Selasa, 27 Mac 2018

Tanah Ijok: BN desak Azmin sedia kertas putih

Manzaidi Mohd Amin
Sulaiman Abdul Razak


SHAH ALAM – Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan satu kertas putih berhubung isu penjualan tanah di Ijok.

Menteri Besar itu tidak perlu berdolak dalik dengan pelbagai alasan termasuk berdiam diri apabila didesak berbuat demikian kerana penjualan tanah seluas 880 hektar itu secara tidak langsung menganiaya rakyat.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, Mohamed Azmin perlu menjelaskan dalam kertas putih itu berhubung penjualan tanah berkenaan kepada syarikat swasta pada harga kira-kira RM1.18 bilion.

“Kalau Mohamed Azmin mendakwa kerajaan negeri pimpinannya telus, adil, saksama, maka jelaslah kepada rakyat kenapa tanah itu dijual dan berapa jumlah pampasan dibayar kepada rakyat dari jualan RM1.18 bilion itu?

“Beliau boleh bentang dalam sidang DUN sekarang. Kami dari BN menunggu penjelasan itu,” katanya kepada pemberita pada sesi rehat persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sulaiman menyifatkan Menteri Besar seorang yang penakut kerana hanya menyerahkan kepada Ketua Komunikasi Korporat dan Pejabat MB sahaja tampil, sedangkan beliau masih membisu daripada menjawab sendiri isu itu di dewan.

Kata beliau, rakyat mahu penjelasan terperinci mengenai skandal tanah itu dan mengapa bayaran pampasan kepada peneroka hanya RM421 juta, sedangkan pihak pemaju mendapat berlipat kali ganda.

“Kita juga hendak tahu kenapa Mohamed Azmin tergesa-gesa membenarkan dua syarikat swasta menjual tanah di mukim Ijok itu pada harga RM1.18 bilion kepada sebuah syarikat lain sebelum proses peringkat Mahkamah Persekutuan selesai dijalankan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: