Memaparkan catatan dengan label PRU 14. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRU 14. Papar semua catatan

Ahad, 19 Mei 2019

PTPTN: Sudah lari janji manifesto PRU14



MARANG: PAS menyifatkan kenyataan terkini pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang mahu mengenakan semula sekatan kepada peminjam itu telah terpesong dari janji manifesto pilihan raya lalu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, janji manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu mahu meringankan beban rakyat termasuk orang muda.

Menurutnya, sekatan yang akan dikenakan kepada peminjam PTPTN itu sekali gus bercanggah dengan apa yang diperjuangkan.

“Saya rasa itu sudah lari daripada janji manifesto (PRU14). Manifesto itu nak meringankan bebanan terhadap rakyat termasuklah orang-orang muda khususnya.

“Kita nak menuju ke arah pendidikan percuma. Bercanggahlah dengan apa yang nak diperjuangkan. Kita biarkan sahajalah, mereka berkuasa.

“Insya-Allah, rakyat dapat menilai,” ujarnya kepada pemberita, selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

PTPTN dilaporkan bercadang memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman tersebut.

Perbadanan itu dilapor turut mencadangkan agar menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet. - HARAKAHDAILY 

Rabu, 15 Mei 2019

Lim gesa keputusan PRU Zahid, Hisham dan Ismail disiasat

MALAYSIAKINI


 Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat inkuiri berkenaan dakwaan penglibatannya dengan laporan pemindahan pengundi tentera secara tidak sah di empat kerusi parlimen, dan sama ada keputusan di kerusi tersebut perlu diisytihar batal.

Empat kerusi Parlimen itu disandang pemimpin BN sebelum PRU ke-14 - Bagan Datuk (Ahmad Zahid Hamidi), Sembrong (Hishammuddin Hussein), Segamat (Dr S Subramaniam) dan Bera (Ismail Sabri Yaakob). Hanya Subramaniam yang tewas pada PRU lalu.

Gesaan Lim itu susulan laporan bahawa siasatan terhadap Kementerian Pertahanan mendapati pegawai SPR terlibat dalam pemindahan pengundi tentera.

"Pakatan seperti itu antara pegawai SPR dengan Kementerian Pertahanan untuk mengekalkan sokongan secara tidak sah dan tidak demokratik terhadap menteri kabinet menjelang PRU ke-14 bukan saja salah guna kuasa kerajaan (ketika itu) tetapi pencabulan proses demokratik.

"Zahid, Hishammuddin dan Ismail (juga) perlu menyatakan sama ada mereka mengalu-alukan inkuiri untuk (memutuskan) sama ada pilihan raya mereka tidak demokratik dan maka perlu diisytihar tidak sah dan batal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, pengerusi SPR Azhar Harun berkata mereka akan menunggu laporan siasatan sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Menurut The Malaysian Insight, dakwaan tersebut sebahagian daripada laporan jawatankuasa siasatan khas tadbir urus, pemerolehan dan kewangan yang diketuai bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

Ahad, 24 Mac 2019

JOHOR RUGI TOLAK BN-HASNI


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata penolakan rakyat negeri Johor terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) merupakan satu kerugian.

Katanya penolakan tersebut telah membuatkan beberapa usaha progresif yang dijalankan kerajaan negeri terdahulu tidak dapat diteruskan.

Katanya perkara yang paling terkesan ialah gagasan Dekad Baharu Johor untuk 10 tahun gagal dilaksanakan berikutan perubahan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun malang pengundi di Johor telah menolak BN dan memilih Pakatan Harapan (PH) kerana terpedaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan mereka semasa kempen PRU-14.

“Begitu juga dengan projek yang memberi manafaat kepada ekonomi dan rakyat di negeri ini tidak dapat diteruskan seperti projek Kereta Api Laju Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR),” katanya ketika berucap dalam majlis Perpaduan Ummah bersama Parti PAS di Pekan Ayer Baloi, Johor pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga merupakan ketua pembangkang negeri berkata, Dekad Baharu Johor yang dicetuskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin akan menjadikan Johor sebuah negeri termaju dalam tempoh tersebut.

Katanya pembatalan projek mega yang lain turut memberi impak negatif kepada generasi muda.

“Berapa ramai anak-anak muda di Johor telah kehilangan peluang perkerjaan yang dapat diwujudkan sekiranya projek HSR dilaksanakan termasuk dalam bidang latihan dan sebagainya,” katanya.


Khamis, 20 September 2018

India Muslim tubuh parti baharu PIBM

siti hafidah

Parti India Muslim Bersatu Malaysia sasar 10,000 ahli dalam tempoh enam bulan


KUALA LUMPUR – Sebuah lagi parti baharu bakal dilancar Jumaat ini, susulan perubahan landskap politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang penuh onak dan duri.

Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM), ditubuhkan ekoran masyarakat India Muslim kecewa apabila tiada parti untuk membela nasib mereka.

Ketua Penerangan PIBM, Ariff Farhan berkata, pelancaran rasmi parti khusus memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim akan diadakan pada Jumaat ibu negara.

Katanya, ketika ini tiada parti yang dapat mengangkat suara komuniti India Muslim secara bebas dan lantang.

“Justeru, kita perlu satu parti yang boleh bersuara tanpa memihak kepada mana-mana parti.

“Kita menyasarkan 10,000 ahli dalam masa enam bulan selepas pelancaran di peringkat nasional dan diikuti di tujuh negeri.

“Ia termasuk Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. Berkaitan perincian termasuk logo parti akan diumumkan pada majlis pelancaran,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut katanya, PIBM akan disertai ahli dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan NGO India Muslim.

Katanya, pendaftaran PIBM dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah dibuat dua minggu lalu dengan Datuk Jamarulkhan Syed Kader sebagai presiden penajanya.


Khamis, 9 Ogos 2018

Rafizi: Azmin, Zuraida, Tian mahu kerjasama dengan PAS PRU lalu

MALAYSIAKINI

 

 Di tengah kehangatan bahang pemilihan PKR, naib presiden parti itu, Rafizi Ramli, mendakwa pesaingnya untuk jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Selain Azmin, Rafizi turut menamakan dua lagi pemimpin kanan PKR iaitu ketua wanitanya, Zuraida Kamaruddin dan seorang lagi naib presiden, Tian Chua.

Kata Rafizi mereka menyokong kerjasama PKR dengan PAS bagi mengelakkan Pakatan Harapan (HARAPAN) berdepan dengan pertembungan tiga penjuru.

Pendedahan itu dibuat Rafizi selepas tinjauan kaji selidik menerusi telefon dijalankan pihaknya kepada ahli PKR menerima kritikan daripada penyokong Azmin.


Baca: Tinjauan telefon: Ahli PKR dakwa Rafizi ceroboh data peribadi


"Pasukan saya di Invoke bertanggungjawab menjalankan kaji selidik dan memprofil pengundi-pengundi sepanjang kempen PRU ke-14 yang lepas.

"Antara lain, saya bertegas sejak awal bahawa pertandingan tiga penjuru yang melibatkan PAS akan memberi kemenangan kepada PKR/Pakatan Harapan, walaupun saingan saya Datuk Seri Azmin Ali menentang kerjasama dengan Pakatan Harapan dan mahu mengelakkan pertandingan tiga penjuru melalui kerjasama politik dengan PAS.

"Oleh kerana Invoke mempunyai data pengundi yang membolehkan kami membuat kajianlah, maka saya dan sahabat-sahabat berjaya meyakinkan pimpinan untuk meneruskan pertandingan tiga penjuru, walaupun pimpinan lain seperti Datuk Seri Azmin, saudara Tian Chua, saudari Zuraida mahu meneruskan kerjasama dengan PAS," kata Rafizi.

Pada pemilihan PKR yang dijadual bermula 14 September depan, Rafizi akan mencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR yang kini disandang menteri hal ehwal ekonomi itu.

Manakala Zuraida akan bertanding merebut jawatan naib presiden dan Tian pula akan mempertahankan jawatannya - juga sebagai naib presiden PKR.

Kedua-dua Zuraida dan Tian dilihat berada dalam kem Azmin.

Pada pilihan raya umum lalu, HARAPAN yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya menumbangkan BN yang telah berkuasa selama 61 tahun.

PAS pula bersendirian membentuk gabungan yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, memenangi dua negeri di Kelantan dan Terengganu.

Menurut Rafizi, tidak ada pihak daripada kalangan pimpinan PKR atau HARAPAN sebelum ini menuduh beliau serta Invoke melanggar undang-undang.

"Satu-satunya pihak sebelum ini yang mendakwa Invoke melanggar undang-undang dan mahu operasi kami ditutup adalah Umno.

"Saya berharap saingan saya tidak meminjam modal kempen yang sama dari Umno dalam saingan ini.

"Saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat yang bertanding agar memberi tumpuan kepada wawasan kita untuk memperkuatkan parti, bukannya menyerang dan membuat tuduhan seperti ini," katanya.

Malaysiakini sedang berusaha mengubungi pihak Azmin untuk mendapatkan reaksi.

Khamis, 19 Julai 2018

JPM minta AS sokong Najib jika BN menang tipis

 
    EKSKLUSIF | Lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

"Saya berharap pihak tuan akan dapat melaporkan kepada setiausaha negara mengenai kerumitan mengurus pilihan raya ini oleh Perdana Menteri Najib dan keperluan untuk mendapat dukungan AS bagi kerajaan sekarang walaupun kami memenangi pilihan raya dengan  mudah majoriti atau hanya satu kerusi.

"Sebarang petunjuk bahawa kerajaan AS akan terus menyokong Perdana Menteri Najib dan kerajaannya pasti akan memperkuat kestabilan kami dan meningkatkan hubungan mesra sedia ada yang didorong oleh hubungan erat antara kedua pemimpin," katanya.

Sumber rapat  dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesahkan surat berkenaan adalah sahih tetapi enggan mengulas lanjut.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) mendakwa tidak tahu mengenai surat tersebut dan berkata risikan sepatutnya memastikan keselamatan negara dan bukan mengenai soal pilihan raya.

"Saya tidak fikir risikan harus terbabit dalam usaha memenangi pilihan raya.

"Perisikan tidak sepatutnya melakukan apa-apa dalam pilihan raya. Pilihan raya adalah mengenai kehendak rakyat, pilihan raya adalah mengenai demokrasi,"kata Saifuddin.




Surat dialamatkan kepada pengarah CIA yang dilantik pada akhir Mei di bawah pentadbiran Donald Trump itu turut menyentuh mengenai Mahathir bekerjasama dengan pembangkang.

"Tuan mesti dimaklumkan dengan baik bahawa Mahathir, pada dasarnya bukanlah seorang tokoh pembaharuan yang dapat meningkatkan kepentingan negara kerana beliau menyertai pembangkang untuk kepentingan diri sendiri.

"Sementara itu, pembangkang berharap dapat mempergunakan kehebatannya (Mahathir) dalam politik untuk mengalahkan perdana menteri Najib,"  kata surat yang ditulis oleh ketua pengarah bahagian penyelidikan JPM, Datuk Hasanah Ab Hamid.

'Mahathir anti-barat, Najib pro-AS'


Surat itu turut menyebut Mahathir yang berusia 93 tahun pada masa lalu merupakan seorang yang "anti-Barat, anti semitik, kuku besi dan mendiamkan kritikan melalui kekerasan, tidak mempedulikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. "

"Sepanjang tempohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri disalahgunakan untuk agenda politiknya sendiri dan membenarkan beliau memerintah Malaysia selama lebih dua dekad," katanya.

Sebaliknya, surat itu mengatakan sepanjang 9 tahun pentadbiran Najib, beliau menunjukkan rekod yang baik bukan sahaja dasar asing yang progresif tetapi juga menyumbang kepada keselamatan melalui penglibatan aktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini .

Walaupun pengkritik termasuk Mahathir (gambar) menuduh Najib berpaling kepada China, surat tersebut menyatakan bekas perdana menteri itu akan memihak kepada AS.




"Tidak seperti Mahathir, Najib dikenali sebagai sekutu Amerika yang kuat dan akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

"Tanpa Najib yang bertanggungjawab ke atas negara ini, Amerika Syarikat akan kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara memandangkan Filipina telah melepaskan diri dari Washington, Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk membuat impak dan Thailand serta Indonesia dibelenggu masalah domestik mereka sendiri.

"Sementara itu, negara-negara Indo-China kecuali Vietnam terlalu cenderung ke arah China, "katanya.

Menurut surat itu, Malaysia juga mengalu-alukan kehadiran AS di rantau ini, terutamanya di Laut China Selatan untuk memberi keseimbangan terhadap ketegasan maritim China.

Malaysiakini, Sarawak Report turut disebut

Surat itu juga menyebut Malaysiakini dan Sarawak Report dengan mendakwa pembangkang menyebarkan cerita negatif mengenai dasar politik dan sosio-ekonomi melalui portal berkenaan.

"Terdahulu, mereka (pembangkang) telah menubuhkan NGO seperti BERSIH Global untuk menganjurkan pemberontakan seperti Arab-Spring di Malaysia.

"Pada tahun 2016, harapan pembangkang untuk menjadi kerajaan kelihatan agak menjanjikan kerana Mahathir menyertai mereka.

"Ironinya, selama 20 tahun gerakan 'reformasi' oleh Anwar Ibrahim adalah untuk menentang dan melawan kezaliman Mahathir," tambahnya.

Saifuddin, dalam temu bualnya dengan Malaysiakini, berkata kerajaan sekarang mempunyai pandangan berbeza mengenai soal risikan.

"Sekiranya kita mempunyai unit perisikan atau jabatan, yang bukan perkara luar biasa bagi mana-mana kerajaan, risikan mestilah mengenai memastikan keselamatan negara dan rakyatnya dan bukan mengenai politik," katanya.

Menteri itu juga mendedahkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengkaji semula peranan anggota polis Cawangan Khas dalam memantau ahli-ahli politik.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak (Menteri Dalam Negeri) (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tetapi saya percaya beliau melihat aspek ini di mana urusan utama pasukan polis adalah mengenai keselamatan dan bukan untuk memastikan pihak tertentu memenangi pilihan raya atau sesuatu seperti itu," tambahnya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Rabu, 6 Jun 2018

DAP Cameron Highlands cabar keputusan PRU14 dimenangi calon BN

 
Calon PKR M Manogaran mendakwa calon BN C Sivarraajh merasuah pengundi komuniti Orang Asli di kawasan itu.




M Manogaran berkata keputusan PRU14 itu bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Calon DAP kerusi Parlimen Cameron Highlands M Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan pilihan raya kawasan itu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivarraajh.

Managoran, 59, selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu menerusi Tetuan Kumar Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi semalam dengan menamakan Sivarraajh sebagai responden.

Manogaran memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Berdasarkan petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail iaitu Adun Jelai yang kini menteri besar Pahang, memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon-calon lain dengan kawasan itu menyaksikan pertembungan 5 penjuru.

Manogaran juga mendakwa Wan Rosdy, yang merupakan Adun Jelai bagi 3 penggal berturut-turut sejak PRU11, amat terkenal di kalangan pengundi di kawasan itu.

Wan Rosdy juga didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli yang sejak dahulu kurang mempercayai orang luar, katanya.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh undian sebanyak 10,307 untuk menewaskan 4 calon lain.

Isnin, 4 Jun 2018

Tewas 81 undi, Pengerusi PPBM P. Pinang fail petisyen cabar keputusan PRU14

MALAYSIA GAZETTE
Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya akan memfailkan petisyen di mahkamah bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) minggu depan.
Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya akan memfailkan petisyen di mahkamah bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) minggu depan.
 

PULAU PINANG – Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya akan memfailkan petisyen di mahkamah bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) minggu depan.

Menurut Marzuki, petisyen itu akan difailkan berikutan kekalahan tipis beliau iaitu hanya 81 ketika bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-14 lalu.

Tambahnya, petisyen itu dijangka diserahkan kepada mahkamah selepas satu perbincangan lanjut diadakan hari ini.

Jelas beliau, keputusan itu diambil selepas berasakan tidak diberikan hak untuk membuat kiraan semula meskipun kekalahannya di bawah empat peratus seperti disyaratkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hanya 0.15 peratus.

“Saya yakin ada keraguan yang amat berat dalam hal ini dan boleh menang jika kiraan semula dibuat, sebab itu saya akan memfailkan petisyen ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada PRU-14 lalu, Marzuki yang bertanding atas tiket PKR tewas hanya 81 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shabudin Yahaya.

Beliau mendapat 18,466 undi berbanding Shabudin (18,547) manakala calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan memperoleh 14,891 undi.

Sementara itu, Marzuki mendakwa PPBM negeri ini sehingga kini sudah menerima kemasukan kira-kira 10,000 ahli baharu dengan majoritinya merupakan ahli UMNO.

Kata beliau, pihaknya juga sentiasa terbuka menerima mana-mana pihak khususnya orang Melayu untuk menyertai parti itu pada masa depan selagi mematuhi peraturan yang ditetapkan parti.


Habis PRU14, ketua kampung di Johor hilang jawatan

Habis PRU14, ketua kampung di Johor hilang jawatan
Terkejut dengan pemecatan, kebanyakan ketua kampung di Johor mendakwa tidak terlibat dalam politik dan tidak sepatutnya menerima nasib begitu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
APABILA Barisan Nasional (BN) kalah di Johor pada 9 Mei lalu, Darwis Serwin, seorang ketua kampung di Yong Peng, langsung tidak menyangka dua minggu setengah kemudian beliau pula hilang jawatannya sebagai ketua kampung.

Secara peribadi, Darwis, 56, tambah terkejut dengan pemecatan itu kerana walaupun dalam pilihan raya umum yang lepas beliau mengundi calon BN, beliau sendiri bukanlah pemimpin cawangan Umno.

"Kami bukan ketua Umno cawangan, kalau Umno itu barulah politik.

"Ketua kampung tidak terlibat dalam berpolitik tetapi menerima nasib seperti ini," katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemecatan itu memang mengejutkan. Notis datang dari pejabat Menteri Besar. Notisnya singkat, hanya tiga hari. Surat dikeluarkan bertarikh 28 Mei; pemecatan berkuat kuasa 31 Mei.

Menteri Besar Osman Sapian sehingga ini belum menjelaskan alasan pemecatan ketua-ketua kampung itu, yang dipercayai melibatkan lebih 600 ketua kampung di seluruh negeri.

Tindakan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) itu pula disifatkan oleh Umno Johor sebagai "tergesa-gesa, bermotif dendam dan tanpa asas yang jelas dan kukuh".

“Ini menunjukkan yang kerajaan negeri bersikap sangat ‘political’, terburu-buru dan tidak profesional dalam menguruskan pemimpin masyarakat peringkat rendah,” kata bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin yang juga pengerusi Umno negeri.

Khaled mempersoalkan apa alasan semua ketua kampung dan ketua masyarakat itu dipecat sedang pada masa sama kerajaan negeri bercadang membuat lantikan baru.

Di daerah Batu Pahat, 173 ketua kampung yang dipecat diraikan dalam sebuah majlis perpisahan dan penghargaan pada Khamis, di kediaman rasmi Pegawai Daerah Mohad Haffiz Ahmad.

"Urusan berkaitan kampung buat masa ini diserahkan kepada penghulu. Mereka tidak terlibat dengan penamatan tugas," kata Darwis, sekarang bekas ketua Kampung Haji Kamisan dalam Mukim Chaah Baru.

Beliau jadi ketua kampung itu 16 September 2014 dan bertanggungjawab menjaga empat kampung rangkaian di pekan Chaah, yang terletak antara Labis dan Yong Peng.

Serentak dengan pemecatan itu, pentadbiran negeri Johor di bawah Pakatan Harapan (PH) mula mencari pengganti ketua kampung yang baru.

Pejabat Daerah Batu Pahat kelmarin mengeluarkan iklan mempelawa permohonan untuk mengisi 173 kekosongan jawatan ketua kampung.

Permohonan dibuka mula hari ini sehingga 10 Jun, manakala calon yang layak akan disaring dalam temuduga yang akan menilai keupayaan dan pengetahuan pentadbiran, termasuk ilmu agama.

Tetapi Darwis tidak akan memohon semula jawatannya itu. Yang sudah-sudahlah, katanya. Beliau kini mahu "jadi orang biasa" dan meneruskan hidup dengan bekerja kampung.

Rakannya yang lain juga begitu walaupun beliau dapat tahu ada yang akan memohon untuk jadi ketua kampung semula.

"Sekarang mereka jadi seperti orang biasa yang lain meneruskan kehidupan dengan aktiviti masing-masing.

"Ada yang menoreh, teruskan kerja menoreh. Ada yang berkebun, kerja seperti biasalah... tak ada lagi jalankan tugas-tugas ketua kampung," kata Darwis.

Rabu, 30 Mei 2018

Keputusan PRU14 diwartakan pada 28 Mei

MALAYSIAKINI

   
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah diwartakan kelmarin (28 Mei) selaras dengan Peraturan 27 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 bagi maksud penyiaran keputusan dan penyata pengundian dalam Warta.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan semalami berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan dalam PRU14 bagi Dewan Rakyat (Parlimen) atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh mengemukakan petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan disiarkan dalam Warta selaras dengan peruntukan Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Dalam masa yang sama SPR juga mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRU14 yang lalu atau ejen pilihan rayanya agar mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan PRU14 diwartakan," tambah kenyataan itu.

Jelas SPR, ini adalah selaras dengan Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan di bawah Akta tersebut.- Bernama

Jumaat, 25 Mei 2018

Deposit hangus jika tak turun bendera

sitifatimah 

Majlis Perbandaran Kuantan beri tempoh sehingga jam 5 petang ini



BANGI – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memberi peringatan kepada semua parti politik untuk menurunkan segera bendera yang dipasang sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, tempoh yang diberikan untuk menurunkan bendera sudah berakhir Rabu lalu.

Katanya seperti dilapor My Metro, MPK sekali lagi memberi tempoh sehingga jam 5 petang ini untuk berbuat demikian, jika tidak wang deposit tidak dikembalikan.

“Jika bahan kempen tidak dibersihkan, wang deposit RM5,000 bagi calon Parlimen dan RM3,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dikembalikan.

“Arahan penurunan bahan kempen berkuat kuasa sejak 10 Mei lalu dan setakat ini, masih ada poster dan bendera dipasang parti politik belum diturunkan.

“Kami masih memberi peluang kepada wakil semua parti sehingga petang ini untuk mereka menurunkan semua bahan kempen itu,” katanya.


Ahad, 20 Mei 2018

GST, minyak dan individu faktor BN kalah

Manzaidi Mohd Amin
 
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membuat kajian atau ‘bedah siasat’ selepas 10 hari PRU14, yang menyaksikan BN kalah teruk sehingga gagal mempertahankan pusat pentadbiran Putrajaya, di samping kehilangan banyak negeri.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membuat kajian atau ‘bedah siasat’ selepas 10 hari PRU14, yang menyaksikan BN kalah teruk sehingga gagal mempertahankan pusat pentadbiran Putrajaya, di samping kehilangan banyak negeri.


SHAH ALAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu kerana sikap pengundi yang ‘marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar’.

Perkara ini dinyatakan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang membuat kajian atau ‘bedah siasat’ selepas 10 hari PRU14, yang menyaksikan BN kalah teruk sehingga gagal mempertahankan pusat pentadbiran Putrajaya, di samping kehilangan banyak negeri.

Beliau menyatakan, faktor utama kekalahan itu disebabkan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikkan petrol dan diesel setiap minggu serta individu bernama (Datin Seri) Rosmah Mansor.

Suara rakyat rata-rata golongan muda tidak boleh menerima kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan GST dan gagal mengawal harga minyak, selain faktor isterinya.

Beliau bagaimanapun, tidak bersetuju dengan faktor itu kerana beranggapan ada lagi isu tempatan di kawasan masing-masing tidak diselesaikan menyebabkan rakyat menolak BN.

“Itu bukan cara yang sihat, kerana kita tidak sedar isu tempatan kawasan masing-masing lebih banyak untuk diselesaikan.

“Tetapi rakyat, terutama berdarah muda telah ditanam dengan hanya cerita GST yang menjadikan kos hidup mereka terbeban. Isu agama, kesihatan, keselamatan, kemudahan dan pendidikan yang lebih baik ditolak hanya demi menumbangkan seorang individu.

“Berjaya juga Pakatan Harapan (PH) dengan taktik peralihan tumpuan kesalahan dalam sepanjang kempen mereka. Itupun daripada bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam tulisan beliau ‘Suara Rakyat’ yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya.

Azhari yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam berpendapat, suara rakyat perlu berlaku dari peringkat bawah dan mudah didengari oleh setiap kawasan terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah isu tempatan yang dianggapnya lebih penting bagi kesejahteraan dan keharmonian kawasan masing-masing.

Katanya, permainan isu negara (nasional) yang belum pasti tepat dan benar, tidak perlu diiyakan kerana boleh mengundang ke arah fitnah dan dosa.

“Suara rakyat dan demokrasi ini yang berbahaya, kalau tidak diimbangi balik. Kalau rakyat tetap akan tertumpu kepada isu nasional saja, mereka tidak akan hirau sesiapa saja wakil rakyat mereka dilantik walaupun isu tempatan mengalami masalah.

“Ini memang permainan strategi peralihan tumpuan PH dalam memenagi PRU14 kerana mereka akur calon BN lebih ramai berpotensi dari mereka sehingga calon menteri penuh pun susah untuk diputuskan.

“Mereka (PH) juga tidak menafikan kekurangan calon berwibawa untuk mentadbir negara,” katanya.
Beliau secara jujur memaklumkan, golongan belia menyokong PH disebabkan trend terkini, iaitu menjadi penyokong tanpa memahami misi dan visi sesebuah parti. – MalaysiaGazette


SKMM: Sekat Mkini malam PRU14 'demi ketenteraman awam'

malaysiakini

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) mengarahkan paling kurang 11 Penyedia Khidmat Internet (ISP) bagi menyekat keputusan siaran langsung Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang dibawakan Malaysiakini pada malam pengiraan undi.

Perkara ini diketahui menerusi salinan e-mel dari Jabatan Pengurusan Media Rangkaian di bawah Bahagian Pengawasan Digital SKMM yang menyatakan arahan itu dikeluarkan pada jam 9.13 malam di malam pengiraan undi, seperti yang dilaporkan dilihat portal dalam talian The Malay Mail.

Menurut laporan itu, emel berkenaan bukan sahaja di hantar ke TM (dan anak syarikatnya Webe) serta Maxis tetapi ke ISP lainnya seperti Celcom, Digi, YTL, TIME, Mykris, Redtone, Aries Telecoms dan Extreme Broadband.

Syarikat lain yang mendapat emel SKMM itu termasuklah firma perkhidmatan teknologi maklumat kerajaan HeiTech Padu Bhd, pusat data AIMS dan Hitachi Sunway Information Systems, serta firma khidmat rangkaian Global Transit Communications Sdn Bhd.

Arahan SKMM itu ditarik balik dalam suatu lagi emel yang dihantar pada 11.15 malam yang sama.




Suatu kajian yang dibuat kumpulan ketelusan digital Sinar Project juga mengesahkan susulan arahan SKMM itu, TM Net dan Maxis menyekat akses ke laman live.undi.info yang dibuat Malaysiakini bagi menyampaikan siaran langsung keputusan PRU14.

SKMM dilaporkan berkata mengeluarkan arahan sekatan mengenai "kemaskini langsung keputusan PRU14" pada malam pengundian kerana takut laporan berkenaan boleh menjejaskan "kestabilan negara, ketenteraman awam dan keharmonian, dan kestabilan ekonomi".

Ini juga dinyatakan dalam satu salinan permintaan sulit SKMM pada 9 Mei kepada pelbagai ISP, seperti dilaporkan The Malay Mail.

MCMC dalam permintaannya telah meminta laman web live.malaysiakini.com, live.undi.info dan undi.info untuk disekat atau aksesnya diarahkan semula ke alamat IP 175.139.142.25 - alamat yang digunakan itu memaparkan notis standard undang-undang kerajaan bahawa laman itu telah disekat.




"Suruhanjaya dengan ini memohon supaya anda melakukan tindakan di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkenaan dengan URL / alamat web berikut," kata surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Operasi SKMM Datuk Mazlan Ismail (gambar), bagi pihak pengerusinya, Tan Sri Halim Shafie.

"Khusus untuk permintaan ini, disebabkan sifat kesalahan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan keharmonian, dan kestabilan ekonomi, anda dikehendaki melakukan pengalihan (akses) segera."

Alamat live.malaysiakini.com merujuk kepada liputan langsung keputusan PRU14 oleh Malaysiakini, sementara laman live.undi.info pula versi "liputan langsung" bagi undi.info, yang merupakan pangkalan data penggubal undang-undang dan calon pilihan raya, yang juga dijalankan oleh Malaysiakini.

Jumaat, 11 Mei 2018

Apa yang berlaku di Sabah suatu yang malang - Tun M

Astro Awani
Apa yang berlaku di Sabah suatu yang malang - Tun M
Beliau menyifatkan proses pengiraan undi yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak efisien.
 
 
KUALA LUMPUR: "Apa yang berlaku di Sabah adalah suatu yang malang,".

Demikian merupakan reaksi Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya pemberita mengenai situasi yang berlaku di Sabah ketika proses pengiraan undi.

Sambil menyifatkan proses pengiraan undi yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak efisien, beliau melahirkan rasa kasihan terhadap Parti warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya kasihan pada Sabah. Mohd Shafie banyak pengaruh. Tindakan (pengiraan semula) untuk halang (Warisan) Shafie mentadbir," katanya pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya Khamis malam setelah selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Sejam selepas Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyempurnakan majlis mengangkat sumpah melibatkan Ketua Menteri Sabah yang baharu, Tan Sri Musa Aman.

Khamis, 10 Mei 2018

Hormati keputusan PRU, kata KSN

Administrator MalaysiaGazette
Ali Hamsa


KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini meminta penjawat awam di negara ini menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan terus menjalankan tanggungjawab mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau juga menyeru mereka agar kekal setia kepada raja, negara dan kerajaan yang dipilih.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem d emokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, kita harus menghormati keputusan PRU14 seperti mana diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.”

“Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 132 (2A), setiap penjawat awam akan terus berkhidmat selama mana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ali membuat gesaan itu meliputi semua anggota perkhidmatan awam persekutuan dan negeri, badan berkanun persekutuan dan negeri, serta pihak berkuasa tempatan. – Bernama


PRU14: Tony Pua menang majoriti paling besar dalam sejarah PRU

 
Setiausaha publisiti DAP itu memperoleh 78% daripada jumlah 136,280 pengundi atau 83% yang keluar mengundi apabila memperoleh 121,283 undi manakala Ho mendapat 14,380 undi dan Wong hanya mendapat 617 undi.





KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berjaya menempa nama dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) negara apabila mencatatkan majoriti paling besar di kerusi Parlimen Damansara pada edisi PRU ke-14 kali ini.

Dalam persaingan 3 penjuru di kerusi yang sebelum ini dikenali Petaling Jaya Utara, Pua mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 106,903 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Ho Kwok Xheng dan calon PRM, Wong Mun Kheong.

Pua memperoleh 78% daripada jumlah 136,280 pengundi atau 83% yang keluar mengundi apabila memperoleh 121,283 undi manakala Ho mendapat 14,380 undi dan Wong hanya mendapat 617 undi.

Kerusi Parlimen Damansara juga merupakan kerusi dengan paling ramai pengundi berdaftar iaitu seramai 164,322 pemilih selepas kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat, Mac lepas.

Undi majoriti terkecil pula direkodkan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang apabila penyandangnya dari BN, Datuk Shabudin Yahaya hanya mampu mempertahankan kerusi itu dengan kelebihan 81 undi setelah meraih 18,547 undi.

Pencabarnya, Marzuki Yahaya (PKR-PPBM) dan Rizal Hafiz Ruslan (PAS) masing-masing mendapat 18,466 dan 14,891 undi.

Kerusi Parlimen itu mempunyai 60,850 pemilih berdaftar dan 85% atau 51,904 keluar mengundi.

Prestasi Shabudin kali ini adalah amat jauh berbeza berbanding pada PRU13 apabila beliau memperoleh majoriti 3,042 undi dalam pertandingan 3 penjuru.

PRU14 selain mendapat jolokan sebagai PRU yang paling sengit dipertaruhkan dalam sejarah Malaysia, ia juga akan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dikembalikan sebagai Perdana Menteri untuk kali keduanya.

Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai perdana menteri yang ke-4 selama 22 tahun daripada 1981 hingga 2003. Dr Mahathir yang bertanding pada umur 92 tahun di kerusi Parlimen Langkawi juga merupakan calon PRU tertua bertanding.

Jika Dr Mahathir merupakan calon tertua, calon Bebas, pelajar jurusan undang-undang berumur 22 tahun, P. Prabakaran, pula diangkat menjadi anggota Parlimen termuda.

Prabakaran menang dengan majoriti 24,438 undi bagi kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur apabila mengalahkan tiga lagi pencabarnya.

Beliau meraih 38,125 undi diikuti calon BN, Dominic Lau (13,686), calon PAS, Azhar Yahya (10,610) dan calon Bebas, Datuk V.M. Panjamorthy yang hanya memperoleh 383 undi.

Keputusan Penuh: PH (113), BN (79) , PAS (18), WARISAN (8), SOLIDARITI (1), BEBAS (3)

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.
 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ketika mengumumkan keputusan kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, pakatan itu yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara meraih 113 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi.
 
Mohd Hashim berkata, PAS pula menang 18 kerusi Parlimen, diikuti Parti Warisan Sabah (8); Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).
 
Pengumuman penuh bagi kerusi Parlimen itu adalah siri akhir sidang media keputusan rasmi PRU-14 di Bilik Sidang Media, Menara SPR, Presint 2, pada kira-kira jam 4.40 pagi tadi.
 
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada PRU14.
 
Terdahulu, Mohd Hashim dan timbalannya Tan Sri Othman Mahmood bersama ahli SPR yang lain bergilir-gilir mengumumkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bermula jam 12.43 tengah malam tadi.
 
Mengakhiri sidang media berkenaan, Mohd Hashim turut merakamkan ucapan terima kasih kepada media dan jurugambar yang sabar menunggu keputusan penuh PRU-14 sejak petang semalam.
 
Sejurus berakhir sidang media itu, Mohd Hashim sempat beramah mesra dengan petugas media yang berkampung di Menara SPR sejak semalam.
 
 

Rabu, 9 Mei 2018

Tak rasmi: Presiden MCA, MIC tumbang

MALASIAKINI

   
PRU14 | Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kecundang di kerusi parlimen Bentong pada pilihan raya umum ke-14.

Menurut keputusan tidak rasmi, beliau tewas kepada aktivis hijau, Wong Tack (HARAPAN-DAP) yang menjadi pencabarnya buat kelai kedua.

Liow merupakan anggota parlimen selama empat penggal di kawasan itu.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam tewas kepada seorang ahli perniagaan, R Santhara Kumar dari PKR.

Seorang lagi pencabar untuk kerusi itu ialah PAS Khairul Faizi Ahmad.

Kekalahan itu berlaku dua hari selepas Subramaniam, yang juga menteri kesihatan sementara, mengumumkan insentif tanaman semula sebanyak RM4,000 kepada 250 peneroka dari Felda Palong Timur Dua dan Felda Palong Timur Tiga di Johor, yang berjumlah kira-kira RM1.06 juta .

Malaysiakini cuba mengesahkan bilangan undi yang diperoleh semua calon.

Santhara adalah pengasas Masterskill Education Group dan salah satu matlamat utamanya melangkah ke arena politik adalah untuk memperbaiki status pendidikan di negara ini.

Subramaniam bukan satu-satunya "gergasi" yang mengalami kekalahan di Johor.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, anggota Parlimen Johor Bahru dan veteran Umno, Datuk Seri Shahrir Samad tewas kepada calon HARAPAN, Akmal Nasir, dengan majoriti lebih 12,000 undi

Tidak puas hati tunggu 3 jam untuk undi

FAIZ ABDULLAH

 
 
RASAH: Pengundi Saluran 2 di Sekolah Wawasan SJKT Convent, Seremban 2 hari ini melahirkan rasa tidak puas hati apabila terpaksa menunggu hampir tiga jam untuk proses mengundi.
 
Harakah meninjau pusat mengundi di sekitar parlimen Rasah di mana Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Sembilan Ustaz Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa bertanding.
 
Apabila tiba di pusat mengundi tersebut, Harakah mendapati pengundi warga emas beratur panjang.
 
Ketika mengambil gambar, pengundi-pengundi mengadu bahawa proses mengundi begitu lembap.
 
"Makcik beratur sejak pukul 12.00 tengah hari, sekarang dah pukul 3.00 petang, tapi masih belum mengundi lagi," kata seorang wanita warga emas berbangsa Melayu.

Selain wanita tersebut, ramai lagi pengundi mengeluh di atas kelewatan proses mengundi. – HARAKAHDAILY


Kecoh di PD, kertas ‘undi palsu’ diedar di luar pusat undi

THE MALASIAN TIMES
 


PORT DICKSON: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung insiden kekecohan melibatkan pengedaran kertas undi palsu yang berlaku di pekarangan Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata laporan tersebut dibuat oleh calon Pakatan Harapan di Balai Polis Port Dickson, pada kira-kira 10.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati remaja perempuan yang mengedarkan kertas undi palsu itu merupakan Orang Kelainan Upaya iaitu seorang yang lembam.

“Kami masih menyiasat sama ada remaja itu diupah oleh mana-mana pihak untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi di sini.

Noor Azam berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 24 B(7) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang menetapkan semasa tempoh berkempen tidak boleh mempamer atau melekat apa-apa bahan pilihan raya dalam jarak 50 meter dari mana-mana sempadan tempat mengundi.

Sementara itu, seorang wakil Pakatan Harapan, R. Saravanan berkata remaja itu didapati sedang​​​​​​​ mengedarkan kertas undi palsu kepada para pengundi yang memasuki pekarangan pusat mengundi tersebut.

“Kertas undi itu memaparkan tanda pangkah di kotak calon Barisan Nasional, Datuk V. S Mogan yang bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson,” katanya.