.


KUALA LUMPUR – Kehadiran Nurul Izzah Anwar pada program ceramah di Pandan mencetuskan spekulasi kemungkinan beliau bakal menukar kawasan Parlimennya di Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR membuat penampilan semasa ceramah Bina Semula Negara di Taman Seraya, Pandan, malam tadi menguatkan lagi desas desus bahawa beliau akan meninggalkan kerusi Lembah Pantai yang disandangnya selama dua penggal itu.

Malah, semasa program ceramah itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution juga mengumumkan pemimpin atasan akan diletak sebagai pengganti Rafizi Ramli di kerusi tersebut.

Rafizi hilang kelayakan untuk bertanding pada PRU14 selepas dijatuhi hukuman penjara 30 bulan setelah didapati bersalah membocorkan maklumat akaun syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC).
Nurul Izzah Anwar
Pada PRU13, Rafizi memenangi kerusi Pandan dengan mengetepikan cabaran Lim Chin Yee (MCA-BN) dan Tan Yew Leng (Bebas) dengan kelebihan 26,729 undi.

Daripada 83,857 pengundi berdaftar di Pandan, 44 peratus adalah Melayu diikuti Cina (48 peratus), India (7 peratus) dan selebihnya, bangsa lain.

Nurul Izzah dijangka tidak mempertahankan kerusi Lembah Pantai susulan persempadan semula kawasan pilihan raya.

Pada PRU lalu Nurul Izzah memenangi kerusi Lembah Pantai dengan mengalahkan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan majoriti 1,847 undi.

Cadangan memindahkan Nurul Izzah ke Pandai mungkin juga mengambil kira ia sebagai kawasan selamat kepada pemimpin atasan PKR itu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: