Jumaat, 30 Mac 2018

PAC: Warga emas meninggal dunia masih dapat elaun

 
Pengerusi PAC berkata, 5 daripada 12 pejabat kebajikan masyarakat daerah didapati tidak mematuhi arahan ketua pengarah JKM yang mahu Bantuan Orang Tua dibuat melalui bank.





KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati ada kelemahan dalam pengagihan Bantuan Orang Tua (BOT) berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2016 siri 1, termasuk penerima yang meninggal dunia masih mendapat elaun itu.

Sehubungan itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji semula skim bantuan tunai itu.

“Terdapat kelemahan terhadap proses pengesahan penerimaan dan pembayaran, kad tuntutan tidak dilengkapi ciri keselamatan dan terdapat pembayaran BOT kepada penerima yang sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 5 daripada 12 pejabat kebajikan masyarakat daerah tidak mematuhi arahan ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mahu BOT dibuat melalui bank.

“Pembayaran tunai BOT bagi November 2016 adalah RM547,200. Terdapat kelemahan dalam agihan tunai BOT seperti pengiraan wang beramai-ramai tanpa had.”

Katanya, PAC turut mendapati berlaku penyalahgunaan bantuan geran peruntukan Pusat Perkhidmatan Warga Emas dengan pinjaman RM95,200 diberikan kepada penyelia dan badan bukan kerajaan yang menguruskan Pusat Perkhidmatan Warga Emas.

“Perbelanjaan sejumlah RM70,988 oleh Pusat Perkhidmatan Warga Emas tidak mengikut garis panduan ditetapkan dan tiada permohonan dibuat untuk perbelanjaan tersebut.

“Tiada permohonan dibuat bagi lebihan belanja sejumlah RM46,733 semasa perolehan peralatan dan kelengkapan Pusat Perkhidmatan Warga Emas serta masih tidak beroperasi sejak penubuhannya pada November 2015.”

Hasan berkata, PAC sudah mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu dibangkitkan Jabatan Audit Negara yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh.

Katanya, PAC membuat beberapa cadangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, termasuk mengkaji semula senarai penerima bantuan BOT dan meningkatkan kadar BOT sejajar kenaikan kos sara hidup.

“Kaedah kajian semula penerima bantuan BOT bagi tujuan lanjutan tempoh bantuan perlu diteliti dan diperkemas bagi mengelakkan bantuan kepada penerima yang layak, terputus atau tertangguh.”

Beliau berkata, JKM juga perlu menyediakan latihan khusus kepada kakitangan Pusat Perkhidmatan Warga Emas bagi memastikan penjagaan lebih profesional.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta JKM perlu memastikan setiap peralatan dibekalkan kepada Pusat Perkhidmatan Warga Emas diselenggara dengan baik serta tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan semata-mata.

“Kekerapan tinjauan dan pemantauan di lapangan oleh pihak kementerian atau jabatan perlu dilaksanakan.”

Tiada ulasan: