PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membebaskan empat
individu termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk’ yang direman empat hari
sebelum ini berhubung kes penjualan tanah milik kerajaan Selangor di
mukim Ijok.
Menurut jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),
Majistret Atiqah Abu Hassan memerintahkan keempat-empat mereka
dibebaskan dengan setiap seorang dikenakan jaminan SPRM RM25,000 dengan
dua penjamin.
Keempat-empat mereka yang berusia 34 hingga 65 tahun terbabit adalah
tiga pengarah syarikat dan seorang yang bergelar ‘Datuk’ yang sebelum
ini direman empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan kes
berkenaan.
Dalam pada itu, mahkamah yang sama hari ini turut memerintahkan tempoh
reman seorang pengarah syarikat berusia 53 tahun bergelar ‘Datuk’
disambung dua hari lagi mulai esok.
Sebelum ini pengarah syarikat berkenaan direman selama tujuh hari yang
berakhir hari ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes sama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata
siasatan pihaknya merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang
kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima
lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5
juta.
Penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada
harga RM1.18 bilion di mukim Ijok itu menimbulkan banyak kontroversi
selain turut dipersoalkan pelbagai pihak, termasuk peneroka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan