Selasa, 27 Mac 2018

Undang-undang sedia ada sudah cukup, tak perlu akta anti berita palsu, kata Dr Mahathir

Undang-undang sedia ada sudah cukup, tak perlu akta anti berita palsu, kata Dr Mahathir
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sendiri keliru dan tidak tahu apa sebenarnya tujuan undang-undang ini, selain daripada tujuan politik.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
MALAYSIA tidak memerlukan sebuah akta khusus bagi mengawal berita palsu kerana undang-undang sedia ada di negara ini sudah mencukupi untuk mengekang berita atau dakwaan palsu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berpendapat, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar yang dibentangkan secara terbesar-gesa itu bertujuan menahan mana-mana pihak dari mengkritik kerajaan.

"Amat jelas sekali bahawa mereka keliru dan tidak tahu apa sebenarnya tujuan undang-undang ini, selain daripada tujuan politik.

"Kerana mereka mengadakan satu undang-undang yang undang-undang lain sudah pun cukup tetapi dibuat dengan cara yang boleh memberi kerajaan kuasa untuk menahan pengkritik-pengkritik kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat RUU tersebut di bangunan Parlimen hari ini.

Bekas perdana menteri itu memberi contoh, undang-undang seperti Akta Hasutan telah mencukupi untuk mengelakkan penyebaran berita palsu.

Tambahnya, RUU yang dibentangkan semalam hanyalah bersifat politik semata-mata.

"Tujuan undang-undang ini ialah untuk menyekat parti lawan daripada menyuarakan kritikan terhadap kerajaan.

"Inilah tujuannya dan lagipun kita tak perlu meluluskan undang-undang dalam masa satu hari di penghujung hayat Parlimen kerana undang-undang ini amat serius," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya ia perlu diberi masa untuk dibahas di persidangan Parlimen selepas pilihan raya umum.

RUU untuk mengharamkan "berita palsu" yang dibentang di Parlimen semalam, mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi pesalah.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berkata, Putrajaya tiada pendirian jelas sekiranya mana-mana pihak berbuat perkara yang sama iaitu mengeluarkan berita palsu terhadap pihak pembangkang.

"Yang mengejutkan ada ahli Parlimen bertanya, 'adakah bila perdana menteri sendiri mengeluarkan kenyataan seperti dilaporkan kepada Bernama kalau Pakatan Harapan menang, bantuan kerajaan kepada rakyat akan dihentikan'

"Adakah pihak peguam negara akan ambil tindakan bawah pendakwaan dan kenyataan fake news ini?

"Pendakwaraya tak boleh menjawab. Jadi tiada pendirian yang jelas menghina dan kritik pembangkang," katanya.

Pengamal undang-undang sebelum ini berkata, RUU berkenaan memberikan kerajaan lebih kuasa, termasuk bidang kuasa wilayah asingan yang membenarkan ia menahan atau mendakwa sesiapa sahaja, termasuk di luar Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan, yang menerbitkan sesuatu yang dianggap sebagai berita palsu.

Pembiaya blog atau laman web berita juga boleh didakwa, manakala permohonan mahkamah untuk menukar larangan penerbitan boleh dibuat atas alasan keselamatan negara.

Tiada ulasan: