Ahad, 25 Mac 2018

Agihan kerusi: PH Selangor tunggu laporan persempadanan semula

Pengerusi Amanah Selangor berkata, laporan persempadanan semula itu mungkin memberi kesan kepada kerusi DUN sedia ada dan pertukaran kerusi mungkin berlaku, jika wujud banyak perubahan dari segi demografi.





PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Selangor akan menunggu pembentangan laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Parlimen Rabu depan, sebelum memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kalangan 4 parti pembangkang itu.

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, laporan itu mungkin memberi kesan kepada kerusi DUN sedia ada.

Katanya, pertukaran kerusi mungkin berlaku antara PPBM, PKR, DAP dan Amanah di Selangor, jika wujud banyak perubahan dari segi demografi dalam laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu.

“Belum lagi (selesai pembahagian kerusi). Kita sekarang nak tengok (pembentangan laporan) persempadanan (semula kawasan pilihan raya) di Parlimen minggu depan.

“Sebabnya ada kesan pada kerusi-kerusi ini. Jadi kita nak tunggu, tengok dulu sebelum memuktamadkan (pembahagian kerusi),” katanya kepada FMT.

Rundingan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan hujung Januari lalu, tetapi dilanjutkan sehingga hari ini atas permintaan PH Selangor yang gagal memuktamadkan pengagihan kerusi milik PAS dan Umno antara PKR, PPBM dan Amanah.

Pada 9 Mac lalu, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata, 6 kerusi masih menjadi rebutan dan rundingan akan dimuktamadkan “selewat-lewatnya sebelum pembubaran Parlimen”.

Terdapat 56 kerusi DUN di Selangor dan PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15), PAS (15) dan Barisan Nasional (12) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Jumlah kerusi PKR dan DAP berkurangan satu apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti, manakala kerusi PAS menjadi 13 apabila 2 adunnya menyertai Amanah.

Pada 16 Mac lepas, Izham dilaporkan berkata, Amanah Selangor diperuntukkan 9 kerusi DUN dan mahu mendapatkan 3 lagi kerusi, iaitu Seri Serdang, Lembah Jaya dan Sungai Burong.

Khamis lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan Rabu depan.

Kali terakhir proses persempadanan semula dijalankan pada 2003. Ia sepatutnya dilakukan pada 2011 tetapi ditangguh untuk memberi tumpuan kepada PRU13 yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan tidak kurang 8 tahun selepas setiap kali persempadanan semula terdahulu dan tidak boleh melebihi 10 tahun.

Tiada ulasan: