Isnin, 26 Mac 2018

PAS berjuang guna sumbangan duit poket ahli - Takiyuddin

Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
Post Pic
 
 
AMPANG: PAS berjuang dalam arena politik negara menggunakan dana yang disumbang daripada poket ahli-ahlinya sendiri sejak 1950-an lagi, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menolak sama sekali tuduhan bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Najib Razak dan menyifatkan tohmahan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
 
"Dimana PAS semasa memasuki pilihan raya ini dibiayai oleh wang-wang atau duit yang datangnya daripada poket ahli-ahli PAS sendiri.
 
"Tetapi dikatakan difitnahkan pimpinan tertinggi PAS mendapatkan sumbangan-sumbangan seperti ini", katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya PAS PUSAT, di Ampang, semalam.
 
Presiden PAS, Abdul Hadi sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu susulan editor peortal itu memfitnahnya menerima dana RM90 juta daripada Najib.
 
Dana itu menurut Claire, digunakan untuk menarik kepemimpinan PAS untuk menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno.
 
Perkembangan perbicaraan kes itu setakat ini dikatakan memihak kepada PAS.
 
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata negara kini sedang bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
Ramalnya, kerajaan akan menyelesaikan perbahasan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada Rabu ini, sebelum mengumumkan pembubaran Parlimen.
 
"Didalam dewan Parlimen, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Malaysia telah mengemukakan satu laporan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri-negeri ditanah melayu ataupun di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Sabah dan Sarawak.
 
"Dimana laporan ini akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia di Dewan Parlimen pada hari Rabu, 28 Mac yang akan datang ini. 
 
"Ini adalah satu petanda yang amat jelas bahawa tempoh pembubaran parlimen Malaysia akan diadakan bila-bila masa sahaja," katanya.
 
Justeru Takiyuddin berkata PAS turut terpanggil untuk sama-sama mempersiapkan jentera parti antaranya mengukuhkan kewangan parti dengan mengutip sumbangan daripada lebih satu juta ahlinya.
 
"Oleh sebab itulah, pada malam ini PAS pusat telah menganjurkan suatu majlis yang indah dan permai ini bagi kita memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan dermawan untuk memberikan sumbangan kepada PAS.
 
"Bagi membolehkan PAS diseluruh negara dapat menjalankan atau mengendalikan pilihan raya dalam keadaan yang agak selesa dengan sumber kewangan yang agak mencukupi bagi kita menjalani perkara ini," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: