JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi yakin tidak akan berlaku unsur sabotaj dalam kalangan
parti komponen BN terhadap calonnya di Johor pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14 ) akan datang.
Beliau berkata keyakinan itu adalah bersandarkan kepada kepercayaan
beliau terhadap Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
untuk mengurus dan memimpin semua parti komponen BN negeri.
Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri percaya ramai pihak
telah menerima baik perubahan yang akan dilakukan BN iaitu menukar dan
menggantikan calon yang tidak berwibawa untuk bertanding pada PRU14.
“Saya yakin di bawah kepimpinan (Datuk Seri) Mohamed Khaled, perkara
itu (sabotaj) tidak akan berlaku di negeri Johor,” kata beliau ketika
ditanya sama ada BN yakin tiada sabotaj akan berlaku ke atas calon BN di
negeri itu pada PRU14.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN
Johor 2018 di Stadium Tertutup Pasir Gudang, dekat Johor Bahru semalam.
Ditanya jika BN sudah memuktamadkan barisan calonnya, Ahmad Zahid berkata majoriti calon sudah dipilih.
Bagaimanapun, katanya BN masih melihat kepada beberapa aspek termasuk
keupayaan calon, sama ada mereka boleh menang dan berintegriti.
“Saya merasakan semua aspek diperincikan bukan hanya soal integriti
tetapi soal bagaimana calon itu sudah dikenali di kawasan yang akan
diwakili dan bagaimana daya kemenangannya.
“Bagaimanapun, di peringkat akhir nanti, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak (selaku pengerusi BN) akan memuktamadkan calon setelah
membuat perundingan dan ambil kira pandangan pengerusi-pengerusi BN
negeri,” kata beliau yang turut berpuas hati terhadap kesiapsiagaan BN
Johor dalam menghadapi PRU14.
Menurutnya, BN adalah parti yang sentiasa mahukan kepelbagaian termasuk menjadikan orang muda sebagai calon mereka.
Ahmad Zahid berkata ini penting demi memastikan semua golongan masyarakat diwakili dalam BN.
Ketika ditanya tentang desas-desus kononnya ada calon BN mungkin
bertanding di kerusi Parlimen dan juga kerusi Dewan Undangan Negeri,
beliau berkata perkara itu terserah kepada pengerusi BN untuk
diputuskan.
Berhubung penerimaan mereka yang mungkin tidak dicalonkan semula pada
PRU14, katanya ia adalah perkara biasa dan sebahagian daripada proses
perubahan serta pembaharuan dan selama ini telah diterima dengan hati
terbuka dalam BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan